Budak 11 Tahun Ditemui Maut Dengan Kesan Jerut Di Leher, Ibu Direman

Batu Pahat: Kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun ditemukan meninggal dunia di sebuah rumah di Taman Bukit Tropika, Yong Peng semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dalam kejadian pada 4.55 petang itu, mangsa ditemui dengan kesan luka di bahagian dahi dan kesan jerut di bahagian leher mangsa.

“Siasatan awal mendapati tiada kesan kecederaan lain pada badan mangsa.

“Keterangan saksi sudah diambil untuk mendapatkan fakta kejadian sebenar,” katanya ketika sidang media di lokasi kejadian hari ini.

Katanya, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

“Ibu mangsa berusia 34 tahun ditahan untuk siasatan lanjut memandangkan terdapat kenyataan yang tidak konsisten daripada saksi dengan kenyataan suspek.

“Majistret Batu Pahat membenarkan suspek direman selama tujuh hari sehingga 21 Julai ini,” katanya.

Kamarul berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Sumber: Harian Metro , BERNAMA