Dikecam Kerana Halang Anak Muda Ke Konsert Justin Bieber, Ini Respon UAH
Baru-baru ini seorang pendakwah terkenal, Ustazah Asma Harun pernah memberi ulasan tentang kebimbangannya terhadap konsert Justin Bieber yang akan diadakan di Malaysia pada Oktober tidak lama lagi.
Difahamkan penjualan tiket telahpun bermula pada 31 Mac lalu, bersamaan 1 Ramadan 1443H.
Fenomena ini mencetuskan kebimbangan kerana rata-rata begitu ramai anak remaja yang sanggup membelanjakan ratusan dan ribuan Ringgit untuk membeli tiket konsert berkenaan.
Namun, ada golongan yang tidak senang dengan nasihat Ustazah Asma’ Harun dan mendakwa ia hanyalah sesuatu yang sekadar ‘minat’.
Malah, golongan ibu ayah juga ada yang kurang setuju dan berpendapat mereka boleh melakukan apa saja yang disukai dengan wang mereka.
Berikut respon Ustazah Asma Harun berkenaan isu ini:
Dikecam Kerana Halang Anak Muda Ke Konsert Justin Bieber, Ini Respon UAH
Yang ramai kecam juga dalam kalangan IBU AYAH, katanya pergi bukan guna duit Ustazah pun, kenapa nak sibuk hal orang, dan lain-lain yang lebih pedih.
Duhai IBU AYAH, bukankah kalian yang selama ini berkata sayang pada anak-anak sampai Syurga dan berdoa untuk berkumpul disana. Bukankah kalian yang selalu inginkan anak-anak selamat daripada bahaya dunia, jika mereka sakit kalian tak tidur lena dan sanggup korban apa sahaja.
Tiada kasih sayang yang lebih tulus seorang Ibu Ayah melainkan mereka berusaha dengan hati, perkataan dan tindakan untuk melindungi anak-anak daripada melalui jalan yang salah dan terpesong daripada menuju ke Syurga. Itulah bukti kasih sayang sejati.
Adakah kalian begitu naif bahawa suasana konsert sebegini akan berlakunya percampuran lelaki dan perempuan, kadang minuman najis berjaya dicuba, lebih jauh lagi ia boleh menjadi langkah pertama menuju kepada penzinaan. Jika sebelum ini kita dihadapkan dengan fakta konsert M* pun dah jumpa banyak K bersepah bila waktu pagi ketika pihak yang membersih kawasan menjalankan tugas.
Suasana terkinja-kinja dan saling hilang kawalan diri, walaupun asalnya si anak ni seorang yang pemalu dan sopan,namun suasana sangatlah mempengaruhi seseorang, pakaian pula tak boleh dibayangkan, pasti akan disesuaikan dengan konsert supaya tak dilihat janggal. Bertemulah dengan kawan baru, sekelip mata no. tel saling bertukar, merasai nikmat kebebasan atas nama ‘sporting’ IBU AYAH.
Iya, istilah jangan jaga tepi kain orang terus dilaungkan walaupun kain tu dah terselak hingga membuka aib sendiri. Kita hanya ingin tarik kain tu supaya aibnya juga terpelihara, kerana prihatin dan tanggungjawab. Kami selaku pendakwah menanggung amanah yang akan dihisab kelak. Saat melihat KEMUNGKARAN YANG DIBENARKAN SECARA TERBUKA OLEH PIHAK YANG TIDAK BERTANGGUNGJAWAB. Adakah iman tidak bersuara, atau lesu juga bersama ayat sangka baik,
“Alahai itu Justin Bieber je, itu sekadar hiburan je, bukan selalu sekali sekala je, kadang-kadang remaja perlu diberi kebebasan nanti memberontak, jika berdosa nanti taubatlaaa”
Tuan Puan,
Saat Arab Saudi Anjur konsert Riyadh Season ramai yang kecam dan menginsafi bahawa itu adalah petanda akhir zaman, rasa terkejut kerana baru nak melepasi Musibah Wabak, ingatkan menjadi lebih kuat Ibadat, tapi rupanya Penjaga Tanah Suci membuka pintu Maksiat dan lain-lain.
