Penamaan KWSP: Cara Daftar Penama & Kepentingannya
Untuk makluman, anda boleh menamakan mana-mana individu berusia 18 tahun ke atas atau Amanah Raya Berhad (ARB) untuk Penama KWSP.
Bagaimanapun, ahli dinasihatkan agar menamakan ahli keluarga terdekat bagi memudahkan urusan pengeluaran KWSP.
Penama KWSP bagi ahli yang beragama Islam adalah sebagai Wasi yang bertanggungjawab mengagihkan simpanan KWSP ahli yang telah meninggal dunia kepada waris yang berhak.
Di sini kami kongsikan info lanjut tentang Penamaan KWSP dan keperluannya.
Apakah Penamaan KWSP?
Apabila anda membuat penamaan, anda memilih individu atau institusi untuk menerima dan mentadbir simpanan KWSP anda sekiranya anda meninggal dunia.
Anda boleh buat perancangan awal dengan membuat penamaan anda bagi mengurangkan kesulitan dan juga untuk memastikan mereka mendapat jaminan kewangan selepas anda meninggal dunia.
Berikut adalah beberapa fakta dan mitos tentang penamaan KWSP:
Mitos | Fakta |
---|---|
Simpanan akan dipindahkan ke ARB jika tidak dituntut | Simpanan yang masih di KWSP hanya akan dipindahkan ke Pendaftar Wang Tidak Dituntut apabila ahli mencapai umur 100 tahun |
Kematian membatalkan keseluruhan penamaan | Hanya bahagian penama yang meninggal dunia sahaja terbatal |
Waris perlu menuntut dalam masa 3 hari sahaja, jika tidak simpanan akan dipindahkan secara automatik ke ARB | Bagi ahli beragama Islam sahaja, penamaan akan terbatal jika Penama/Pentadbir (Wasi) tidak membuat permohonan pengeluaran dalam masa 1 tahun dari tarikh kematian ahli |
Kepentingan Penamaan KWSP
- Memendekkan proses pengeluaran
- Mengelakkan sebarang kos dan kerumitan mendapatkan dokumen pihak ketiga dari Pejabat Tanah/Mahkamah
- Memastikan waris mewarisi simpanan anda
Sekiranya ahli tidak menamakan sesiapa sebelum kematian, waris ahli yang layak boleh menghantar permohonan Pengeluaran Kematian ke pejabat KWSP.
Baca juga:
- Pengeluaran Khas i-Citra KWSP 10k, Ini Jawapan Menteri Kewangan
- Panduan Permohonan Baru BKM & Cara Kemaskini Maklumat
Siapa Yang Boleh Membuat Penamaan?
- Berumur 18 tahun ke atas
- Warganegara Malaysia ATAU Penduduk Tetap (PR)/Bukan Warganegara (Menjadi ahli KWSP sebelum 1 Ogos 1998)
Siapa Yang Boleh Dinamakan?
- Mana-mana individu
- Amanah Raya Berhad (ARB)
* Sebagai Wasi/ Pentadbir yang bertanggungjawab untuk mengagihkan simpanan ahli yang meninggal dunia kepada waris-waris yang berhak mengikut Undang-Undang Islam
*Sekiranya ahli memilih untuk menamakan ARB sebagai penama, ARB akan menjadi pentadbir kepada SEMUA (100%) bahagian simpanan ahli.
Cara Membuat Penamaan
Penamaan boleh di buat oleh ahli dengan melengkapkan KWSP 4 dan mengemukakan sendiri di mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara.
DOKUMEN | WARGANEGARA MALAYSIA/PR | BUKAN WARGANEGARA (Menjadi Ahli KWSP sebelum 1 Ogos 1998) |
---|---|---|
Borang Penamaan (KWSP 4) | / | / |
Salinan Kad Pengenalan/ MyKad / Kad Pengenalan Tentera | / | X |
Salinan passport yang sahlaku | X | / |
Salinan dokumen pengenalan diri penama-penama* | / | / |
NOTA:
Penamaan boleh dikemas kini dari semasa ke semasa dengan mengemukakan Borang Penamaan KWSP 4 yang baru. Penamaan baru akan membatalkan penamaan ahli yang terdahulu.
Maklumat Lanjut
Untuk info lengkap, anda boleh layari laman web KWSP di pautan ini: https://www.kwsp.gov.my/ms/member/nomination.