Gula Stevia Untuk Diet & Kencing Manis, Bagus Ke? 7 Perkara Kena Fahamkan
Sekarang ni memang ramai yang diet dan nak mula makan dengan sihat, salah satu cara alternatif adalah dengan menggantikan gula putih / gula biasa dengan gula Stevia.
Ini kerana gula Stevia dikatakan tidak mengandungi kalori dan sesuai untuk individu yang mempunyai masalah obesiti dan diabetes.
Tapi, adakah ia benar-benar selamat dan adakah sebarang kesan sampingan kepada penggunanya?
Jom fahamkan lebih lanjut tentang Stevia, cara penggunaan, kelebihan dan kesan sampingannya.
1. Apakah Gula Stevia?
Menurut Portal MyHealth KKM, gula Stevia ini sebenarnya berasal daripada sejenis herba daripada keluarga Asteraceae.
Nama saintifiknya ialah Stevia rebaudiana Bertoni.
Ia telah digunakan oleh orang-orang asal di Paraguay dan Brazil sejak zaman dahulu kerana ia mengandungi pemanis yang tidak menyebabkan kerosakan gigi dan tanpa kalori.
Secara tradisional, penggunaannya dipercayai boleh memberi kesan yang baik terhadap kesihatan manusia.
Di Malaysia, semakin banyak produk Stevia yang dijual dan dipromosikan untuk tujuan kesihatan.
2. Benarkah Ia ‘0 Kalori’?
Stevioside dan rebaudioside A merupakan komponen pemanis yang utama yang terdapat dalam ekstrak daun Stevia.
Menurut Medical News Today, Stevia mempunyai tahap kemanisan hingga 200-300 kali ganda berbanding gula putih / gula biasa manakala ia boleh dikatakan sebagai ‘0 kalori’ kerana setiap hidangan adalah begitu rendah.
Inilah faktor utama yang menjadikan ekstrak daun Stevia digunakan dengan meluas bagi pesakit diabtes atau mereka yang ingin berdiet.
Menurut sumber, Jepun, Korea dan negara-negara tertentu di Amerika Selatan juga menggunakan pemanis semulajadi ini untuk memaniskan minuman ringan, soju, kicap soya, yogurt dan makanan-makanan lain.
Di Amerika Syarikat, ia juga digunakan sebagai suplemen kesihatan.
3. Keistimewaan / Kelebihan / Manfaatnya Untuk Kesihatan
Antara kelebihan dan manfaat menggunakan pemanis Stevia yang telah dibuktikan oleh kajian adalah:
- Stevia tidak mengandungi gula dan hampir tiada kalori. Ini boleh menjadi sebahagian daripada diet seimbang untuk membantu mengurangkan pengambilan tenaga tanpa mengorbankan rasa manis yang digemari.
- Penyelidikan menunjukkan bahawa pengambilannya tidak menunjukkan kesan terhadap glukosa darah atau tindak balas insulin. Ini membolehkan penghidap diabetes makan pelbagai jenis makanan dan mematuhi rancangan makanan yang sihat.
- Sebuah kajian tahun menunjukkan bahawa Stevia berpotensi membantu menurunkan tekanan darah ke tahap normal dan mengatur degupan jantung.
- Stevia membolehkan kanak-kanak mengambil makanan dan minuman manis tanpa kalori tambahan semasa beralih ke diet gula rendah.
- Tidak merosakkan gigi,
- Laporan dari European Food Safety Committee (EFSA) mengatakan bahawa pemanis semulajadi ini selamat daripada kesan alahan atau alergi.
- Stevia mengandungi banyak sebatian sterol dan antioksidan, termasuk kaempferol. Kajian mendapati kaempferol dapat mengurangkan risiko barah pankreas sebanyak 23 peratus
- Komponen pemanis yang utama dalam daun Stevia rebaudianais stevioside dikatakan mempunyai kesan antioksidan, anti-mikrob dan anti-kulat.
