“Hati-hati Dengan Tema Bollywood, Takut Jatuh Hukum” – Dr Malar
Sejak akhir-akhir ini ramai yang berkongsi gambar perkahwinan dan event yang diadakan dengan tema Bollywood, lebih-lebih lagi pada Hari Deepavali yang lalu.
Mengenakan busana bertema Bollywood bukanlah perkara baru di Malaysia. Ini kerana negara berbilang kaum ini sentiasa terbuka dan meraikan sambutan perayaan dari segenap bangsa dengan cukup meriah.
Sebagai umat Islam, tentunya terdapat garis panduan yang perlu diikuti bagi mencerminkan imej seorang Muslim ketika berpakaian.
Mengulas isu ini di media sosial, Dr Malar yang terkenal di platform Facebook dan Tiktok menggesa rakan-rakan Islam agar lebih peka terhadap elemen yang digayakan dalam tema Bollywood, terutamanya bagi golongan wanita.
“Hati-hati Dengan Tema Bollywood, Takut Jatuh Hukum” – Dr Malar
Menurut perkongsian beliau, pemakaian Tikka, sari, gelang, cincin dan subang hidung adalah dibolehkan kerana ia hanya berkait dengan bangsa India.
Namun, amalan pemakaian Pottu dan Bindu (tanda pada dahi) adalah berkait rapat dengan agama Hindu.
Tambahnya, sebagai seorang yang beragama Hindu dan mempunyai ramai kawan berbangsa Melayu Islam, beliau amat memahami bagaimana orang Islam menitikberatkan perkara berkaitan syirik, murtad dan sebagainya.
Oleh itu, beliau menasihati rakan-rakan Islam agar lebih berhati-hati apabila mengenakan tema Bollywood dalam majlis-majlis keramaian.
Walaupun begitu, beliau tidak begitu pasti dengan hukumnya dalam Islam dan meminta rakan-rakan atau mereka yang berpengetahuan untuk mengulas isu ini dengan lebih lanjut.
Sumber: Facebook Celoteh Dr Malar
Ini Maksud Dekorasi Dahi Pada Orang India
Dalam sebuah hantaran di Facebook, Ahmad Iqram Mohamad Noor telah membuat hantaran balas bagi isu ini dengan memberi penjelasan lanjut.
Menurut hantaran tersebut, beliau menyatakan bahawa dekorasi di dahi bagi imej penganut Hindu adalah merupakan simbolik dan identiti keagamaan dan bukan kebudayaan.
Oleh itu, sebagai muslim imej sebegini adalah perlu dielakkan kerana ia termasuk dalam bentuk tasyabbuh (menyerupai) yang mana muslim dilarang menyerupai amalan dan imej orang bukan Islam yang jelas bersifat keagamaan.
Baca ulasan beliau selanjutnya di bawah:
Dekorasi Dahi Tema Bollywood & Imej Keagamaan
Saya telah menonton video Dr Malar (Celoteh Dr Malar) memberi teguran yang sangat baik supaya wanita muslim tidak mengenakan Bindi (dalam bahasa Tamil disebut sebagai Pottu) di dahi sewaktu mengenakan pakaian bertemakan Bollywood atau Hindi. Saya ucapkan tahniah dan terima kasih banyak atas teguran Dr Malar itu yang begitu peka akan isu sebegini.
Secara umumnya konsep simbolik “hiasan” di dahi ini masyarakat Hindu namakan sebagai Tilak. Tilak merujuk kepada apa-apa simbolik yang disapu di dahi seseorang penganut Hindu.
Ini kerana di dalam agama Hindu mereka percaya bahawa dalam diri batin seseorang itu terdapat 7 titik chakra yang perlu dibuka oleh seseorang untuk mencapai “pencerahan” bagi mendapat tahap spiritual tertinggi. Salah satunya adalah titik chakra keenam yang merujuk chakra di dahi yang dikenali sebagai Chakra Ajna atau Chakra Mata Ketiga.
Bagi penganut Hindu, mereka percaya dengan memakai Tilak di dahi ia membantu untuk membuka titik chakra tersebut di dahi.
Malah bagi setiap aliran penyembahan dewa dalam agama Hindu mereka memiliki simbolik berbeza di dahi. Jika seseorang itu beraliran penyembahan dewa Siva (Saivite) maka Tilak di dahi mereka akan berbentuk 2 atau 3 garis putih memanjang secara melintang di dahi.
Jika mereka aliran penyembah dewa Vishnu (Vaishnava) maka Tilak di dahi mereka akan berbentuk “U” dan “V”.
Manakala bagi penyembah aliran Dewi (Shakta), mereka akan mengenakan tilak berbentuk titik dot merah di dahi. Begitu juga dengan masyarakat Hindu Bali, mereka mengenakan Tilak beras ditampal di dahi mereka.
Selain itu juga mereka memiliki satu lagi dekorasi di dahi khusus bagi wanita Hindu dengan dinamakan sebagai Bindi atau Pottu yang berbentuk pes merah yang disapu dot di dahi atau kadang kala digunakan permata atau manik. Bindi juga sinonim dengan simbolik keagamaan terutama menandakan perkahwinan bagi wanita Hindu.
Secara kesimpulan, dekorasi di dahi bagi imej penganut Hindu adalah merupakan simbolik dan identiti keagamaan dan bukan kebudayaan. Oleh itu, sebagai muslim imej sebegini adalah perlu dielakkan kerana ia termasuk dalam bentuk tasyabbuh (menyerupai) yang mana muslim dilarang menyerupai amalan dan imej orang bukan Islam yang jelas bersifat keagamaan.
Sabda nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadis:
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
Maksudnya: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka.” Riwayat Abu Daud (4031)
Sumber: Facebook Ahmad Iqram Mohamad Noor
Baca juga: