i-Sinar: Pengeluaran KWSP RM10,000 Kini Dibuka Untuk Semua Ahli Terjejas
Kerajaan hari ini bersetuju untuk memperluaskan pengeluaran KWSP RM10,000 Akaun 1 melalui skim i-Sinar kepada semua ahli yang terjejas pendapatan akibat pandemik COVID-19, seperti yang dilaporkan menerusi Astro Awani.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata pengeluaran tersebut akan memanfaat lebih lapan juta pencarum berbanding dua juta sebelum ini, serta kadar minimum pengeluaran turut dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM10,000.
Justeru setelah berbincang dengan KWSP pagi tadi, sukacita diumumkan program i-Sinar dibuka dan diperluaskan kepada semua ahli yang terjejas pendapatan mereka.
Baca juga: Tak Perlu Bayar Balik Pengeluaran Akaun 1 KWSP i-Sinar
Pengeluaran RM10,000 Untuk Semua Ahli KWSP Yang Terjejas
Memetik dari laporan Harian Metro, Tengku Zafrul berkata ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini:
“Saya dengar kesusahan rakyat di media sosial termasuk tuntutan semua Yang Berhormat, sukacita dimaklumkan Program i-Sinar diperluaskan kepada ahli terjejas pendapatan tidak kira hilang pekerjaan atau terkurang pendapatan.
Mereka layak memohon pengeluaran dari Akaun 1 tanpa mengira sektor, tanpa mengira ahli tersebut pekerja sektor formal atau bekerja sendiri, tanpa mengira ahli aktif mencarum atau tidak.”
“Selagi mereka terjejas pendapatan dengan ketara, mereka boleh mengeluarkan simpanan daripada akaun satu KWSP,” jelas beliau dalam sesi Penggulungan Perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat.
Cara Permohonan i-Sinar KWSP
Buat masa ini, masih belum ada kenyataan rasmi dari KWSP tentang cara membuat permohonan i-Sinar.
Namun, semua ahli yang layak boleh membuat permohonan di KWSP, dan mengemukakan dokumen bahawa mereka kehilangan atau terjejas pendapatan.
Baca juga: Cara Daftar i-Akaun KWSP Online, Semak Penyata & Mohon Pengeluaran
Jaminan Dividen & Pulangan KWSP Tidak Akan Terjejas
Dalam pada itu, Kementerian Kewangan turut memberi jaminan bahawa keputusan untuk memperluaskan skim i-Sinar tidak akan menjejaskan dividen atau pulangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Tengku Zafrul berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Nurul Izzah Anwar (PKR-Permatang Pauh) yang meminta penjelasan berhubung langkah kerajaan untuk memastikan kebajikan semua pencarum KWSP susulan keputusan kerajaan untuk memperluaskan skim i-Sinar.
“Jumlah aset di bawah pengurusan KWSP adalah berjumlah RM960 bilion, ketika ini. Di sini kita ada peruntukan analisis senario sensitiviti.”
Kita telah mempertimbangkan dengan terperinci sama ada mereka yang terjejas boleh atau tidak mengeluarkan wang dari Akaun 1.
“Daripada analisis kita, yang baru disiapkan pagi ini, ia tidak akan menjejaskan dividen atau pulangan kepada KWSP, sebalik ia dapat menolong ramai (ahli yang terjejas),” katanya lagi.
*Sumber: Harian Metro, Astro Awani