Ada Ibu Bawa Anak Ke Klinik Kerana Terlalu Lemah Berpuasa, Ini Nasihat Doktor

Dalam bulan Ramadan ini, tentunya ada anak-anak yang baru pertama kali belajar berpuasa.

Di Malaysia, rata-rata ibu bapa telah mula mengajar anak berpuasa dari usia 6-7 tahun. Malah, ada yang dah ajar anak berpuasa sejak tadika lagi.

Biasanya ibu ayah akan ajar anak mula-mula puasa separuh hari dulu, kemudian barulah berpuasa penuh.

Ada anak-anak yang boleh bertahan. Tetapi ada juga anak-anak yang perlukan latihan dan barulah dapat berpuasa penuh pada usia yang lebih lewat.

Semuanya bergantung kepada anak-anak itu sendiri kerana tahap ketahanan setiap anak itu berbeza.

Walau apapun, kita dinasihatkan agar tidak memaksa anak-anak ini berpuasa sekiranya tidak mampu.

Ini kerana ia boleh membahayakan kesihatan dan memudaratkan anak itu sendiri.

Begitulah yang diceritakan oleh seorang doktor melalui media sosial, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan, tentang bagaimana seorang anak kecil berusia 6-7 tahun yang kelihatan sangat lemah dibawa ke klinik.

Namun dalam kes ini, difahamkan guru tidak membenarkan anak ini makan di sekolah sehingga makanan dan minumannya diambil oleh guru.

Sesiapa yang tidak berpuasa akan ditegur dan ditertawakan oleh rakan sekelas.

Disebabkan itu, si anak terpaksa bertahan walaupun terasa sangat lemah. Akibatnya, anak ini benci berpuasa dan tidak mahu ke sekolah.

Oleh itu, Dr Kamarul menasihatkan ibu bapa, guru dan penjaga agar mendidik anak berpuasa dengan cara yang menyemai kecintaan terhadap ibadah tersebut dan berhikmah.

Berikut dikongsikan hantaran Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan di Facebook beliau:

Ibu Bawa Anak Ke Klinik Kerana Lemah Berpuasa, Dr Nasihatkan Ibu Bapa Usah Memaksa

Hari ni ada seorang ibu bawa anaknya yang kelihatan sangat lemah ke klinik.

Si anak baru berumur 6-7 tahun. Baru nak mengenal puasa. Sekolah pagi. Ibu tak sediakan sarapan, sebab sedang ajar nak berpuasa, tapi dibekalkan air dan roti untuk ke sekolah.

Dipesan pada anak, jika tak tahan berpuasa, maka berbukalah dengan bekal yang dibawa.

Namun begitu, sehingga si ibu ambil anaknya pulang di waktu tengah hari, anaknya masih belum berbuka. Jika tidak kerana anaknya kelihatan begitu lemah, pasti si ibu berasa senang hati.

Malangnya, si anak ni nampak sangat lemah. Dia kata benci berpuasa. Dia benci sekolah. Dia benci kawan-kawan. Anak tu kata dia tak nak berpuasa lagi selepas ini, dan tak mahu lagi ke sekolah.

Bila ditanya mengapa, si anak beritahu makanan dan minumannya di ambil oleh cikgu. Siapa yang tak berpuasa ditegur di khalayak kelas. Ada rakan sekelas yang tertawakan mereka yang tak puasa.

Lepas sekolah habis, baru bekal makanan dipulangkan. Dipesan sekali lagi oleh cikgu agar berpuasa sehingga masuk waktu berbuka. Si anak hanya menurut, kerana takut dimarahi.

Pendapat saya, bila mengajar kanak-kanak lakukan ibadah, hendaklah ia bersifat mengajak dan memujuk. Tak usahlah ia dalam keadaan memaksa atau dengan cara yang memalukan mereka.

Kita semua mahukan anak-anak yang membesar dengan cinta terhadap agama. Kita kena lakukannya dengan berhikmah, kerana jika sudah terbit benci, maka sukar nak disemai cinta di kemudiannya.
Mereka mungkin mampu berpuasa sampai ke Maghrib, namun ia perlukan persediaan serta penyesuaian berperingkat untuk elakkan risiko kemudaratan.

Kita ada sekitar 30 hari, InsyaAllah cukup masa untuk mendidik, cukup masa untuk melatih, cukup masa untuk memberi sokongan. Sampai masa nanti, kita raikan kejayaan kita sama-sama.
Semoga Ramadan ini, lebih baik daripada yang sebelumnya.

Kamarul Ariffin Nor Sadan

Kesihatan dan Perubatan

*tak perlu kecam cikgu secara umum. Tak semua cikgu begini. Ada yang bagus, prihatin dan berempati.

Sumber: Facebook Dr Kamarul Arifiin Nor Sadan

Apa Kata Netizen

Hantaran Dr Kamarul mendapat reaksi yang hangat daripada netizen, dan ruangan komen dipenuhi dengan pelbagai pendapat.

Ada ibu bapa yang berkongsi bahawa mereka juga pernah melalui perkara yang sama dan berasa kesal dengan tindakan guru.

Sementara itu, ibu bapa juga bersetuju bahawa mendidik anak untuk solat 5 waktu adalah lebih utama dan perlu didahulukan berbanding berpuasa.

Pada keseluruhannya, ibu bapa mengambil maklum dan ada yang berkongsikan pengalaman masing-masing tentang cara mengajar anak berpuasa.

Diharapkan saranan doktor ini dapat memberi sedikit peringatan dan pengajaran kepada ibu bapa tentang cara mendidik anak berpuasa dengan betul ya.

Jangan sesekali memaksa mereka jika anak-anak tidak larat berpuasa, terutamanya yang masih kecil.

Semoga bermanfaat dan sama-sama beringat ok!

Baca juga:

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: