Influenza: Tanda, Gejala, Vaksin & Perbezaannya Dengan Demam Biasa

Memetik laporan dari Astro Awani 5 November yang lalu, Pengerusi Kumpulan Influenza Malaysia, Prof Dr Zamberi Sekawi berkata, Malaysia dijangka akan mengalami ‘twindemic’, iaitu pertembungan dua wabak pada hujung tahun ini.

Dua wabak yang dimaksudkan tersebut adalah COVID-19 dan Influenza.

‘Twindemic’ atau ‘pandemik berkembar’ itu tentunya akan mencetus kebimbangan dalam kalangan masyarakat di Malaysia, terutamanya golongan ibu bapa.

Tahukah anda apakah itu Influenza, gejalanya, dan perbezaannya berbanding demam selesema biasa?

9 Perkara Tentang Influenza Yang Kita Perlu Tahu

1. Apakah Influenza?

Secara ringkasnya, Influenza atau flu adalah penyakit berjangkit disebabkan oleh virus influenza.

Terdapat 3 jenis virus influenza iaitu A, B dan C yang boleh menjangkiti manusia.

Dalam ketiga-tiga jenis tersebut, virus influenza A adalah paling berbahaya kerana ia boleh mencetuskan kejadian epidemik dan pandemik influenza.

Menurut Institut Kesihatan Negara, musim Influenza ini banyak berlaku pada bulan Januari -Mac atau Julai-September atau November-Disember.

2. Gejala / Simptom / Tanda-tanda Influenza

Menurut KKM, secara kebiasaannya, gejala virus ini bermula 1 atau 2 hari selepas dijangkiti, dan ianya meliputi :

  • Demam
  • Selesema
  • Sakit tekak
  • Batuk
  • Sakit kepala
  • Sakit badan
  • Sukar bernafas
  • Cirit birit dan sakit perut (khususnya dikalangan kanak-kanak) 

Kerap kali jangkitan virus ini sekadar menyebabkan gejala jangkitan yang ringan pada kebanyakan orang yang mempunyai tahap immuniti badan yang baik.

Gejala / tanda-tanda influenza A (H1N1) juga adalah serupa dengan gejala Influenza-like-Illness (ILI) iaitu seperti demam, batuk, sakit tekak, selesema, sakit badan, sakit kepala, badan berasa sejuk dan lesu di mana sesetengahnya juga mengalami cirit-birit dan muntah.

Kebanyakan orang yang dijangkiti Influenza H1N1 hanya mendapat gejala/tanda-tanda ringan.

Namun begitu, terdapat sebilangan kecil pesakit terutamanya golongan berisiko tinggi mendapat gejala / tanda-tanda teruk seperti :

  • pneumonia (jangkitan paru-paru),
  • encephalitis (jangkitan otak),
  • carditis (jangkitan jantung)
  • menyebabkan penyakit yang telah dihidapi (seperti asma) bertambah teruk.

3. Perbezaan Influenza Dengan Demam Biasa

Walaupun kedua-duanya mempunyai gejala yang hampir sama tetapi virus ini
menyebabkan gejala dan tanda-tanda yang lebih teruk serta boleh menyebabkan
komplikasi yang mengancam nyawa.

Perbandingan antara influenza dan demam selesema boleh dikenalpasti melalui jadual di bawah:

influenza
Sumber: Jabatan Penerangan Malaysia

4. Cara Penularan

Virus influenza tersebar melalui titisan cecair dari mulut dan hidung ketika bercakap,
bersin atau batuk.

Titisan ini boleh mencemari permukaan dan menyebabkan jangkitan kepada individu yang menyentuh permukaan tersebut.

Virus ini seterusnya masuk ke dalam badan melalui saluran pernafasan.

Selain itu, ia juga boleh tersebar melalui sentuhan dengan tangan pesakit atau menyentuh permukaan-permukaan yang tercemar dengan titisan cecair pesakit.

Baca juga: Awas Gelombang Ketiga! Ini Tanda COVID 19 & Apa Nak Buat Jika Bergejala

5. Golongan Berisiko Tinggi

Golongan berisiko tinggi termasuklah:

  • Kanak-kanak berumur kurang dari 5 tahun
  • Wanita hamil
  • Warga emas berumur 65 tahun dan ke atas
  • Individu dengan penyakit kronik (kencing manis, darah tinggi, asma, dan lain-lain)
  • Individu obes
  • Individu yang mempunyai daya ketahanan badan yang rendah (seperti pesakit kanser, penghidap HIV, pesakit yang menjalani rawatan kemoterapi, dan lain-lain.) 

6. Vaksin Influenza

Orang awam terutamanya golongan berisiko tinggi boleh mendapatkan pelalian vaksin Influenza setiap tahun.

Untuk makluman, buat masa ini vaksin Influenza tidak tersenarai dalam salah satu vaksin wajib dalam Jadual Imunisasi Kebangsaan, namun ia amat digalakkan untuk diambil terutamanya bagi golongan berisiko.

Berdasarkan tinjauan terkini, harga vaksin influenza boleh didapatkan pada harga sekitar RM70 sehingga RM120 di klinik / hospital swasta.

influenza

7. Rawatan

Secara amnya, terdapat rawatan yang berkesan bagi merawat jangkitan virus ini, di mana salah satu dari pilihan rawatan adalah dengan menggunakan ubat anti-viral.

Contoh ubat antiviral seperti oseltamivir (Tamiflu®) dan zanamivir (Relenza®) boleh digunakan, dan ubat ini hanya diberikan kepada pesakit-pesakit yang dimasukkan ke hospital.

Rawatan simptomatik (untuk melegakan gejala)

  • Minum air suam untuk melegakan sakit tekak dan batuk.
  • Amalkan makan secara sihat dan tidur/rehat secukupnya.
  • Elakkan stres kerana ia boleh melemahkan sistem pertahanan badan.
  • Sekiranya tanda dan gejala berlarutan, dapatkan rawatan doktor.

Rawatan segera adalah amat penting bagi mengelakkan komplikasi penyakit.

8. Adakah Pesakit Perlu Dikuarantin?

Menurut Laman Web Rasmi KP Kesihatan, Pesakit influenza A (H1N1) TIDAK perlu dikuarantin.

Namun begitu, sekiranya anda berasa TIDAK SIHAT atau mengalami gejala selesema, sila ambil langkah berikut:

  • Anda dinasihatkan untuk berada di rumah dan elakkan berada di tempat kerja, sekolah atau tempat sesak;
  • Berehat dan meminum banyak air;
  • Tutup mulut dan hidung bila batuk dan selesema dan, jika menggunakan tisu, buang tisu yang telah digunakan ke dalam tong sampah. Bersihkan tangan segera dengan sabun dan air atau bersihkan dengan bahan cuci berasaskan alkohol;
  • Jika anda tidak mempunyai tisu ketika batuk atau bersin, tutup mulut dan hidung dengan dengan lengan dan siku anda;
  • Gunakan mask bagi mengelakkan titisan cecair tersebar kepada orang lain di sekeliling anda. Pastikan anda memakai mask dengan cara yang betul; dan
  • Jika perlu mendapatkan rawatan lanjut ataupun gejala bertambah teruk seperti demam dan batuk/sakit tekak yang berterusan hendaklah segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan.

Baca juga: PCOS: 7 Perkara Wanita Kena Tahu Kalau ‘Period’ Tak Menentu

9. Cara Mencegah

  • Jauhi tempat yang tertutup dan sesak serta berada dekat dengan orang yang dijangkiti penyakit saluran pernafasan atas akut (seperti bersin, batuk dan selesema).
  • Tutup mulut dan hidung dengan tisu atau sapu tangan ketika bersin atau batuk.
  • Basuh tangan dengan sabun selepas batuk/bersin atau selepas menyentuh permukaan yang tercemar.
  • Pakai penutup mulut dan hidung (mask) jika selesema.
  • Hindari tempat awam semasa wabak selesema.

Maklumat lanjut, sila rujuk : https://www.infosihat.gov.my/influenza.html

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: