PCOS: 7 Perkara Wanita Kena Tahu Kalau ‘Period’ Tak Menentu

Polycystic Ovary Syndrome / Sindrom Polisistik Ovari atau singkatannya PCOS ialah masalah ketidakseimbangan hormon yang berlaku pada kaum wanita, khususnya ketika memasuki usia reproduktif yang aktif.

Secara luarannya, sindrom PCOS ini boleh memberi kesan kepada kitaran haid, kesuburan dan rupa fizikal seseorang wanita yang mengidapinya.

Selain itu, penyakit ini secara tidak langsung akan menjejaskan kesuburan pesakit. 

Jadi, adakah PCOS merbahaya dan bolehkah ia dirawat?

Dan masalah haid bagaimana pula yang dikaitkan dengan PCOS?

Jom baca selanjutnya.

PCOS: Polycystic Ovary Syndrome (Sindrom Polisistik Ovari)

1. Apakah Maksud PCOS?

Menurut Portal MyHealth, Polycystic Ovary Syndrome atau PCOS adalah satu keadaan dimana terdapat banyak sista kecil (folikel) tersusun di dalam ovari seseorang.

Semua sista kecil ini hanya dapat dilihat dengan bantuan imbasan ultrasound. 

PCOS boleh menyebabkan masalahh ketidaksuburan (infertility) disebabkan telur (ovum) yang tidak menetas keluar.

Walau bagaimanapun, janganlah terlalu risau kerana ada ubat-ubatan kesuburan yang boleh membantu masalah ini.

tanda pcos
Foto Kredit: myhealth.gov.my

2. Tanda PCOS

i. Masalah Haid

Walaupun ketidaktentuan haid mungkin biasa berlaku dan boleh berkait rapat dengan stres, ia perlu diberi perhatian sekiranya ia kerap berlaku dalam tempoh yang berpanjangan.

Menurut Mayo Clinic, masalah haid yang jarang (kurang dari 4 kali dalam setahun), tidak teratur, atau pendarahan yang berpanjangan adalah tanda PCOS yang paling umum.

Oleh itu mereka yang mempunyai masalah haid amat disarankan berjumpa doktor. 

ii. Tumbuh Bulu Di Bahagian Yang Tidak Normal Bagi Wanita

Pesakit PCOS mempunyai kadar hormon lelaki (androgen) yang lebih tinggi.

Maka ia boleh mempengaruhi rupa fizikal wanita di mana ia menyebabkan sejenis kondisi yang dikenali sebagai hirsutism (iaitu bulu yang tumbuh pada wajah, dagu, payudara, perut, dan jari-jari kaki).

hirsutism pcos
Foto Kredit: furocyst.com

iii. Rambut Gugur & Makin Menipis

Walaupun mengalami lebihan bulu atau rambut di bahagian yang tidak diingini atau tidak disangka, rambut di kepala pula semakin menipis dan ada yang hingga menyebabkan masalah botak.

iv. Obesiti / Masalah Berat Badan

Sumber menunjukkan bahawa wanita yang mengalami PCOS mungkin tidak bertindak balas terhadap insulin (dikenali sebagai rintangan insulin) dan ini boleh menyebabkan tahap glukosa menjadi tinggi di dalam darah.

Maka untuk mengatasi masalah ini, tubuh akan menghasilkan lebih banyak insulin.

Tahap insulin yang tinggi inilah yang boleh menyebabkan pertambahan berat badan.

Untuk jangka masa panjang, ia boleh menyebabkan diabetes, obstructive sleep apnea dan beberapa lagi komplikasi. 

v. Kulit Berjerawat & Berminyak

Sering dikaitkan dengan hormon, masalah seperti kulit muka berminyak dan berjerawat juga boleh menjadi salah satu tanda PCOS.

vi. Kemurungan & ‘Moody’

Perasaan berubah suasana hati atau ‘mood swing’ boleh disebabkan oleh ketidaktentuan hormon dalam tubuh.

