7 Taman Tema Air Di Johor Untuk Anda Yang ‘Hantu Air’
Bila bercuti pastinya runsing untuk membuat keputusan destinasi mana yang ingin dituju bukan? Ada sesetengah suka bercamping, ada pula yang bercuti di hotel di tanah tinggi seperti Cameron Highlands atau Bukit Tinggi, ada yang suka ke pantai dan air terjun ataupun taman tema air.
Bagi anda yang ‘hantu air’ dan pantang jumpa air je terasa nak terjun basahkan diri? Artikel kali ini khas untuk anda. Untuk anda yang sukakan percutian ke tempat seperti taman tema air, di sini kami senaraikan 7 taman tema air menarik di Johor yang anda boleh kunjungi apabila cuti nanti.
1 – Desaru Coast Adventure Water Park
Taman tema air Desaru Coast Adventure Water Park ini adalah yang paling terbaru dan terbesar di Johor. Ianya di buka pada 19 Julai 2018 dan terletak sepanjang 17km di pinggiran Desaru.
Taman tema air ini merangkumi lebih 3,900 ekar dari keluasan pantai. Keluasannya membolehkan taman tema air ini mempunyai 17 gelongsor air yang berbeza untuk bermain permainan yang berada di kawasan yang basah atau kering.
Apa yang paling menarik di sini adalah terdapatnya kolam berombak buatan terbesar di Asia dengan tambahan ‘steel water coaster’ yang diperkenalkan buat pertama kali di rantau itu.
Taman tema air ini juga dikelilingi dengan hotel dan vila yang mewah dan eksklusif antaranya ialah Hard Rock hotel. Selain itu, terdapat dua padang golf yang tersedia di taman tema Desaru Coast menjadikan taman tema ini pilihan pelancong dari dalam dan luar negara.
2 – Legoland Water Park Malaysia
Taman tema air ini bertemakan LEGO ini merupakan yang pertama di Malaysia. Ianya menggabungkan konsep permainan Lego di taman tema air dan resortnya iaitu Legoland Hotel. Selain bermain air, ada juga permainan interaktif yang sesuai untuk kanak-kanak dan dewasa.
Antara permainan yang disediakan di sini adalah membina apa-apa binaan menggunakan Lego. Manakala tarikan utama di Legoland Johor ini adalah Miniland. Terdapat pelbagai replik-replika kecil berbentuk mercu tanda yang terdapat di negara-negara Asia yang dibina dengan menggunakan lebih 30 juta blok lego. Hampir kesemuanya disini dikawal menggunakan butang, termasuklah kapal terbang atau kereta api dan dibina dengan sangat teliti.
Taman tema air Legoland ini mempunyai lebih 20 gelongsor besar dan lebih kurang 70 model blok Lego. Antara permainan air yang amat digemari disini adalah Joker Soaker, Build-A-Boat, Wave Pool, Splash Safari,Build-A-Raft River, Red Rush, Splash ‘N’ Swirl, Twin Chasers, Slide Racers dan banyak lagi.
Selain itu, terdapat juga kedai-kedai yang menyediakan pelbagai cenderamata untuk anda membeli-belah di Legoland Malaysia seperti Koleksi permainan LEGO, Cenderamata LEGO seperti cawan, ‘sweatshirts’, topi dan banyak lagi.
3 – Austin Heights Water & Adventure Park
Austin Height Water Park adalah taman tema air antara yang popular di Johor. Walaupun keluasannya tidak sehebat Legoland dan Desaru Coast Waterpark, tetapi ianya telah berjaya menerima banyak pengunjung dan menjadi destinasi popular bukan sahaja di kalangan penduduk setempat tetapi juga pelancong dari luar.
Taman tema air ini mempunyai 12 tarikan permainan ‘outdoor’ dan pelbagai aktiviti ‘indoor’ yang lain. Selain itu, taman tema ini juga menjanjikan gelongsor air yang paling mengujakan di dunia dan pasti membuatkan tahap adrenalin anda melonjak tinggi.
4 – Wet World Batu Pahat
Nama yang tidak asing lagi dalam dunia taman tema air di Malaysia terutamanya di Johor. Wet world adalah sebahagian dari rangkaian taman tema Only World Group (OWG) dan telah lama dibuka di Malaysia.
Tidak hanya menjanjikan pengalaman yang seronok dan berbaloi untuk pengunjung, taman tema ini juga menawarkan harga tiket yang berpatutan. Taman tema ini juga mempunyai rangkaian taman tema di beberapa negeri lain di Malaysia.
Antara menarik di sini ialah terdapanya kolam dengan ombak buatan selain dari permainan yang menyeronokkan. Terdapat juga servis lain yang disediakan seperti spa dan klinik kesihatan.
Terdapat satu tarikan terbaru kepada taman tema ini dikenali sebagai Glow Park dan merupakan yang pertama kali di Johor. Di sini pengunjung dapat menyaksikan haiwan-haiwan safari, hidupan laut dan lain-lain setelah tenggelamnya matahari. Harga tiket sangat berpatutan.
Kemas kini: Wet World Batu Pahat ditutup secara kekal.
5 – Tiram Indoor Water Park
Jika anda risaukan kulit terbakar sambil bermain air, anda boleh cuba taman tema air tertutup ini. Tiram Indoor Water Park merupakan taman tema air tertutup yang pertama di johor. Taman tema ini dibina di aras bawah pusat membeli belah Today di jalan Kota Tinggi.
Taman tema air bertemakan hidupan laut ini merangkumi 26000 sq. ft. kawasan kolam dan gelongsor air boleh menampung 1000 pengunjung dalam satu-satu masa. Kolam jakuzi juga disediakan untuk kegunaan pengunjung dewasa. Tiket juga dijual pada harga yang berpatutan dan terdapat tambahan ‘fun hours’ di hujung minggu untuk pengunjung.
Lokasi ini juga strategik dan mudah diakses dari lebuhraya terutamanya lebuhraya Senai-Desaru menjadi salah satu penyumbang yang kepada populariti taman tema air ini.
6 – KSL Dinosaur Alive Water Theme Park
Keunikan tama tema air ini adalah ianya berkonsepkan haiwan Dinosaur. Taman tema air ini dibuka di atas pusa beli belah KSL CIty Mall yang terletak di Jalan Seladang, Taman Abad, 80250 Johor Bahru, Johor. Untuk anda yang bercadang untuk ke sini boleh juga bermalam di KSL Hotel Resort dengan 868 bilik yang ditawarkan pada pengunjung.
Selain tarikan utamanya ialah bermain air, anda boleh mengunjungi muzium yang mempamerkan pelbagai peninggalan sejarah dan taman hiburan yang mempamerkan binaan dinosaur pelbagai saiz dengan lampu dan bunyi yang mengagumkan. Ianya pasti menarik minat kanak-kanak dan ibu bapa yang datang ke sini.
Memandangkan lokasi KSL City Mall ini lengkap dengan pusat beli belah dan hotel, taman tema ini juga menawarkan pakej hari keluarga yang popular dilengkapi dengan aktiviti untuk seisi keluarga. Pakej yang ditawarkan termasuk sesi aerobik, permainan, sesi menari dan dua hidangan makanan. Sauna juga ada disediakan untuk menghilangkan stres dan mengembalikan tenaga anda.
Kanak-kanak juga boleh pergi ke Cineplex di mana mereka dapat merasai pengalaman menonton filem secara 3D. Bilik seminar juga ada disediakan untuk mengadakan persidangan, pembentangan dan mesyuarat rasmi pada harga yang menarik.
7 – TS Wonderland Indoor Water Park
TS Wonderland Indoor Water Park juga merupakan taman tema air tertutup yang wujud di Johor. Walaupun saiznya tidak sehebat taman air terkemuka yang lain, ianya mempunyai pelbagai gelongsor dan permainan yang pasti membuatkan pengunjung seronok dan teruja sepanjang masa untuk mencuba kesemuanya.
Walaupun masih baru, taman tema ini semakin dikenali kerana ianya mempunyai konsep yang berbeza dengan taman tema yang lain. Disebabkan konsepnya yang berbumbung dan tertutup, anda masih boleh terus bermain walaupun dalam cuaca hujan atau panas.
Harga tiket pula sangat berbaloi dengan aktiviti-aktiviti menarik yang ditawarkan. Yang menariknya, kemasukan adalah percuma untuk kanak-kanak di bawah ketinggian 75cm dan warga emas berumur 60 ke atas. Pengawal keselamatan juga ditempatkan di sekitar kawasan taman tema untuk memastikan keselamatan pengunjung.