6 Kali Penerbangan Sehari ke Langkawi Dari Malindo Air Mulai 16 Sept
Susulan pembukaan semula sektor pelancongan secara gelembung perjalanan ke Langkawi, syarikat penerbangan Malindo Air bakal menawarkan enam penerbangan setiap hari ke pulau itu bermula 16 September ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air, Kapten Mushafiz Mustafa Bakri, lima daripada penerbangan itu adalah dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah atau dikenali sebagai Subang Skypark dan satu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Pada tarikh 16 September yang juga merupakan tarikh sambutan Hari Malaysia, syarikat itu juga bakal menawarkan 15 kilogram (kg) percuma bagasi khususnya buat individu yang sudah lengkap divaksin 2 dos dan memegang tiket ‘Super Saver’.
Malindo Air juga akan bekerjasama dengan kerajaan, Lembaga Pembangunan Langkawi dan Tourism Malaysia untuk memastikan inisiatif pelancongan ini berterusan dengan kaedah selamat dan berkualiti.
Bagi memastikan keselamatan dan mewujudkan suasana selamat kepada pelanggan, pihak Malindo Air memastikan semua kakitangannya lengkap divaksin. Pelanggan juga dinasihatkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh kerajaan.
Mushafiz berkata, 2021 adalah tahun yang mencabar buat industri penerbangan namun pihaknya berharap pembukaan semula ini akan memberi nafas baharu buat semua pihak yang berkenaan.