Ujian Psikometrik SPA: Jenis Soalan & Panduan Menjawab
Ujian Psikometrik SPA: Jenis Soalan & Panduan Menjawab | Ujian Psikometrik adalah salah satu peringkat saringan dalam pemilihan jawatan kerajaan atau SPA selepas tapisan kelayakan akademik di peringkat pertama.
Calon perlu menduduki ujian ini sebelum ke peringkat seterusnya (sekiranya berjaya) untuk Ujian Fizikal dan Sesi Temuduga.
Berikut dikongsikan info lebih lanjut mengenai Ujian Psikometrik SPA untuk membantu calon menduduki ujian ini dengan cemerlang.
BACA JUGA: Penilaian Memasuki Perkhidmatan Awam (PSEE) – Jenis Soalan & Tips Menjawab
Ujian Psikometrik SPA
Untuk pengetahuan anda, ujian psikometrik adalah merupakan penilaian yang digunakan untuk mendapatkan data calon daripada sudut sikap, pengetahuan, kompetensi, kemahiran serta personaliti. Ia bukanlah ujian yang berteraskan akademik.
Daripada keputusan daripada ujian inilah pihak SPA dapat mengenalpasti perwatakan seseorang calon dan menentukan kesesuaian dengan jawatan yang akan dipohon.
Objektif
Objektif ujian ini diadakan adalah;
- Mengecilkan jumlah calon: Ujian ini adalah cara termudah untuk mengecilkan jumlah calon yang layak untuk sesuatu jawatan yang dipohon. Terdapat puluhan ribu permohonan yang perlu ditapis dan tidak semua calon mempunyai personaliti/perwatakan/kemahiran/dll yang sesuai dengan setiap jawatan yang dimohon.
- Mencari perwatakan tertentu: Setiap jawatan memerlukan calon memiliki perwatakan tertentu disebabkan skop dan tanggungjawab pekerjaan yang berbeza.
NOTA:
Tiada jawapan yang betul atau salah dalam ujian ini tetapi hanya calon yang menepati perwatakan tertentu yang dicari untuk jawatan yang dipohon sahaja akan dibenarkan untuk ke peringkat seterusnya. Jawapan yang TEPAT adalah individu yang dicari.
Dan, tiada markah gagal atau lulus dalam ujian ini kerana ujian psikometrik ini dinilai berdasarkan kepada sejauh mana perwatakan seseorang itu dapat memenuhi ciri-ciri yang dikehendaki oleh ketua jabatan. Individu yang memberikan jawapan yang TEPAT adalah individu yang dicari.
Format Ujian Psikometrik SPA
Calon akan diberikan masa 1 jam 30 minit untuk menjawab kesemua soalan. Jumlah soalan akan dimaklumkan melalui emel yang dihantar.
Ujian akan bermula tepat pada pukul 9 pagi dan akan berakhir tepat pada pukul 5 petang. Calon boleh pilih masa sendiri untuk menjawab ujian ini. Elakkan buat pada masa-masa akhir.
Dalam ujian ini, calon dikehendaki menjawab soalan yang mengukur personaliti calon dari segi: Kepimpinan, kebolehan sosial, komunikasi, toleransi, kerjasana, disiplin, kejujuran, kestabilan emosi, integriti, dan seumpamanya.
Rujuk format ujian dengan lebih terperinci di emel anda.
BACA JUGA: SPA9 – Cara Mohon Jawatan Kosong Kerajaan/Perkhidmatan Awam
Kriteria Penilaian Dalam Ujian Psikometrik
Bagi konsep ujian psikometrik (penilaian personaliti/kompetensi), ia direkabentuk untuk mengukur trait-trait individu berasaskan keserasian individu terhadap pekerjaan (job-fit), organisasi (organization-fit) serta sifat kerja berpasukan (team-fit).
Data-data penilaian diperolehi melalui kaedah laporan kendiri (self-report) iaitu individu perlu menjawab jujur dan memberikan jawapan yang paling tepat mengenai dirinya.
Kaedah ini sama dengan proses temu duga berasaskan kompetensi, cuma yang membezakannya ialah penemuduga akan menyoal secara verbal kepada calon dengan menggunakan soalan-soalan yang piawai yang telah disediakan.
Manakala ujian psikometrik meminta calon sendiri menjawab secara laporan kendiri (self-report) dengan memberikan respon kepada soalan-soalan atau kenyataan yang telah disediakan secara paparan komputer.
Melalui respon atau jawapan yang telah diberikan oleh calon, sistem komputer akan memproses dan menganalisis data-data jawapan untuk dipadankan dengan kesesuaian seseorang calon dengan ciri-ciri dan kompetensi yang piawai pada sesuatu jenis jawatan.
Tips Menjawab
1. Pastikan anda menjawab semua soalan yang diberikan.
2. Jawab dengan jujur. Jangan cuba menipu atau berpura-pura kerana pemeriksa boleh mengesan kejujuran anda melalui soalan yang berulang atau berbeza sedikit.
3. Perlihatkan nilai-nilai positif. Pilih jawapan yang memaparkan nilai-nilai posiitf yang sesuai dengan soalan yang diajukan.
4. Konsisten dalam pemilihan jawapan. Jangan bertukar-tukar pendirian anda dalam soalan yang berkaitan. Pilih jawapan yang mencerminkan diri anda yang sebenar dan sesuai dengan jawatan yang dipohon.
5. Buat latihan. Latihan akan membantu anda memahami format, jenis dan cara menjawab soalan psikometrik dengan lebih baik.
Maklumat Lanjut
Untuk sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi SPA di pautan berikut: https://www.spa.gov.my/