Penyakit Taun / Kolera (Cholera): Punca, Simptom, Bahaya & Rawatan
Jabatan Kesihatan Selangor mengesan satu kes kolera di daerah Petaling, Selangor.
Perkembangan tersebut diumumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam satu ciapan di Twitter.
Taun atau kolera ini boleh menjadi satu wabak sekiranya tidak ditangani dengan teliti.
Tahukah anda apa itu kolera?
Ayuh, ambil tahu faktanya melalui artikel ini.
APA ITU PENYAKIT TAUN / KOLERA (CHOLERA)?
Penyakit kolera (cholera) adalah penyakit berjangkit yang menyebabkan gejala seperti cirit-birit, dehidrasi yang teruk.
Ia menyebabkan kematian jika tidak dirawat dengan sempurna terutama pada bayi, kanak-kanak dan warga emas.
Penyakit taun lebih mudah merebak di kawasan yang tidak mempunyai bekalan air bersih dan kemudahan tandas yang sempurna.
Mereka yang pulih biasanya mempunyai imuniti jangka masa panjang.
Punca
Ia berlaku disebabkan oleh jangkitan bakteria Vibrio cholera (V. cholera).
Vibrio cholerae adalah bakteria yang ditemui dalam makanan atau air yang tercemar oleh najis daripada orang yang dijangkiti.
Sumber-sumber bakteria ini termasuklah:
- Bekalan air yang tercemar
- Ais diperbuat daripada air yang tercemar
- Makanan dan minuman yang dijual oleh penyedia makanan yang dijangkiti
- Sayur-sayuran yang disiram dengan air yang mengandungi air kencing atau najis manusia
Tempoh pengeraman: Beberapa jam hingga 5 hari. Biasanya 2 hingga 3 hari.
Simptom
Bakteria akan membebaskan toksin di dalam usus yang akan menyebabkan cirit-birit yang teruk.
Hanya sekitar 1 daripada 20 jangkitan kolera adalah teruk, dan kebanyakan tidak menunjukkan sebarang gejala.
Antara gejala yang mungkin dihadapi adalah:
- Cirit-birit yang teruk
- Muntah
- Kaki kejang
- Demam
Komplikasi / Bahaya
Kebanyakan jangkitan adalah asimptomatik.
Kes ringan hanya mengalami cirit-birit tanpa gejala lain.
Mereka yang dijangkiti akan mengalami cirit-birit.
Gejala yang teruk boleh membawa maut kerana dehidrasi yang teruk.
Komplikasi Penyakit Taun / Kolera
Bagi kes yang tidak dirawat, dehidrasi teruk boleh menyebabkan asidosis, gangguan peredaran darah dan kegagalan buah pinggang.
Kematian boleh berlaku kerana komplikasi ini.
Cara Pencegahan
Nasihat umum pencegahan jangkitan melalui laluan najis ke mulut (faeco-oral):
- Basuh tangan dengan sabun sebelum makan, mengendali makanan dan selepas menggunakan tandas.
- Hanya minum minuman yang dimasak sahaja
- Makanan yang kurang memerlukan pengendalian adalah lebih selamat.
- Kupas semua buah.
- Pastikan salad atau ulam-ulaman dibasuh bersih sebelum dimakan.
- Pastikan bahawa makanan laut, ikan dan daging dimasak dengan sempurna pada suhu yang betul dan seboleh-bolehnya makan semasa makanan masih panas.
- Makan awal jika memakan hidangan buffet, sebaik-baiknya dalam tempoh 4 jam dari masa makanan siap dimasak.
- Jika mengalami cirit-birit, minum banyak air bersih dan larutan rehidrasi oral (ORS). Jika cirit-birit berterusan selama lebih daripada 48 jam dan individu tidak mampu minum, segera dapatkan rawatan.
Kita boleh melindungi diri dan keluarga dengan menggunakan hanya air yang telah dimasak.
Semoga bermanfaat.
Sumber: Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu