Elak Kongsi Sijil Digital, Nombor Batch Vaksin Di Media Sosial

Dengan kelonggaran yang ditetapkan oleh kerajaan, mungkin ada antara kita yang teruja apabila telah mendapat sijil digital setelah lengkap mendapatkan 2 dos vaksin.

Tapi, pastikan anda ‘alert’ bahawa maklumat pada sijil digital vaksin ini tidak sepatutnya dikongsikan kerana ia terkandung data peribadi yang boleh disalahguna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Jangan Kongsi Sijil Digital Vaksin Di Media Sosial

Menurut Sinar Harian, sehingga 12 Ogos 2021, sebanyak 40 peratus populasi dewasa Malaysia di seluruh negara telah menerima dua dos vaksinasi Covid-19.

Bagi mereka yang telah lengkap menerima vaksin Covid-19 akan memperolehi sijil digital vaksinasi yang dipaparkan di aplikasi MySejahtera.

Sijil digital vaksinasi yang dipaparkan pada MySejahtera ini akan digunakan untuk pelbagai urusan seperti perjalanan merentas negeri dan daerah mahupun aktiviti sosial lain.

Anda akan mendapat kad vaksinasi (berwarna putih) selepas dos pertama manakala sijil vaksinasi (berwarna kuning) selepas lengkap 2 dos vaksin melalui aplikasi MySejahtera.

Baru-baru ini, tular di media sosial sebuah syarikat dipercayai di Kedah yang menawarkan perkhidmatan percetakan sijil digital vaksinasi serendah RM15 melalui laman sosial.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali tiada keperluan untuk masyarakat mencetak sijil digital berkenaan kerana tindakan itu boleh mengelirukan.

Susulan penjualan sijil digital di media sosial, Noor Azmi berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan polis akan menjalankan siasatan terhadap penjualan sijil digital vaksinasi palsu tersebut termasuk di platform e-dagang.

Melihat perkembangan semasa selepas Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kelonggaran bagi individu yang sudah lengkap dos suntikan vaksin baru-baru ini sedikit sebanyak menyukarkan golongan antivaksin ataupun yang sengaja tidak mahu mengambil vaksin menikmati kelonggaran yang diumumkan.

Justeru, usah membuka peluang kepada golongan tidak bertanggunjawab menggunakan maklumat peribadi kita untuk tujuan berkaitan sijil digital vaksinasi.

Dalam sebuah perkongsian di TikTok, @dayanakemesky yang juga seorang jurutera teknologi maklumat berkata perkara tersebut sekiranya didedahkan akan membuka ruang kepada ‘pencuri’ identiti dan penggodam.

Diharapkan anda yang sudah memuatnaik informasi ini terus bertindak memadamkannya sebelum ia disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

PENGEMASKINIAN SIJIL DIGITAL VAKSINASI

Sementara itu, bagi yang mempunyai sebarang isu berkenaan sijil digital vaksinasi, sila hubungi Talian Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, iaitu 1-800-888-828

Sila sediakan maklumat berikut :

  1. Nama
  2. No. Kad Pengenalan / No. Pasport
  3. Nama PPV
  4. Lokasi PPV
  5. Tarikh divaksinasi
  6. Dos Vaksinasi (Doa 1 atau Dos 2 atau kedua-dua sekali)
  7. Jenis Vaksin

Sila semak semula Mysejahtera anda selepas tujuh (7) hari bekerja setelah pelaporan ke talian PICK

Sumber: Sinar Harian, JKJAV (https://www.facebook.com/jkjavmy/photos/pcb.207397361351818/207397211351833/)

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: