Awas Gelombang Ketiga! Ini Tanda COVID 19 & Apa Nak Buat Jika Bergejala

Tanda-tanda COVID 19 mempengaruhi orang yang berbeza dengan cara yang berbeza.

Ini bermaksud, ada yang bergejala ringan, sederhana, teruk, atau tak bergejala langsung, bahkan mungkin pulih dengan sendirinya tanpa dimasukkan ke hospital.

Apakah COVID 19?

Coronavirus (CoV) adalah sejenis virus yang boleh menyebabkan jangkitan saluran pernafasan.

Terdapat beberapa jenis coronavirus seperti severe acute respiratory syndrome coronavirus (SARS) dan Middle East Respiratory syndrome-related coronavirus (MER-CoV).

Coronavirus terbaru yang ditemui di China adalah Novel Coronavirus 2019 (COVID-19).

Jangkitan coronavirus menyebabkan spektrum gejala daripada selesema biasa kepada radang paru-paru (pneumonia) yang teruk.

Simptom & Tanda COVID 19 Oleh KKM

Menurut kenyataan terkini oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, tanda tanda COVID 19 mungkin terdapat pada seseorang jika individu tersebut mengalami sekurang-kurangnya 2 simptom ini.

  • Demam (fever)
  • Badan seram sejuk (Chills)
  • Kekejangan otot (Rigors)
  • Mialgia (Myalgia)
  • Sakit kepala
  • Sakit tekak (sore throat)
  • Mual atau muntah (Nausea or vomiting)
  • Cirit birit (Diarrhea)
  • Kelesuan (Fatigue)
  • Hidung tersumbat sehingga sukar bernafas atau hidung berair (Acute Onset Nasal Congestion or running nose)

ATAU salah satu simptom ini:

  • Batuk (Cough)
  • Kesesakan nafas (shortness of breath)
  • Kesukaran bernafas (Difficulty in breathing)
  • Hilang deria bau (lost of smell)
  • Hilang deria rasa (lost of taste)

ATAU

  • Penyakit respiratori yang teruk dan mengalami salah satu simptom ini:
    • Radang paru-paru / Pneumonia
    • Sindrom Kesukaran Pernafasan (ARDS)
tanda covid 19

Tanda-tanda COVID 19 Mengikut Hari

Simptom atau gejala COVID 19 boleh dilihat melalui 5 tahap jangkitan.

Untuk makluman, 88% pesakit di Malaysia berada tahap satu (1) dan dua (2), di mana kita melihat banyak kes yang sembuh dari hari ke hari.

Manakala hanya 7% peratus daripada keseluruhan pesakit semasa pula berada pada Tahap 3 dan Tahap 4.

Selebihnya sebanyak 5% daripada baki jumlah keseluruhan pesakit berada pada Tahap 5.

Tanda-tanda COVID 19 mengikut hari mungkin akan dirasai seperti di bawah ini.

Tahap 1:

Tidak bergejala

Seseorang yang dijangkiti pada tahap ini mungkin tidak mengalami batuk, selesema atau demam.

Malah, hanya kelihatan normal seperti orang lain.

Tahap 2:

Bergejala tanpa radang paru-paru

Pada tahap kedua, mereka yang dijangkiti lazimnya menunjukkan tanda awal COVID 19 atau gejala ringan seperti demam, batuk, selesema atau hilang deria bau.

Namun pada tahap ini, masih sukar dibezakan mereka dijangkiti virus atau sakit lain kecuali melalui ujian saringan COVID 19.

Walaubagaimanapun, individu ini tetap berisiko menyebarkan virus kepada ahli keluarga atau kontak rapat

Tahap 3:

Bergejala dengan radang paru-paru

Apabila jangkitan memasuki tahap ketiga, tanda-tanda COVID 19 mungkin ditambah lagi dengan munculnya masalah berkaitan radang paru-paru.

Seseorang yang berada di tahap ini boleh berasa sakit dan ‘ketat’ di dada ketika menarik nafas.

Walaupun pesakit masih boleh berjalan tetapi tidak mampu membuat aktiviti harian.

Tahap 4:

Bergejala, terdapat radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen

Pada tahap ini, pesakit sudah pun memerlukan bantuan oksigen untuk terus bernafas akibat radang paru-paru.

Pesakit juga tidak mampu menjalankan aktiviti tetapi masih mampu bercakap.

Tahap 5:

Pesakit kritikal dengan penglibatan multiorgan

Pada tahap ini, pesakit lazimnya tidak sedarkan diri kerana dibius penuh dan memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator).

Banyak organ lain dalam tubuh sudah mula terjejas dan pesakit berada dalam keadaan yang kritikal.

Baca juga: 5 Pekerjaan Kalis COVID-19 , Malah Permintaan Semakin Meningkat

Apa Yang Perlu Buat Jika Ada Tanda-tanda COVID 19?

Sekiranya kita mengesyaki diri kita mempunyai simptom ringan dan sihat, pastikan anda menghubungi Klinik Kesihatan terdekat atau talian maklumat COVID-19 untuk mendapatkan nasihat.

Kebanyakan kes kematian di negara kita kerana lambat mendapatkan rawatan.

Oleh itu, jangan berlengah dan dapatkan pemeriksaan untuk rawatan segera!

Seeloknya hubungi pihak klinik atau hospital terlebih dahulu supaya prosedur yang sesuai boleh dilakukan.

Untuk melihat senarai hospital yang melakukan ujian saringan COVID 19 atau pengambilan sampel di rumah, sila rujuk senarai INI.

Siapakah Kontak Rapat?

Lazimnya soalan yang akan ditanya apabila seseorang ingin membuat pemeriksaan kesihatan atau ujian saringan COVID 19 adalah tentang ‘kontak rapat’.

Siapakah yang dimaksudkan kontak rapat?

Kontak rapat ini adalah mereka yang berhubung rapat dalam lingkungan SATU meter dengan kes yang telah DISAHKAN POSITIF seperti:

  • Anggota kesihatan yang merawat kes itu tanpa memakai PPE.
  • Mereka yang tinggal serumah dgn kes positif itu.

Mereka ini akan disaring dan diambil sampel untuk ujian pengesanan.

Bagaimana pula individu yang berhubung rapat dengan kes yang disyaki (PUI) dan belum disahkan ujian makmal?

Mereka TIDAK dikira kontak rapat dan tidak perlu diambil sampel untuk ujian pengesanan.

Rawatan COVID-19

Sehingga kini, masih belum ada ada vaksin atau ubat khusus untuk COVID-19.

Pelbagai ujikaji sedang dilakukan dan vaksin yang dicipta masih dalam proses menjalani ujian klinikal.

Rawatan diberikan hanya untuk mengurangkan gejala yang dialami pesakit.

Baca juga: 4 Cara Kenal Pasti Kesegaran Telur Dikongsikan Paediatric

Pencegahan, Langkah Paling Penting!

Oleh kerana kajian telah membuktikan bahawa individu yang juga digelar ‘asymptomatic’ berupaya menjadi pembawa virus tanpa disedari, maka langkah pencegahan perlu diambil dan dilaksanakan dengan serius oleh masyarakat untuk mengawal penularan wabak ini.

Untuk mengelakkan penyebaran COVID-19:

  • Bersihkan tangan dengan kerap menggunakan sabun dan air, atau hand sanitizer.
  • Jaga jarak yang selamat (1 meter) terutamanya dari sesiapa yang batuk atau bersin.
  • Pakai face mask apabila berada di tempat awam.
  • Jangan menyentuh mata, hidung atau mulut anda.
  • Tutup hidung dan mulut semasa anda batuk atau bersin.
  • Hadkan aktiviti di luar rumah, duduk di rumah jika anda merasa tidak sihat.
  • Sekiranya anda demam, batuk dan sukar bernafas, dapatkan rawatan perubatan.
  • Jika anda mengesyaki simptom COVID19 dan ada kontak rapat, penting untuk anda menelefon dahulu membolehkan penyedia perkhidmatan kesihatan anda dengan cepat mengarahkan anda ke kemudahan kesihatan yang betul. Langkah ini dapat melindungi anda dan mencegah penyebaran virus dan jangkitan lain.
  • Paling penting, patuhi SOP dan ikuti nasihat yang diberikan oleh pihak kesihatan di lokaliti anda!

Ingat, setiap daripada kita memainkan peranan yang amat penting untuk memastikan wabak COVID-19 terkawal.

Jadi jangan lupa patuhi SOP ok!

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: