Microsoft Surface Duo 2 Bakal Tampil Dengan Lebih Canggih!
Pada yang masih ingat, sebelum ini Microsoft pernah melancarkan satu produk iaitu Microsoft Surface Duo yang pertama. Peranti ini walau bagaimana pun hadir dengan spesifikasi yang kurang menarik walaupun mempunyai konsep yang menarik.
Namun kali ini Microsoft tampil kembali menawarkan peranti siri keduanya iaitu Microsoft Duo 2 yang lebih menarik dari segi spesifikasinya.
Berbeza dengan siri sebelum ini, peranti kali ini dikuasai dengan cip pemprosesan Snapdragon 888 dengan memori 8GB RAM dan sistem operasi Android 11. Selain itu, ianya menawarkan storan sebesar 512GB serta sokongan NFC dan rangkaian 5G.
Untuk siri kedua ini, Microsoft hadirkan dengan paparan yang lebih besar iaitu 8.3 inci (apabila ianya dibuka) dengan gabungan dwi-skrin 5.8 inci AMOLED beresolusi 2688×1892. Malah, skrin panel kali ini didatangi dengan kadar segar semula 90Hz, kecerahan 800 nits, 100% sRGB dan HDR.
Dari segi kameranya pula dilengkapi dengan tiga lensa yang menggabungkan kamera ultra-lebar 16MP f/2.2, kamera lebar 12MP f/1.7 dengan penstabilan imej optik dan kamera telefoto 12MP f/2.4.
Peranti ini dikatakan mampu menjadi konsol permainan mudah alih di mana satu bahagian peranti akan menjadi skrin permainan manakala skrin kedua boleh digunakan sebagai pengawal permainan dengan sokongan sesentuh haptik.
Microsoft juga mengesahkan bahawa Microsoft Surface Duo 2 akan menyokong sebanyak 150 permainan antaranya seperti Modern Combat 5, Asphalt Legends 9 and Dungeon Hunter 5.
Antara ciri lain yang hadir pada peranti siri kali ini ialah pengimbas cap jari, sokongan Surface Pen, Surface Hub 2 Pen, Surface Slim Pen, USB C serta pembesar suara stereo dengan aptx dan aptx HD.
Microsoft Surface Duo 2 ini bakal dilancarkan pada October ini dengan harga bermula USD1499 (~RM6287) dan hanya tersedia di pasaran Amerika Syarikat, Australia, UK, Perancis, Jerman dan Kanada buat masa ini.