Murid Tahun 6 Maut Dipanah Petir Ketika Guna Telefon Bimbit

Kanak-kanak Maut Dipanah Petir Ketika Menggunakan Telefon Bimbit

Gua Musang: Seorang murid Tahun Enam maut dipercayai dipanah petir ketika menggunakan telefon bimbit di rumahnya di Kampung Sungai Raya, Kuala Betis, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 4.50 petang itu, Nur Asyqin Qistina M Nor Zawawi, 12, ditemukan tidak sedarkan diri oleh ibunya, Siti Noraini Rashid, 41, di dalam biliknya.

Menurut bapa kanak-kanak terbabit, M Nor Zawawi Awang, 54, sebelum kejadian dia berada di surau berdekatan untuk menunaikan solat Asar sebelum terdengar dentuman petir serta hujan.

“Isteri datang memaklumkan bekalan elektrik di rumah terputus. Saya pulang ke rumah dan memeriksa kerosakan sebelum kembali ke surau. Tidak lama kemudian isteri datang memaklumkan anak saya ditemui tidak sedarkan diri.

“Sebaik tiba di rumah, saya lihat Nur Asyqin Qistina sudah tidak sedarkan diri dan terdapat kesan terbakar pada tangan kanan dan tilam selain terdapat telefon bimbit berhampiran.

“Dia mungkin kena panah petir ketika menggunakan telefon bimbit berdasarkan kesan terbakar di tangan selain telefonnya juga rosak.

“Apa yang berlaku sangat mengejutkan kami sekeluarga namun kami reda dengan apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Perubatan Hospital Gua Musang, di sini, hari ini.

Menurutnya, dia membawa Nur Asyqin Qistina ke Klinik Kuala Betis dan disahkan meninggal dunia.

Jenazah anak keempat daripada lima beradik itu dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat dan sehingga kini belum selesai.

Sementara itu, orang awam diingatkan agar mengamalkan langkah keselamatan semasa petir.

Berikut adalah tips yanng anda boleh lakukan (rujuk infografik).

Sumber: Harian Metro, KKM

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: