Nak Merentas Negeri Atau Negara Di Waktu PKP? Baca Info Penting Ini Dulu!

Ramai yang sudah tahu satu dunia sekarang sedang dilanda wabak pandemik COVID-19. Jadi kebanyakan sempadan negara di tutup. Perkara ini juga berlaku di Malaysia di mana bukan sahaja sempadan negara ditutup bahkan sempadan negeri dan daerah.

Namun ini tidak bermakna anda tidak boleh merentas sempadan. Merentas sempadan daerah, negeri ataupun negara masih dibolehkan tetapi anda perlu tahu semua perkara dan info penting di musim pandemik ini supaya tidak dijangkiti dan tidak didenda.

Dalam artikel ini, kami nak kongsikan pembaca info yang penting untuk anda ketahui sebelum membuat sebarang perancangan yang melibatkan pergerakan jauh dari rumah sendiri.

1 – Perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum merentas negara / negeri ke destinasi

  • Bagaimanakah situasi COVID-19 di destinasi yang anda ingin tuju? Jika semakin tinggi kes yang wujud, semakin tinggi kemungkinan anda akan dijangkiti.
  • Adakah anda golongan berisiko tinggi? Sesiapa pun boleh terkena jangkitan COVID-19, namun risiko adalah lebih tinggi untuk golongan yang lebih tua atau mereka yang memiliki penyakit kronik.
  • Adakah anda tinggal bersama seseorang yang berisiko tinggi? Sekiranya anda dijangkiti semasa ke luar negeri atau negara, COVID-19 mudah tersebar kepada orang terdekat walaupun anda tidak memiliki simptom.

2 – Ketahui status & polisi berkaitan keluar masuk negara / negeri

Pastikan anda mengambil tahu apakah yang dibenarkan dan tidak dibenarkan oleh kerajaan atau pihak berkuasa.

Mereka yang dibenarkan untuk merentas daerah / negeri:

  • Kes-kes tertentu dengan kebenaran polis

Mereka yang dibenarkan merentas sempadan negara:

  • Pelawat ataupun orang asing.
  • Rakyat Malaysia dan Penduduk Tetap yang memiliki permit kerja dari negara dunia ke-3 yang ingin kembali ke tempat kerja (perlu memiliki dokumen yang penting: Pas Residen / Pas Jangka Panjang / Permit Kerja).
  • Rakyat Malaysia yang melanjutkan pengajian/menerima tawaran belajar dari luar negara atau yang menduduki peperiksaan di luar negara (perlu kemukakan dokumen penting: Pas Pelajar / Visa / Pas Jangka Panjang / Surat Tawaran / Surat Arahan).
  • Atas urusan kecemasan lain seperti kerja/seminar/urusan perniagaan dan sebagainya perlu membuat permohonan daripada Jabatan Imigresen Malaysia terlebih dahulu.

Pastikan destinasi yang ingin dilawati memiliki kes COVID-19 yang rendah

Sesetengah negara atau tempat terselamat dari serangan COVID-19 ataupun tidak memiliki bilangan kes setinggi tempat lain. Oleh itu, risiko untuk dijangkiti oleh virus tersebut juga agak rendah – sekiranya pelancong yang datang juga tidak membawa COVID-19.

Lihat apakah syarat yang ditetapkan destinasi lawatan

Sesetengah negara atau negeri memiliki syarat atau sekatan tersendiri yang perlu dipatuhi, sebagai contoh diwajibkan kuarantin selama 14 hari sebaik sahaja tiba. Peka dengan maklumat-maklumat terkini di destinasi dari masa ke masa. Antara destinasi yang dimaksudkan adalah seperti Sabah dan Sarawak. Lihat penjelasan terperinci tentang syarat kemasukan terbaharu bagi kedua-dua negeri ini:

Sarawak

Bermula dari 10 Oktober 2020, semua penumpang termasuklah warga Sarawak yang memasuki Sarawak dari Semenanjung Malaysia perlu menghantar borang permohonan melalui “enterSarawak” dan mengisi e-Health Declaration Form sebelum bertolak melalui website http://sdmc.sarawak.gov.my.

Anda perlu menjalani kuarantin selamat 14 hari di Pusat Kuarantin yang ditetapkan serta menjalani ujian RT-PCR COVID-19 pada hari ke-2 dan ke-10.

