Bendera Putih, Jalan Terakhir Kami Selepas 6 Bulan Ikat Perut
Berikutan kehilangan punca pendapatan disebabkan PKP ini, satu keluarga yang berada di Melaka ini diuji dengan kesempitan kewangan dan kesukaran mencari rezeki.
Sebelum ini suaminya, Syed Sidiq Abudin Syed Abdul Aziz, 42 yang berkerja sebagai pembantu gerai di sebuah medan selera dengan gaji RM35 sehari telah hilang pekerjaan sejak 6 bulan lalu seterusnya menyukarkan kehidupan mereka sekeluarga.
Lebih memilukan, sudah 3 tahun mereka menyewa sebuah bilik kecil di Jalan Munshi Abdullah yang berkeluasan hanya 12×10 kaki bersama tiga anak yang berumur 10,12 dan 16 tahun berikutan tidak mampu untuk menyewa rumah lain.
Erala ismail, 42 yang berkerja sebagai pembantu jualan menanggung sepenuhnya perbelanjaan keluarga tetapi tidak dapat menyediakan keperluan secukupnya buat mereka sekeluarga.
“Apabila suami hilang kerja, memang saya dengan anak-anak ikat perut. Saya tertekan sangat lebih-lebih lagi hujung bulan macam ini, duit tiada hendak tunggu hari gaji, hanya telur dan ikan bilis selalu menjadi menu kami lima beranak,” Katanya ketika ditemui.
Sebelum ini, beliau boleh bersabar dengan kepayahan hidup yang dilaluinya tetapi apabila suami hilang punca pendapatan, jalan terakhir bagi beliau adalah dengan mengibarkan bendera putih menggunakan kain serban di luar tingkap.
“Bila tengok di Facebook suami terfikir untuk gantung kain putih, mana tahu ada rezeki. Alhamdulillah ada juga orang nampak kami kibarkan sebab akak tidak tahu apa lagi cara yang boleh buat” katanya.
“Bukan kata RM10, malah RM2 pun tiada di dalam poket, memang langsung tiada duit dan barangan makanan pula sudah terputus dan gas memasak yang ada cukup untuk masak air sahaja,” Luahan beliau.
Akhirnya bantuan yang mereka nantikan berupa makanan tiba apabila mendapat perhatian dan disampaikan oleh daripada Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dan juga majikan tempatnya berkerja.
Kredit: Astro Awani