Kenapa Anda Perlu ‘Check-out’ Dalam Aplikasi MySejahtera? Ini Penjelasan KKM
Jika sebelum ini aplikasi MySejahtera hanya memerlukan anda untuk ‘check-in’ apabila anda ke sesuatu destinasi. Ianya adalah bertujuan untuk merekodkan pergerakan anda dan memudahkan melacak kontak rapat jika berlaku kes positif Covid.
Namun pada awal September yang lalu, bagi anda yang telah mengemaskini aplikasi MySejahtera pasti akan perasan satu ciri baharu di dalam aplikasi MySejahtera di mana anda perlu ‘check-out’ setelah anda beredar daripada destinasi terakhir anda.
Namun begitu, ciri ‘check-out’ yang diperkenalkan itu menjadi debat dikalangan pengguna dan ada yang mengeluh kerana ciri baharu itu menyukarkan pengguna kerana sering terlupa menekan butang tersebut.
Bagi menjawab keluhan dan persoalan orang ramai, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberikan senario bagi menjelaskan kepentingan untuk mereka menekan butang ‘Check-out‘ dalam aplikasi MySejahtera mereka.
KKM menjelaskan, sebelum butang ‘check out‘ diperkenalkan, data ‘check-in‘ berturutan digunakan untuk meletakkan ‘upper bound‘ pada tempoh masa seseorang berada di sesuatu tempat.
Contohnya, jika anda check-in di Restoran X pada jam 7 malam, dan Restoran Y pada jam 8 malam, anda berada di Restoran X untuk paling lama 1 jam.
Sekiranya check-in berturutan bersifat “outlier” (cth anda balik rumah dan hanya keluar esok), sistem mengesan itu sebagai “outlier” dan menggunakan tempoh purata (berdasarkan lokasi, waktu dan demografi).
Purata ini amat stabil kerana dihasilkan daripada berbilion data ‘check-in’.
Tetapi kini, pengguna diminta untuk ‘check-out’ kerana ini akan membolehkan algoritma menentukan risiko jangkitan dengan lebih tepat.
Satu lagi contoh senario diberikan adalah pengguna check-in di Restoran X pada jam 7 malam dan check-out pada jam 8 pagi keesokan harinya.
Sistem akan melihat – secara purata, berapa lama pengguna akan berada di lokasi ini sekiranya check-in pada waktu 7 malam.
Purata itu dapat digunakan untuk mengganti check-out yang mengelirukan itu.
Apa yang dapat disimpulkan di sini adalah, ciri butang check-out sama pentingnya dengan menekan butang check-in apabila pengguna mendaftar masuk di sesebuah premis.
Ini kerana ia akan membantu pihak berkuasa menentukan risiko jangkitan dengan lebih tepat di sesebuah lokasi.
Jadi, dalam memerangi pandemik COVID-19 yang belum selesai ini, marilah kita bersama saling membantu mengekang penularan COVID-19 dengan berkongsikan maklumat yang tepat bersama pihak berkuasa dengan menekan butang ‘check-in‘ dan ‘check out‘.
Sumber asal: Twitter Dr Mahesh Appannan, Ketua Data CPRC, KKM.