Gangguan pada pola tidur juga mungkin menjadi salah satu tanda PCOS yang menyebabkan seseorang berasa letih, sakit kepala dan murung.

Baca juga : Kreatif! Ibu Ini Cipta 37 Aktiviti Bersama Anak Yang “Fun” Sepanjang PKP

Tanda-tanda PCOS Yang Lain

Selain yang disenaraikan di atas, tanda-tanda atau simptom Sindrom Polisistik Ovari yang lain antaranya :

  • Acanthosis nigricans (hitam di bahagian lipatan kulit)
  • Mandul
  • Sakit pada bahagian pelvik
  • Sakit belakang
  • Keletihan

NOTA: Seeloknya lakukan pemeriksaan doktor untuk kepastian lanjut kerana ada juga pesakit PCOS yang tidak mengalami sebarang simptom langsung.

3. Punca PCOS

Punca Sindrom Polisistik Ovari masih belum diketahui setakat ini.

Namun, kajian menunjukkan diet dan usaha menurunkan berat badan mampu mengurangkan risiko jangka masa panjang bagi penyakit ini, termasuklah penyakit lain yang berkait rapat seperti diabetes dan penyakit jantung.

4. Adakah Saya Perlukan Pemeriksaan Lanjut?

Menurut Dr Sri Viknarajan menerusi DoctorOnCall, pemeriksaan lanjut akan dibuat apabila seseorang wanita mengalami mana-mana 2 daripada 3 ciri yang berikut.

  • ‘Period’ tidak teratur / terlalu jarang atau tidak ada ‘period’ langsung.
  • Hormon lelaki (androgen) tinggi dan boleh dilihat daripada bulu badan dan di muka yang lebih daripada biasa. Ujian darah boleh dibuat untuk memastikan sama ada kadar testosteron yang lebih tinggi dari wanita biasa. 
  • Imbasan ultrasound yang menunjukkan ovari polisistik yang melebihi 8 sista dalam satu ovari yang bersaiz kurang dari 10mm atau penambahan dalam stroma ovari

5. Rawatan Awal

Lazimnya rawatan pertama yang akan dilakukan untuk mengatasi masalah ini adalah perubahan gaya hidup sihat seperti mengamalkan pemakanan yang sihat serta bersenam.

Kaedah yang paling efektif dalam mengawal insulin, mengatur semula kitaran haid kembali normal dan simptom-simptom PCOS lain ialah menurunkan berat badan bagi yang mengalami obesiti.

Dengan hanya mengurangkan 5-10% dari berat badan, sudah cukup untuk pusingan haid kembali normal.

Baca juga: Kemana Hilangnya Sos Aminah Hassan? Selepas Jatuh Kerana Berita Palsu

6. Ubat Untuk Kesuburan

Bergantung kepada keadaan pesakit, antara ubat-ubatan yang akan diberikan untuk mengawal masalah ketidakseimbangan hormon ini antaranya termasuklah:

  • Pil Perancang: mengembalikan kitaran haid yang normal dan mengurangkan simptom hirsutism (bulu lebat).
  • Agen Penyekat: androgen (Androgen-blocking agent): membantu mengurangkan masalah hirsutism (bulu lebat) sekiranya ubat perancang keluarga tidak berkesan. 
  • Clomiphene Citrate: untuk menggalakkan kesuburan.
  • Metformin: mengawal penyakit diabetes yang sering berlaku dalam wanita yang menghidapi PCOS

7. Komplikasi

Sekiranya masalah ini tidak dirawat, PCOS mungkin boleh menyebabkan komplikasi jangka masa panjang seperti:

  • Masalah obesiti
  • Penebalan lapisan endometrium (endometrial hyperplasia) atau kanser endometrium
  • Diabetes 
  • Masalah jantung
  • Tekanan Darah Tinggi / Kolesterol tinggi (dyslipidaemia)

Oleh itu, jika anda mempunyai lain-lain tanda PCOS seperti yang disenaraikan di atas, berjumpalah dengan doktor untuk mendapatkan nasihat selanjutnya.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: