Malaysia Akan Hasilkan Vaksin COVID19 Jenis mRNA & Virus Ternyahaktif
Malaysia Akan Hasilkan Vaksin COVID-19 Sendiri Menggunakan Teknologi Vaksin Jenis mRNA & Virus Ternyahaktif
Malaysia kini sedang dalam proses membangunkan vaksin COVID-19 melalui kerjasama dengan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).
Menteri Kesihatan Dato’ Sri Dr Adham Baba berkata vaksin berkenaan ialah jenis messenger ribonucleic acid (mRNA) mula dibangunkan bermula November tahun lepas dan kini pada peringkat pengklonan varian asal virus serta varian lain SARS-CoV-2 (COVID-19).
“Selepas ia selesai, kajian praklinikal ke atas haiwan besar dan kecil akan dilaksanakan sebelum kajian klinikal terhadap manusia dilakukan,” katanya dalam sidang media Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 untuk minggu epidemik ke-24 bermula 12 Jun hingga Sabtu lepas (CITF) di Putrajaya pada 21 Jun 2021.
Turut sama dalam sidang media berkenaan ialah Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin.
Berkenaan perkembangan program PICK, Khairy berkata sebanyak 98,166 permohonan daripada ibu hamil untuk vaksinasi diterima Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF).
Menurut beliau, kini tarikh janji temu sedang dikeluarkan secara berperingkat mengikut jangkaan tarikh bersalin (EDD) para pemohon berkenaan.
Baca juga: Help Desk MySejahtera: Semakan Maklumat Untuk Ibu Ayah Yang 60 Tahun Ke Atas Yang Belum Dapat Vaksin
“Pada hujung minggu lepas, kita telah memberikan sebanyak 3,000 janji temu di Kuala Lumpur dan 224 di negeri Perlis,” katanya.
Pihak CITF juga telah meluluskan sebanyak 5,621 permohonan untuk pelajar yang ingin menyambung pengajian ke luar negara dalam masa terdekat dan mereka perlu mendapatkan suntikan vaksin mereka segera sebelum berlepas.
Baca juga: MySejahtera Kini Boleh Daftar Vaksin Untuk Anak 12 Tahun Ke Atas, Ini Caranya
Setakat semalam, jumlah pemberian vaksin secara keseluruhan untuk dos 1 dan dos 2 ialah 5,815,575. Daripada jumlah itu, sebanyak 4,202,601 orang sudah menerima dos pertama kira-kira 12.9% dan 1,612,974 orang sudah melengkapkan dua dos vaksinasi COVID-19.
*Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)