Baca juga: Digelar ‘Brain Booster’, Ini 8 Kelebihan Ginkgo Biloba Yang Ramai Nak Tahu
4. Cara Penggunaan
Pemanis Stevia kini boleh didapati dengan meluas di Malaysia, sama ada di farmasi atau secara atas talian (online).
Secara komersilnya, ia boleh didapati dalam bentuk titisan cecair atau sachet (seperti gula).
Antara cara untuk menggunakannya termasuklah:
- Dicampurkan ke dalam kopi atau teh
- Dicampurkan ke dalam lemonade
- Dicampurkan ke dalam bijirin sarapan pagi
- Dicampurkan ke dalam smoothie
- Dicampurkan ke dalam yogurt
- Digunakan untuk tujuan memasak
- Dicampurkan ke dalam kek atau biskut
Walau bagaimanapun, sebagai pembeli kita perlu pastikan produk yang dibeli mendapat kelulusan yang sah.
5. Adakah Ia Selamat Untuk Ibu Mengandung Dan Menyusu?
Menurut AmericanPregnancy.org, apabila digunakan secara sederhana, pemanis tanpa kalori ini dianggap selamat untuk dimakan semasa kehamilan.
Namun walaupun ia mungkin dapat membantu mengawal kenaikan berat badan yang berlebihan, wanita dengan intoleransi karbohidrat seperti diabetes kehamilan, diabetes mellitus, atau ketahanan insulin perlu mengehadkan penggunaan pemanis pemakanan.
Buat masa ini, penyelidikan mengenai keselamatan penggunaan Stevia semasa kehamilan adalah terhad dan memerlukan lebih banyak rujukan.
Baca juga: Gelatin: Fungsi, Sumber & Jenama Gelatin Halal Di Malaysia Yang Disahkan Oleh JAKIM
6. Kesan Sampingan Gula Stevia
Sama seperti kebanyakan herba lain, Stevia juga mempunyai kesan sampingannya tertentu terhadap segelintir individu.
Menurut sebuah artikel di laman web HelloDoktor, antara kesan sampingan pengambilan yang berlebihan mungkin boleh menyebabkan masalah berikut:
- Kajian pada tahun 2015 melaporkan bahawa terdapat kaitan antara pemanis alternatif termasuklah Stevia dengan gangguan pada usus manusia.
- Kajian yang sama juga mencadangkan bahawa ia juga akan menyebabkan intoleransi glukosa dan juga gangguan metabolik.
- Sesetengah produk Stevia mengandungi alkohol gula tambahan yang boleh menyebabkan simptom seperti loya, muntah, senak, kekejangan dan kembung pada individu yang sensitif.
- Hipoglisemia – Pengambilan stevia yang banyak (bersama-sama dengan ubat gula dalam darah) sering boleh menyebabkan hipoglisemia iaitu keadaan di mana tahap gula dalam darah boleh menjadi rendah.
- Stevia dianggap sebagai diuretik, bermakna ia meningkatkan kelajuan di mana badan mengeluarkan air dan elektrolit dari badan melalui air kencing.
- Kajian pada tahun 2016 mendapati bahawa sel sperma manusia yang terdedah kepada steviol mengalami peningkatan pengeluaran progesteron.
- Terdapat sedikit kes dilaporkan mengenai alahan stevia di mana tanda-tanda alergi termasuklah bengkak dan gatal bibir, mulut, tekak, dan lidah, sakit perut, dan juga muntah.
7. Jadi, Adakah Gula Stevia Selamat Digunakan?
Kesimpulannya, Stevia boleh mendatangkan manfaat kesihatan kepada individu yang ingin mengawal kalori dan diet.
Namun, sumber produk yang digunakan mestilah dipastikan daripada pengeluar yang dipercayai.
Yang paling penting, kata kuncinya adalah bersederhana dan mengamalkan pengambilan makanan secara seimbang.