in ,

Suntikan Pneumokokal Percuma Mulai 1 Disember Untuk Bayi Yang Lahir Dari 1 Januari 2020

suntikan pneumokokal program imunisasi kebangsaan

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui sebuah kenyataan rasmi oleh Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Hisham Abdullah telah memaklumkan bahawa pelaksanaan pemberian suntikan pneumokokal percuma untuk kanak-kanak akan dilaksanakan di semua Klinik Kesihatan KKM seluruh negara.

Program ini akan termasuk di bawah Program Imunisasi Kebangsaan bagi kanak-kanak.

Berikut adalah perkara penting yang ibu bapa perlu ambil maklum tentang pelaksanaan vaksin ini.

Suntikan Pneumokokal Di Bawah Program Imunisasi Kebangsaan Untuk Kanak-Kanak Bermula 1 Disember 2020

Pemberian vaksin pneumokokal konjugat (PCV) di bawah Program Imunisasi Kebangsaan bagi kanak-kanak di fasiliti kesihatan KKM akan bermula pada 1 Disember 2020.

Sila rujuk: Jadual Imunisasi Kebangsaan Terkini Mulai November 2020 – KKM

Vaksin pneumokokal konjugat (pneumococcal conjugate vaccine, PCV)  diberikan untuk mencegah penyakit yang disebabkan oleh jangkitan bakteria Streptococcus pneumoniae yang juga dikenali sebagai pneumokokus.

Antara penyakit yang disebabkan oleh bakteria Streptococcus pneumoniae adalah

  • radang paru-paru (pneumonia),
  • radang sinus (sinusitis),
  • jangkitan telinga tengah (otitis media),
  • radang selaput otak dan saraf tunjang (meningitis) serta
  • jangkitan bakteria dalam darah (septicaemia).

Komplikasi penyakit pneumokokal termasuklah:

  • cacat pendengaran,
  • kecacatan otak dan
  • kematian.

Pemberian vaksin pneumokokal kepada kanak-kanak bertujuan untuk mengurangkan kadar morbiditi dan mortaliti akibat penyakit pneumokokal di kalangan kanak-kanak bawah 5 tahun.

Ini seterusnya dapat mengurangkan kos rawatan penyakit pneumokokal dan komplikasinya.

Walaupun penyakit pneumokokal boleh dirawat dengan pemberian antibiotik, namun terdapat beberapa strain bakteria pneumococcus yang mempunyai kerintangan terhadap antibiotik.

Pemberian suntikan pneumokokal adalah kaedah paling berkesan untuk menghalang jangkitan bakteria pneumokokus dan secara tidak langsung mengurangkan kerintangan terhadap antibiotik.

suntikan pneumokokal kkm

Suntikan Pneumokokal Akan Diberi Dalam 3 Dos

Vaksin pneumokokal akan diberikan sebanyak 3 dos iaitu:

  • 2 dos primer pada umur 4 bulan dan 6 bulan;
  • diikuti dengan 1 dos penggalak (booster) pada umur 15 bulan. 

Susulan penambahan vaksin pneumokokal di bawah Program Imunisasi Kebangsaan bagi kanak-kanak, jadual imunisasi yang terkini adalah seperti di Lampiran A di bawah.

suntikan pneumokokal program imunisasi kebangsaan
jadual imunisasi kebangsaan terkini 2020 2021

Layak Untuk Kanak-kanak Yang Lahir Mulai 1 Januari 2020

Kanak-kanak yang lahir pada 1 Januari 2020 dan seterusnya adalah layak menerima suntikan vaksin pneumokokal di klinik kesihatan KKM. 

Bagi kanak-kanak yang lahir pada 1 Januari 2020 dan seterusnya yang telah berumur 5 bulan atau lebih, jadual imunisasi pneumokokal akan disesuaikan mengikut umur oleh fasiliti kesihatan KKM. 

Ibubapa yang mempunyai anak yang lahir bermula 1 Januari 2020 dan seterusnya yang telah mengambil satu atau dua dos suntikan vaksin pneumokokal di fasiliti kesihatan swasta boleh memilih untuk melengkapkan jadual imunisasi pneumokokal di fasiliti kesihatan swasta atau di klinik kesihatan KKM.

Ibubapa yang memilih untuk melengkapkan imunisasi pneumokokal anak mereka di klinik kesihatan KKM dinasihatkan untuk membawa bersama rekod imunisasi anak mereka, bagi memudahkan urusan penjadualan imunisasi oleh anggota kesihatan di klinik kesihatan KKM.

vaksin pneumokokal kkm 2020

Baca juga: Ujian Saringan Covid-19: Harga, Senarai Klinik & Prosedur Di Malaysia

Maklumat Lanjut

Ibubapa perlu membuat temujanji dengan klinik kesihatan KKM bagi mengelakkan kesesakan dan memastikan kepatuhan kepada normal baharu dalam usaha mencegah penularan penyakit COVID-19.

Sekiranya terdapat sebarang kemusykilan mengenai pelaksanaan pemberian vaksin pneumokokal, sila hubungi KKM di talian 03-8883 4003 pada hari Isnin hingga Jumaat (tidak termasuk cuti umum) dari jam 9 pagi hingga 5 petang,

atau

Ajukan persoalan kepada emel [email protected].

Ibubapa boleh juga mengunjungi mana-mana klinik kesihatan yang berdekatan untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

*Sumber: Kenyataan Akhbar KP Kesihatan 24 November 2020

Written by badra

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

ujian saringan covid 19

Ujian Saringan Covid-19: Harga, Senarai Klinik & Prosedur Di Malaysia

cara daftar tabung haji online thijari

THiJARI: Cara Daftar Tabung Haji Online Tanpa Ke Kaunter