Ustaz Kazim Elias Tarik Diri Calon BN Parlimen Larut

ustaz kazim elias bn

Penceramah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim, menarik diri daripada bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Parlimen Larut.

Mohd Kazim dikatakan memaklumkan sendiri perkara itu kepada UMNO Perak pagi ini.

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengesahkan perkara itu ketika mengumumkan calon-calon BN di sini, hari ini.

Beliau turut mengumumkan pengganti Ustaz Kazim ialah Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Larut, Mohd Shafiq Fhadly Mahmud yang akan menggantikan kerusi tersebut di PRU15.

Punca sebenar penarikan diri Mohd Kazim tidak dinyatakan.

Bagaimanapun, Astro Awani melaporkan bahawa ia berkaitan dengan pencalonan abangnya, Kapten (B) Datuk Mohd Najmuddin Elias di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kurau, mewakili Perikatan Nasional (PN).

DUN Batu Kurau adalah salah satu daripada tiga DUN yang terletak di dalam Parlimen Larut. Dua lagi ialah Selama dan Kubu Gajah.

Semalam, pencalonan Ustaz Kazim diumumkan sendiri Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Pengumuman Bakal Calon Parlimen BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Pemilihan tokoh agama itu berdasarkan populariti dan pengaruhnya di negeri Perak dan sesuai untuk berdepan calon PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin di Larut.

Baca juga: