Panduan Menaiki ‘Belon’ Bersama Si Manja Yang Mungkin Anda Terlupa
Berjalan jauh bersama anak yang masih kecil. Apa perkara pertama yang terlintas di fikiran?
Perkara ini ada kalanya menjadi dilema kepada ibu bapa yang ingin membawa bayi atau anak kecil keluar dari rumah dalam tempoh agak lama kerana perlu berjalan jauh atau travel.
Sebenarnya ada dua situasi yang memerlukan kita terpaksa bawa anak keluar dari rumah untuk memulakan perjalanan jauh.
Pertama kerana terpaksa. Boleh jadi disebabkan ada urusan mustahak jadi suka atau tak memang terpaksa bawa anak-anak. Kalau anak satu mungkin tiada masalah. Kalau anak ramai itu yang mencabar.
Kedua, kita sendiri yang memang jenis suka melancong. Dari sebelum kahwin sampailah ada pasangan dan beranak-pinak, ‘jalan-jalan cari makan’ atau aktiviti ‘makan angin’ sudah sebati dalam diri. Siap tak sabar-sabar nak bawa anak-anak bercuti atau dalam kata lainnya nak rasa pengalaman menaiki pesawat dengan mereka.
Tak kiralah anda dalam kategori mana. Oleh kerana kita pernah melalui tempoh Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) yang bukan sebentar maka ada baiknya kita refresh apa keperluan dan panduan sepanjang berada dalam ‘belon’ bersama si kecil.
Mungkin ada yang sudah lupa tip and trick sewaktu menaiki pesawat bersama si manja.
Memandangkan pintu pelancongan domestik sudah terbuka, jom baca perkongsian Khairul Abdullah satu ketika dahulu tatkala melancong bersama anak-anaknya.
Mungkin panduan beliau dapat melegakan hati anda yang bakal bercuti tak lama lagi.
Apa Perlu Buat Bila Bercuti Dan Menaiki Kapal Terbang Bersama Anak-Anak
Buat begini jika anda ingin menaiki pesawat bersama bayi yang masih kecil.
- Ketika famili bersama anak kecil dipanggil untuk menaiki pesawat terlebih dahulu, biarkan pasangan atau anda sendiri sahaja yang naik awal bersama beg, stroller dan sebagainya bersama anak yang lebih besar jika ada.
- Dah naik, siapkan tempat duduk, beritahu pramugari dan minta seatbelt khas bayi serta berikan botol susu kepada pramugari minta diisikan air suam dan buatkan susu.
- Anda atau pasangan bersama bayi tunggu hingga menjadi orang yang terakhir menaiki pesawat. Oleh yang demikian, bayi anda tidak akan merasa kurang selesa dan ‘overwhelmed‘ akibat melihat ramai orang yang sibuk mencari tempat duduk, menyimpan beg, bersembang dan sebagainya jika naik lebih awal.
- Sewaktu menunggu untuk berlepas juga penghawa dingin di dalam kapal terbang kurang sejuk maka bayi boleh juga merasa kepanasan, tidak selesa dan meragam. Jika anda yang terakhir memasuki pesawat, maka bayi tidak lagi perlu menunggu lama untuk berlepas.
- Bila dah duduk, pakaikan seatbelt dan berikan susu kepada bayi yang telah disediakan oleh pasangan anda yang naik lebih awal tadi.
Bayi Menangis! Alahai…Apa Perlu Buat?
Apa yang perlu lakukan jika bayi menangis?
Pertama sekali sebolehnya kena ambil langkah untuk elakkan anak menangis terlebih dahulu. Biasanya bayi menangis sebab tekanan yang dirasai oleh gegendang telinga dan juga persekitaran baru dan asing untuk mereka.
Biarkan anak kecil (toddler) main sampai penat dan lapar. Biarkan bayi (baby) pun penat dan lapar dahulu sebelum flight. Jangan bagi sebarang minuman atau snack. Jadi sewaktu dalam flight, bagi minum dan makan ketika take off.
Kalau baby biasanya lepas tu dia akan terus tidur. Kalau toddler pun akan tidur juga sebab dah penat. Namun kalau belum maka kena mula keluarkan mainan kegemaran dia, atau bawa mainan baru dan surprise-kan dia.
Kalau masih meragam dan menangis, dukung bayi dan berjalanlah bagi mententeramkannya bila dah boleh. Boleh berjalan dari hadapan ke belakang berulang kali sampai dia rasa biasa dan selesa.
Ini juga adalah waktu untuk memberi kepadanya apa sahaja termasuklah coklat, gula-gula atau lolipop, mainan baru dan sebagainya. Pastikan beg anda mempunyai segalanya dari mainan kegemaran, mainan baru, makanan dan lain-lain. Elakkan mainan yang ada bunyi-bunyian agar tidak mengganggu penumpang lain.
Boleh minta plastic/paper cup dari anak kapal dan anda akan kagum betapa cawan plastik tadi sangat digemari oleh baby dan toddler.
Anda sebagai ibu bapa juga perlu jangan panik. Jangan takut atau segan untuk dukung bayi dan berjalan sekiranya bayi masih menangis.
Tunjukkan yang anda sedang berusaha bagi menenangkan anak anda, kalau ada yang menegur dan sebagainya, pohonlah maaf. Pasti ramai penumpang lain serta anak kapal yang akan cuba membantu anda sebaik mungkin.
Banyakkan berdoa semoga semuanya dipermudahkan.
Kredit: Khairul Abdullah