Gelatin: Fungsi, Sumber & Jenama Gelatin Halal Di Malaysia Yang Disahkan Oleh JAKIM
Adakah gelatin halal?
Bagi yang selalu baca label pada gula-gula atau rajin buat manisan seperti puding, anda mesti perasan kewujudan gelatin dalam makanan.
Di Malaysia, ramai yang masih ‘takut’ nak makan gelatin sebab ia sering dikaitkan dengan makanan yang dikhuatiri status halalnya.
Tapi, betul ke gelatin tak halal?
Jom kita ketahui lebih lanjut tentang apakah gelatin dan dari mana sumber gelatin ini sebenarnya.
Apakah Gelatin?
Menurut Portal MyHealth, perkataan ‘gelatin’ berasal daripada bahasa Latin iaitu ‘gelatus’ yang membawa makna ‘keras’.
Gelatin adalah bahan semula jadi, iaitu bermaksud tiada gelatin yang dihasilkan daripada proses sintetik atau ubah suai kimia.
Pada asasnya, gelatin adalah sejenis protein yang dihasilkan daripada rangkaian kolagen yang diperoleh daripada kulit, tulang atau ligamen (tulang rawan) haiwan seperti lembu, kerbau, ikan atau khinzir.
Fungsi Gelatin
Kenapa sesetengah pembuatan makanan menggunakan gelatin?
Berikut adalah antara contoh fungsi gelatin:
- Agen penstabil dalam produk hasilan daging seperti sosej
- Agen pemekat dalam makanan bersos
- Agen pembuih dalam produk susu terproses
- Agen pelembut dalam produk bakeri dan aiskrim
- Agen pembentuk dalam gula-gula dan jelly
- Memperbaiki struktur dan penstabilan dalam yogurt, keju, dadih dan mentega
- Penjernih dalam produk minuman dan sari buah
2 Jenis Gelatin Yang Biasa Dijumpai Di Pasaran Malaysia
Gelatin untuk makanan boleh didapati sama ada dalam bentuk serbuk atau kepingan dan ia adalah hidrokoloid (mudah bersatu dengan air).
Terdapat dua jenis gelatin yang biasa didapati di pasaran, iaitu
- Gelatin bovine yang berasal dari lembu
- Gelatin porcine yang berasal daripada khinzir
Makanan yang mempunyai kandungan gelatin bovine boleh dimakan oleh orang Islam jika ia berasal dari lembu yang disembelih dan diuruskan dengan betul.
Namun gelatin bovine juga boleh dihasilkan daripada lembu yang tidak disembelih dan sumbernya adalah diragui dan ini perlu dielakkan dari dimakan.
Gelatin menjadi isu dalam aspek halal kerana 90% pengeluaran gelatin dalam pasaran dunia adalah tidak dapat dipastikan status halal.
Namun, kini sudahpun terdapat kesedaran dalam isu ini dan ada pengeluar jenama gelatin halal yang muncul di Malaysia untuk memenuhi keperluan umat Islam.
Baca juga: 7 Perkara Tentang Penyakit Autoimun (SLE / Lupus, Tiroid, Psoriaris)
Contoh Jenama Gelatin Halal Di Malaysia
Cara paling mudah dan meyakinkan untuk membuat semakan status halal bagi produk gelatin adalah melalui laman web JAKIM.
Menurut carian terkini yang dilakukan pada 1 November 2020, kami mendapati terdapat banyak produk gelatin halal di Malaysia, antaranya:
- Gelatin HALAGEL PRODUCTS SDN BHD
- Gelatin Crystal AEI INTERNATIONAL BERHAD
- Gelatin Powder PKS BAKERY INGREDIENTS SDN. BHD.
- Gelatin Powder TEHMAG FOODS CORPORATION SDN BHD
- Gelatin Powder (Cow Based) SINCA MARKETING
- Gelatin MY HERO HYPERMARKET SDN BHD
- Gelatine Bake With Yen BWY HOLDINGS SDN. BHD.
- Gelatin VGEL RESOURCES
- Fish Gelatine TRANS STANDARD INTERNATIONAL SDN BHD
- Gelatin PRESTIGE PHARMA SDN BHD
- Gelatin S.E.A FIELD FOOD INDUSTRIES SDN BHD
- Gelatin THONG SHENG FOOD TECHNOLOGY SDN BHD
Jika anda ingin membuat carian sendiri tentang produk tertentu, sila layari pautan ini: http://www.halal.gov.my/v4/
Gelatin Dalam Produk Farmaseutikal & Suplemen
Ia juga kadangkala terdapat dalam ubat-ubatan sebagai suplemen kesihatan.
Menurut DoctorOnCall, gelatin bovine mempunyai pelbagai manfaat kesihatan dan boleh digunakan sebagai rawatan untuk sesetengah keadaan atau penyakit, contohnya:
- Meningkatkan kesihatan kulit
- Membantu pencernaan
- Mengurangkan sakit sendi
- Membantu mengawal tahap gula dalam darah
- Mengekalkan tulang yang sihat
- Meningkatkan kualiti tidur
- Membantu mengurangkan berat badan
Baca juga: PCOS: 7 Perkara Wanita Kena Tahu Kalau ‘Period’ Tak Menentu
Carilah Sumber Gelatin Halal OK!
Sebagai pengguna Muslim, adalah menjadi tanggungjawab kita dalam memastikan status halal produk gelatin yang digunakan.
Sekarang ni dah mudah, kita boleh Google dan dapatkan maklumat tentang sesuatu produk di hujung jari je.
Namun pengguna yang bijak akan memastikan pelabelan produk yang dibeli mempunyai logo halal yang telah diiktiraf JAKIM.
JAKIM sebagai agensi, bertanggungjawab untuk pengesahan dan pensijilan halal membuat pemeriksaan serta pemantauan ke atas produk-produk yang menggunakan sijil halal.
Oleh itu, jika ada kemusykilan tentang sesuatu produk, sila semak status halalnya di Direktori Halal Malaysia melalui www.halal.gov.my