Semua penumbang dari Sabah atau Labuan tidak dibenarkan memasuki Sarawak kecuali warga Sarawak yang ingin kembali ke Sarawak.

Sabah

Bermula dari 12 Oktober 2020, hanya penumpang daripada kategori yang dinyatakan dibawah dibenarkan masuk ke dalam negeri Sabah:

A) Warganegara Malaysia:

  • Warga Sabah dengan MyKad, pemegang prefiks “H.”
  • Memiliki pasangan orang Sabah atau tanggungan dengan pas imigresen Malaysia yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia, Sabah, atau bukti perkahwinan dan sijil lahir tanggungan.
  • Bukan orang Sabah dengan pas Imigresen Malaysia yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia, Sabah, termasuklah Penduduk Tetap Sabah, atau pelajar daripada mana-mana institusi di Sabah.
  • Bekerja di bawah Perkhidmatan Perlu (Essential Services) dengan pas Imigresen Malaysia yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia di Sabah.

B) Orang Asing:

  • Pasangan kepada warga Sabah dan juga tanggungan yang memiliki pas yang dikeluarkan Jabatan Imigresen Malaysia, Sabah; atau bukti perkahwinan dan sijil lahir tanggungan (tidak melebihi 18 tahun).
  • Penduduk Tetap Sabah dengan kad pengenalan MyPR berprefiks “H” / Kad Permit Masuk / Pengesahan Permit Masuk pada Passport.
  • Pemegang pas kerja dan juga tanggungan di bawah Perkhidmatan Perlu (Essential Services).
  • Pelajar yang belajar di mana-mana institusi dalam negeri Sabah dan pemegang pas Imigresen yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia, Sabah.

3 – Pilih penginapan, restoran atau sebagainya yang mematuhi SOP

Antara perkara yang perlu dilihat adalah:

  • Penjagaan kebersihan premis dan prosedur kebersihan mereka.
  • Adakah penjarakan sosial diambil serius?
  • Pemakaian topeng muka oleh kedua-dua kakitangan dan juga pengunjung.
  • Membenarkan bayaran tanpa sentuh (contactless) seperti e-wallet.
  • Protokol sekiranya pengunjung jatuh sakit.

4 – Kekal selamat semasa berada di luar kawasan

Ini adalah antara langkah yang patut diambil untuk melindungi diri semasa dalam perjalanan:

  • Kekalkan jarak 6 kaki (2 meter) antara diri anda dan orang lain.
  • Elakkan sentuhan dengan orang lain.
  • Hadkan sentuhan dengan apa-apa permukaan seperti handrail, butang lif, meja dan sebagainya yang terletak di kawasan awam. Sekiranya terpaksa, gunakan sanitizer atau basuh tangan dengan bersih selepas disentuh.
  • Pakai topeng muka.
  • Elakkan daripada menyentuh mata, hidung atau mulut.
  • Tutup mulut semasa bersin atau batuk.
  • Bersihkan tangan dengan kerap. Terutama sekali selepas ke tandas, sebelum makan ataupun selepas batuk dan bersin.
Cara untuk mencuci tangan yang betul:
  • Basuh tangan dengan air yang bersih dan letakkan sabun.
  • Sapu tangan dengan sabun, di bahagian belakang tangan, celah-celah jari dan di bawah kuku.
  • Gosok tangan sekurang-kurangnya 20 saat.
  • Basuh tangan dengan bersih.
  • Keringkan tangan menggunakan kain.
  • Sekiranya tiada sabun atau air berdekatan anda, boleh gunakan sanitizer.
Cara menggunakan sanitizer:
  • Pastikan sanitizer yang digunakan mengandungi sekurang-kurangnya 60% alkohol. Lihat pada label.
  • Letakkan sanitizer pada telapak tangan (lihat pada label untuk mengetahui sebanyak mana yang sesuai)
  • Sapukan kedua-dua tapak tangan dan biarkan kering.

5 – Tips Penerbangan Dalam Musim Pandemik

  • Pastikan anda sampai di lapangan terbang sekurang-kurangnya 3 jam sebelum penerbangan untuk memberi ruang bagi pemeriksaan kesihatan dan prosedur lain.
  • Bawa penutup muka tambahan serta sanitizer.
  • Miliki suhu badan kurang daripada 37.5 darjah.
  • Memastikan jarak (penjarakan sosial) semasa beratur atau berada di tempat duduk di lapangan terbang.
  • Sebaik masuk ke dalam kapal terbang, duduk di tempat yang telah ditetapkan oleh syarikat penerbangan (dijarakkan dengan tempat duduk kosong antara penumpang). Hormati ruang penumpang lain.
  • Sekiranya terdapat transit, anda perlu kekal berada di dalam lapangan terbang.
  • Terdapat kemungkinan anda akan dikenakan kuarantin wajib semasa tiba di destinasi.

6 – Tips Menaiki Kenderaan Sendiri

Mungkin anda lebih selesa menaiki kenderaan sendiri untuk ke destinasi yang ingin dituju. Ini antara perancangan yang perlu dibuat sebelum bergerak:

  • Rancang untuk mengurangkan lokasi perhentian, namun berhenti memandu sekiranya mengantuk/penat.
  • Pastikan anda membawa stok topeng muka, hand sanitizer dan pengelap disinfektan (letakkan di tempat yang mudah untuk dicapai).
  • Sediakan makanan dan minuman untuk perjalanan.
  • Sekiranya anda perlu mengisi minyak, guna pengelap disinfektan pada pemegang atau butang sebelum tekan. Selepas isi minyak, bersihkan tangan menggunakan hand sanitizer. Sebaik tiba di destinasi nanti, basuh tangan menggunakan sabun.
  • Sekiranya anda perlu berhenti membeli makanan, sebolehnya pilih drive-thru atau kedai menawarkan penghantaran ke luar (curbside).

7 – Tips Menaiki Tekso Atau E-Hailing

Pakai topeng muka dan pastikan juga pemandu memakai topeng muka.
Gunakan sanitizer sebelum menaiki teksi atau e-hailing.
Hanya dua orang penumpang pada satu-satu masa dan duduk di bahagian belakang.
Galakkan pembayaran secara online.
Pakai sanitizer selepas menaiki teksi/e-hailing.

8 – Tips Menaiki REL – KTMB (ETS, Antarabangsa & Komuter) / Prasarana / RapidRail (MRT, LRT & Monorel) / ERL (KLIA Ekspres & KLIA Transit)

  • Membeli tiket secara online / pas bulanan / Touch n Go.
  • Scan suhu badan.
  • Jaga penjarakan sosial.

9 – Tips Semasa Menginap Di Hotel

  • Buka tingkap untuk pengudaraan sebaik sampai ke bilik hotel.
  • Disinfek permukaan yang banyak disentuh seperti tombol pintu, butang flush tandas, telefon, remote, meja dan sebagainya.
  • Pakai topeng muka dan kerap basuh tangan bila keluar dari bilik.
  • Kalau boleh elakkan housekeeping service (untuk mengurangkan risiko).
  • Buat tempahan food delivery untuk makanan, elakkan makan di kafe/restoran luar.
  • Jaga jarak dengan penginap yang lain.
  • Bawa sanitizer dan disinfektan di mana sahaja anda pergi
  • Nak lebih selesa dan selamat? Cari penginapan persendirian, seperti homestay AirBnB.

10 – Pertimbangkan Untuk Mereka Yang Berisiko Tinggi

Sesiapa sahaja boleh terkena jangkitan COVID-19, namun seperti yang dikatakan tadi, warga tua dan orang yang memiliki penyakit kronik memiliki kemungkinan tinggi untuk dijangkiti. Antara kondisi penyakit yang berisiko tinggi adalah seperti kanser, penyakit buah pinggang, jantung, sistem imun rendah, obesiti, dan sebagainya.

Pergerakan yang dilakukan tanpa mengambil kira langkah berjaga-jaga boleh meningkatkan kemungkinan dijangkiti. Pastikan anda mendapatkan nasihat daripada doktor untuk langkah penjagaan tambahan sebelum memulakan perjalanan.

11 – Kita Jaga Kita!

Walau bagaimana sempurna sekalipun perancangan yang telah dibuat, batalkan niat untuk bergerak sekiranya anda tidak sihat dan wujud simptom. Rancanglah dengan bijak demi kesihatan anda dan juga orang di sekeliling. Semoga kita semua selamat dari jangkitan COVID-19. Kita jaga kita!

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: