Kerajaan Bakal Laksanakan Identiti Digital Nasional Elak Penipuan
Bersempena dengan Hari Pendaftaran Negara & Sambutan JPN 73 Tahun, kerajaan mengumumkan akan melaksanakan penggunaan Identiti Digital Nasional (IDN) atau ID Digital bermula 2024 akan datang.
Menurut Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin, pelaksanaan tersebut tidak akan menjejaskan atau menggantikan MyKad sebagai dokumen pengenalan diri.
Bagaimanapun, perlaksanaan Identiti Digital Nasional ini menjadi suatu bentuk pengenalan dan pengesahan identiti individu secara digital dengan menggunakan teknologi terkini biometrik seperti penggunaan cap jari dan pengecaman wajah.
Baca juga: Cara Buat Kad Debit / ATM Maybank Pakai Gambar Sendiri
Perlaksanaan Identiti Digital Nasional ini dilihat bakal bermanfaat kepada rakyat, komuniti bisnes dan Kerajaan dalam aspek menyokong perkhidmatan digital yang lebih efisien dan dipercayai.
Selari dengan perkembangan arena digital semasa, tujuannya tidak lain tidak bukan adalah untuk meningkatkan lagi tahap keselamatan rakyat ketika berurusan secara atas talian.
Selain itu, Identiti Digital Nasional juga dapat mengelakkan penipuan identiti dalam urusan secara dalam talian, perlaksanaannya juga bakal memudahkan urusan semakan serta pengesahan individu warganegara dengan penyedia perkhidmatan digital dari sektor awam dan swasta.
Baca juga: Selalu Pindahkan Duit Melalui Maybank2U? Ini Perubahan Terbaharu Dari Maybank
Kelak penggunaan IDN ini dijangka bakal menggalakkan inovasi dalam penyampaian perkhidmatan bagi penambahbaikan kualiti kehidupan rakyat dan memberi tambah nilai kepada kepesatan pertumbuhan ekonomi digital merentasi pelbagai sektor perkhidmatan.
Sebenarnya ID digital telah pun dilaksanakan di beberapa negara seperti di United Kingdom, Estonia, Kanada, India dan lain-lain.
Antara transaksi yang boleh dilaksanakan oleh rakyat di negara seperti Estonia dengan identiti digital ini contohnya adalah membuka akaun tanpa perlu hadir secara fizikal di bank, melakukan transaksi penyewaan hartanah, mengundi dalam talian, e-pembelajaran dan lain-lain.
Bagaimanapun, rundingan Awam bakal dibuat oleh MCMC bertujuan untuk memperolehi maklum balas daripada orang awam dan pihak berkepentingan sebagai input dalam menyiapkan cadangan Rangka Kerja ID Digital Nasional.
Sumber: Awani