Terlalu sedih, bila budaya ini sampai ke Tanah Air sendiri, Malaysia yang dicintai, masing-masing boleh mengubah rasa itu kepada sesuatu yang dianggap biasa, normalisasi sengaja buat maksiat lepas tu taubat telah menjadi tipudaya yang sangat berjaya hawa nafsu dan syaitan. Istilah terlambat bila berlaku sesuatu yang mudharat akan cuba dicantikkan juga dengan ayat “adalah hikmah disebalik” , walaupun hakikatnya musibah itu sendiri dicari bukan diberi.
Allahu Akbar, kita tahu tiket dah habis pun terjual. Satu konsert yang harganya sangat mahal begitu mendapat sambutan di Negara Islam Malaysia. Selepas ini, nantikanlah konsert lain pula bakal menyusul, atas nama hiburan itu keperluan, maka suburlah budaya hedonisme. Terbentuk jelaslah generasi hamba hiburan, itulah nanti menjadi sumber pendapatan pihak penganjur yang tamak.
Ini bukan doa atau sangka buruk, menulis daripada pengalaman menguruskan kes masalah sosial remaja dan penyesalan Ibu Bapa. Janganlah normalisasikan pendidikan, “bagi depa rasa dulu apa yang nak, esok dah jemu depa berhentilah..”. Nauzubillah, bimbang Ibu Bapa dan anak tak sempat taubat sebelum mati.
Saya tak sedih dikecam dan dihina, siapa saya ni untuk dihormati dan dimuliakan, banyak kekurangan dan dosa sendiri yang lebih menjadikan diri ini hina. Kesedihan adalah apabila melihat sesuatu kemungkaran namun ramai yang berdiam.
Terima kasih semua yang memberikan sokongan dan doa, ini adalah perjuangan kita, moga menjadi saksi dan catatan amal soleh kita bersama. Sayang dan kasih sahabat semua kerana Allah dan Rasulullah. Di atas jalan ini kita bertemu, semoga di Syurga Allah kita bersatu. Takbir, ALLAHU AKBAR.
حسبنا الله ونعم الوكيل
Asma’ binti Harun
2 Ramadhan 1443H
Berikut dikongsikan ulasan UAH yang terdahulu berkenaan konsert ini.
KONSERT JUSTIN BIEBER, FENOMENA YANG MEMBIMBANGKAN
Apabila berlaku pandemik selama 2 tahun sehingga aktiviti sosial yang melibatkan ramai orang tidak dibenarkan, kita sangka gejala maksiat sedemikian juga telah mati. Namun bila war-war konsert Justin Bieber yang akan berlangsung pada 22 Oktober nanti di Stadium Bukit Jalil, semakin rancak sambutan golongan anak muda.
Tiket dijual dari harga RM288 sehingga RM2088, tapi mereka sanggup kosongkan duit simpanan, bahkan ada yang sanggup mengambil upah kerja itu dan ini semata-mata untuk beli tiketnya. Antara yang viral juga ialah video seorang anak meminta duit pada ibunya untuk hadir ke konsert. Allahu Akbar.
Sungguh, fenomena ini memang sangat membimbangkan. Rupanya kecenderungan untuk hadir ke tempat maksiat masih subur.
WAHAI ADIKKU, GUNAKAN DUIT ITU KE ARAH YANG LEBIH BERMANFAAT
Saya faham perasaan seronok itu sukar dibendung, apatah lagi bila melibatkan artis kesukaan. Tapi dengan harga ratus atau ribuan ringgit itu sebenarnya boleh digunakan untuk perkara yang lebih baik seperti tampung kos makan minum, yuran pengajian, beli hadiah untuk ibu ayah, bantu adik-beradik atau orang yang lebih memerlukan.
Duit yang disedekahkan itu insyaAllah akan jadi penyejuk kubur, sedangkan yang diguna untuk hadir konsert dan tempat maksiat akan menyempitkannya.
Iya, kita akan dapat kepuasan berseronok tetapi cuba persoalkan pada diri sendiri, “kemudian apa yang aku akan dapat untuk 5, 10, 20 tahun akan datang? Nak cerita dengan bangga pada anak cucu yang aku pernah terkinja di konsert Justin Bieber?” InsyaAllah dik, kalau kamu berjaya lawan nafsu daripada hadir, saya yakin Allah sediakan ganjaran yang amat besar buat kamu.
Firman Allah SWT:
وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا ۚ وَإِنَّ اللَّـهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ
Maksudnya: “Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, maka Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan), dan sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang berusaha memperbaiki dirinya”.
(Surah Al-Ankabut 29: 69)
Di usia sekarang, saya yakin kalian sudah besar, sedang tumbuh subur sebagai seorang yang akan beri manfaat yang besar kepada masyarakat, saya percaya juga kalian boleh bezakan mana yang baik atau sebaliknya. Saya doakan kalian menjadi generasi yang akan bawa nama baik agama serta menjadi penyejuk mata masyarakat, insyaAllah.
IBU BAPA, JANGANLAH JADI PINTU MASUK ANAK-ANAK KE DAERAH MAKSIAT
Saya menyeru kepada ibu bapa yang dirahmati Allah sekalian, gunakan kuasa dan kemampuan yang ada untuk selamatkan ahli keluarga kita daripada tergelincir ke daerah maksiat, sama ada disebabkan dorongan nafsu hiburan atau pujukan kawan-kawan.
Firman Allah SWT:
يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا قُوْٓا اَنْفُسَكُمْ وَاَهْلِيْكُمْ نَارًا وَّقُوْدُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلٰۤىِٕكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُوْنَ اللّٰهَ مَآ اَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُوْنَ مَا يُؤْمَرُوْنَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, dan keras, yang tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.”
(Surah At-Tahrim 66: 6)
Sungguh, peranan ini bukan sahaja dipikul oleh ketua keluarga tetapi juga ibu yang melahirkan anak. Nikmat paling bahagia ialah bila dapat bersama seisi keluarga di dalam Syurga Firdaus di akhirat nanti, maka untuk capai matlamat ini perlu kesungguhan dan ketegasan dalam membimbing anak ke jalan yang diredhai Allah SWT.
Bimbang jika semua permintaan anak kita izinkan demi menjaga hati, sekalipun yang terang-terangan berbentuk maksiat, pasti kita akan dipersoal di hadapan Allah kelak. Allahu Akbar. Maka, bertegaslah selagi perlu meskipun akan dicemuh oleh anak sendiri. Mungkin mereka belum faham, tetapi yakinlah Allah pasti akan perlihatkan hikmahnya kepada mereka nanti.
SEMOGA PENULISAN DARI HATI INI SAMPAI KE HATI
Penulisan ini dibuat dengan tujuan agar masyarakat kita dapat dijauhkan daripada mengimarahkan program-program yang menjejaskan iman mereka bahkan mungkin menjemput bala, na’uzubillah. Saya mungkin tiada kuasa seperti mereka yang meluluskan program ini, tapi itu tak bermakna kita hanya perlu diam dan bersilang tangan.
Daripada Abu Sa’id Al Khudri r.a. berkata : Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَراً فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ اْلإِيْمَانِ
Maksudnya: “Siapa yang melihat kemungkaran maka ubahlah dengan tangannya, jika tidak mampu maka ubahlah dengan lisannya, jika tidak mampu maka (tolaklah) dengan hatinya dan hal tersebut adalah selemah-lemah iman.”
(HR Muslim, hadis sahih)
Jika alasan membenarkan konsert ini mengambil tempat di bumi Malaysia bagi menjana semula ekonomi negara, fikir semula mana yang lebih berbaloi; wang atau keberkatan. Masih banyak cara untuk tingkatkan ekonomi negara, mengapa masih memilih jalan mungkar?
Dalam Islam, kaedah fiqh ada mengatakan bahawa:
الغَايَةُ لَا تُبَرِّرُ الوَسِيلَة
Maksudnya: “Matlamat tidak menghalalkan cara.”
HORMATI BULAN RAMADHAN YANG BAKAL TIBA
Tiket ke konsert tersebut akan dibuka pada 31 Mac, bersamaan dengan malam 1 Ramadhan pada hari yang sama. Sebenarnya ini merupakan ujian keimanan buat orang mukmin.
Sekiranya kita benar-benar menjaga kemuliaan Ramadhan, nescaya kita akan lawan daripada menghadiri program tersebut, sesuai dengan konsep Ramadhan yang tujuannya untuk melatih orang mukmin melawan hawa nafsu, meskipun konsert itu diadakan pada bulan 10 nanti.
Tuan Puan,
Berjuanglah habis-habisan melawan kehendak nafsu yang memperdaya, agar kita tidak tercicir akhirat lalu ditipu kehidupan dunia. Sungguh, kebahagiaan abadi tidak diukur dengan miskin atau kaya, bertemu artis atau orang ternama, tetapi hanya apabila kaki sudah berpijak di dalam Syurga.
Kita bimbang sekiranya Ramadhan kali ini berlalu dengan sia-sia, tanpa mendapat sebarang pengampunan atau rahmat yang amat diperlukan oleh si hamba.
Daripada Abu Hurairah r.a., beliau menceritakan:
أنَّ النَّبيَّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم صَعِدَ المِنْبَرَ فَقَالَ آمِيْنَ آمِيْنَ آمِيْنَ قِيْلَ يَا رَسُوْلَ اللهِ إنَّكَ صَعِدْتَ المِنْبَرَ فَقُلْتَ آمِيْنَ آمِيْنَ آمِيْنَ فَقَالَ إنَّ جِبْرِيْلَ عَلَيْهِ السَّلَامُ أَتَانِيْ فَقَالَ مَنْ أَدْرَكَ شَهْرَ رَمَضَانَ فَلَمْ يُغْفَرْ لَهُ فَدَخَلَ النَّارَ فَأَبْعَدَهُ اللَّهُ قُلْ آمِيْنَ فَقُلْتُ آمِيْنَ وَمَنْ أَدْرَكَ أَبَوَيْهِ أَوْ أَحَدَهُمَا فَلَمْ يَبِرَّهُمَا فَمَاتَ فَدَخَلَ النَّارَ فَأَبْعَدَهُ اللهُ قُلْ آمِيْنَ فَقُلْتُ آمِيْنَ وَمَنْ ذُكِرْتَ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيْكَ فَأَبْعَدَهُ اللهُ قُلْ آمِيْنَ فَقُلْتُ آمِيْنَ
Maksudnya: “Ketika Nabi SAW menaiki mimbar, Baginda SAW bersabda: “Amin, Amin , Amin (sebanyak 3 kali)”. Baginda SAW ditanya: “Wahai Rasulullah, apabila engkau menaiki mimbar, engkau telah berkata amin, amin, amin.” Maka Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Jibril a.s. telah datang kepadaku, lalu dia berkata: Siapa yang bertemu dengan bulan Ramadhan tetapi tidak diampunkan baginya maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka serta dijauhkan daripada rahmat Allah SWT. Katakanlah Amin (wahai Muhammad). Maka aku katakan: Amin. Dan siapa sempat dengan kedua orang tuanya tetapi tidak berlaku baik kepada meraka, kemudian dia meninggal maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka serta dijauhkan daripada rahmat Allah SWT. Katakanlah Amin (wahai Muhammad). Maka aku katakan: Amin. Dan siapa yang disebut kepadanya namaku namun dia tidak berselawat kepadaku, maka dia akan dijauhkan daripada rahmat Allah SWT. Katakanlah Amin (wahai Muhammad). Maka aku katakan: Amin.”
(HR Ibnu Hibban, hadis sahih)
Mari sama-sama kita amalkan doa ini agar diselamatkan ahli keluarga seluruhnya daripada perbuatan maksiat yang merugikan:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ اَزْوَاجِنَا وَذُرِّيّٰتِنَا قُرَّةَ اَعْيُنٍ وَّاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِيْنَ اِمَامًا
Maksudnya: “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan dan keturunan kami sebagai penyenang mata (dan hati), serta jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa.”
(Surah Al-Furqan 25: 74)
Sumber : Asma’ binti Harun & Tim Penyelidikan