5 Khasiat Air Rendaman Kurma (Air Nabeez) Yang Ramai Tak Tahu
Tahukah anda apakah itu air nabeez dan khasiat minuman ini?
Seperti yang kita tahu, buah kurma sering menjadi kudapan pilihan ramai kerana khasiatnya yang cukup banyak.
Namun, ramai yang tidak tahu yang amalan minum air rendaman kurma mempunyai khasiat yang cukup banyak.
Nak tahu apakah manfaatnya?
Jom kita singkap selanjutnya!
Apakah Air Nabeez?
Tahukah anda, air nabeez merujuk kepada air rendaman kurma atau kismis yang kemudiannya diminum keesokan harinya.
Mungkin kita perasan baru sekarang media sosial, terutamanya orang Barat mempopularkan khasiat infused water ini. Tetapi sebenarnya Nabi Muhammad SAW telah lama melakukan hal ini.
Menurut sumber, air yang juga dikenali sebagai air Nabeez ini juga merupakan air yang selalu diminum oleh Rasulullah S.A.W.
Riwayat daripada Imam Muslim, Aisyah berkata;
“Kami biasa membuat perahan untuk Rasullulah SAW di dalam air minum yang bertali di atasnya, kami membuat rendaman di pagi hari dan meminumnya di petang hari, atau membuat rendaman di petang hari dan meminumnya di pagi hari.” (H.R Muslim)
Kurma cukup kaya dengan nutrisi penting seperti serat, vitamin A,C,D,E , zat besi, kalsium, magnesium dan kalium.
Dengan merendam buah kurma, kemanisannya juga akan lebih terasa dan cukup menyegarkan. Ia sesuai diamalkan untuk seisi keluarga bagi kesihatan menyeluruh.
Baca juga : Niat Puasa 6 Syawal & Niat Gabung Puasa Ganti (Qadha’) Serentak
Khasiat Air Nabeez
1. Meningkatkan Kesihatan Menyeluruh dengan Sifat Alkali
Antara ciri-ciri penting air Nabeez dan sering menjadi pilihan untuk diamalkan ialah disebabkan sifatnya yang beralkali.
Air Nabeez yang beralkali ini dapat membantu menstabilkan tahap pH dalam badan.
Air Nabeez juga dapat bertindak sebagai air detoks bagi menyingkirkan toksin dalam badan.
Mengambil air tinggi alkali seperti air Nabeez dapat meningkatkan tumpuan minda dan ingatan serta memulihkan sel dan tisu dalam badan.
2. Baik Untuk Sistem Penghadaman
Serat yang tinggi dalam buah kurma juga membuatkan air Nabeez sesuai untuk diminum ketika bersahur bagi mengurangkan rasa lapar ketika berpuasa.
Dengan kandungan serat yang tinggi, ia dapat membantu membaiki sistem penghadaman untuk makanan yang kita makan seterusnya.
3. Membekalkan Tenaga
Kandungan fruktosa (gula semulajadi dalam kurma) mampu membekalkan tenaga segera dengan cara mengembalikan paras gula dalam darah.
Oleh sebab itu, kita disarankan untuk berbuka dengan buah kurma.
4. Dapat Mengurangkan Masalah Alahan
Salah satu khasiat istimewa yang ada pada buah kurma ialah sulfur.
Apabila menikmat air Nabeez ia dapat membantu dalam mengurangkan masalah alahan seperti rhinitis.
Dengan mengamalkan air Nabeez, simptom alahan seperti bersin, hidung berair dan tersumbat atau sakit kepala dapat dikurangkan.
5. Mengelakkan Sembelit
Dalam bulan puasa terutamanya, kita kurang meminum air dan ini boleh menyebabkan masalah sembelit.
Dengan meminum air rendaman kurma, ia dapat membekalkan fiber secukupnya bagi mengelakkan masalah ini.
Cara Penyediaan
- Biasanya air Nabeez dibuat menggunakan kurma ajwa. Namun anda juga boleh gunakan kurma jenis lain ataupun kismis. Tapi bagi menjaga khasiat air Nabeez, jangan campurkan kismis dengan kurma. Gunakan sejenis buah sahaja.
- Sediakan buah kurma dalam bilangan ganjil. Buangkan biji dan carikkan isi buah.
- Tuang air masak ke dalam sebuah bekas yang berisi dengan buah kurma tadi.
- Tutup bekas dan simpan air semalaman / 12 jam.
- Anda juga boleh letak sesudu madu untuk tambah rasa manis.
Tips : Anda boleh sediakan air Nabeez sebelum tidur dan minum waktu sahur. Air Nabeez juga boleh disimpan sehingga satu ke dua hari. Jangan simpan melebihi 3 hari kerana rasanya akan bertukar masam dan tidak lagi sedap diminum.
Air Nabeez sangat sesuai diamalkan bagi menjaga kesihatan. Penyediaannya juga cukup mudah dan sesuai untuk diminum ketika bersahur mahupun berbuka.
Lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan ini, amat bagus untuk kita mula amalkan bagi membekalkan tenaga dan mengurangkan masalah sembelit.
*Rujukan: Liputan6, Dr. Aisyah Syukriah Binti Mohd Shaha