Pentingnya Patuhi Jadual Imunisasi Bayi Dan Temujanji Ibu Hamil
Seluruh dunia menerima tekanan dari segi kesihatan, iaitu penularan virus Covid-19 yang telah menjangkiti hampir 6.19 juta orang dan 376 ribu orang telah meninggal dunia. (Statistik dari website WHO)
Malaysia juga turut terkesan daripada penularan Covid-19 ini, seramai 7877 orang dijangkiti dan 115 orang meninggal dunia akibat Covid-19. (Statistik dari website WHO)
Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan bagi membendung penularan covid-19, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tetap mementingkan tahap kesihatan ibu hamil dan bayi serta memberi jaminan yang Klinik Ibu dan Anak akan diteruskan seperti biasa, menurut laporan Astro Awani.
Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah KKM, berkata perkhidmatan lawatan rumah ke rumah oleh anggota kesihatan ke rumah ibu yang baru bersalin akan dilaksanakan bagi memastikan tahap kesihatan ibu dan anak dalam keadaan sihat.
“Bagi ibu hamil dan ibu bapa yang berada di luar kawasan, bolehlah mendapatkan perkhidmatan di klinik kesihatan atau klinik swasta berdekatan.
“Justeru, ibu hamil diminta untuk menjalani pemeriksaan mengikut tarikh temujanji yang diberikan,”
PENTINGNYA PATUHI JADUAL IMUNISASI BAYI DAN KANAK KANAK
Temujanji untuk mendapatkan suntikan imunisasi atau vaksin oleh bayi dan kanak-kanak wajib diteruskan bagi mengelakkan penyakit lain menjangkiti mereka.
Ketua Penolong Pengarah Sektor Kesihatan Ibu Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, KKM, Dr Tuty Aridzan Irdawati Mohsinon, turut menekankan vaksin dan imunisasi berkenaan jika diberikan lewat dari tarikh yang dijadualkan dibimbangi suntikan itu kurang keberkesanannya terhadap bayi dan kanak kanak berkenaan.
“Kedua-dua suntikan itu adalah perkhidmatan penting walaupun semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di negara ini. Jadi ibu atau bapa perlu membawa anak mereka mendapatkan perkhidmatan berkenaan.”
“Mereka perlu hubungi klinik berdekatan dengan lokasi yang mereka duduki itu untuk mendapatkan tarikh temujanji baharu atau pun meneruskan temujanji berkenaan di klinik kesihatan berdekatan,” ulas beliau lagi dalam ucapannya.
TARIKH TEMUJANJI PENTING, JANGAN DILUPAKAN
Oleh itu, buku kesihatan dan tarikh temujanji kesihatan anak anak jangan pula dilupakan ya, ibu ayah. Begitu juga buat bakal ibu. Insya-ALLAH, semoga semua dikurniakan kesihatan yang baik oleh-NYA.
Sumber : bharian