Apakah ‘Trigger Finger’? Ini 6 Perkara Perlu Tahu Bila Jari ‘Jammed’!
Pernah tak tiba-tiba rasa salah satu jari anda bengkok dan tak boleh diluruskan? Rasanya sakit apabila digerakkan, seolah-olah macam jammed pulak tiba-tiba! Mungkin anda sedang mengalami ‘trigger finger’.
Ia adalah keadaan di mana salah satu jari anda tersangkut dalam posisi membengkok.
Seperti pemicu ditarik dan dilepaskan, apabila meluruskan jari akan berbunyi “klik” dan kehilangan pergerakan jari yang terjejas.
Jom ketahui lebih lanjut tentang kondisi ini.
1. Apakah Punca ‘Trigger Finger’?
Trigger finger adalah sebuah kondisi pada jari yang disebabkan keradangan dan penyempitan sarung retinacular.
Ia juga dikenali dengan istilah stenosing tenosynovitis.
Ia berlaku apabila keradangan menyempitkan ruang dalam sarung yang mengelilingi tendon di jari yang berkenaan.
Dalam kes yang serius, jari anda mungkin terkunci dalam kedudukan bengkok.
Kondisi ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, terutamanya mereka yang kerap melakukan aktiviti yang melibatkan pergerakan jari dan perbuatan menggengam tangan seoerti menjahit, menaip dan menulis.
Masalah ini juga kerap berlaku pada pesakit kencing manis dan wanita dalam lingkungan 50an dan 60an.
Baca juga: Sakit Tumit Kaki (Plantar Fasciitis): Punca & Cara Mengatasinya
2. Simptom Trigger Finger
Antara simptom yang anda boleh diperhatikan termasuklah:
- jari yang susah untuk bergerak terutama pada waktu pagi
- bengkakan yang kecil pada jari yang terlibat (nodul)
- boleh berlaku pada mana-mana jari
- salah satu jari yang tersangkut pada posisi bengkok dan tidak boleh diluruskan
- bunyi “klik” semasa pergerakan jari
- mula-mula sakit apabila tidak bergerak, dan akan berasa rasa kurang sakit apabila digerakkan perlahan-lahan berulang kali
3. Siapa Yang Boleh Terkena ‘Trigger Finger’?
- Pekerjaan dan hobi yang melibatkan penggunaan tangan berulang-ulang dan cengkaman yang berpanjangan dapat meningkatkan risiko penyakit ini.
- Ia juga lebih biasa ditemui pada kaum wanita diantara umur 40 – 60 tahun.
- Risiko untuk mengalami ‘trigger finger’ adalah lebih pada pesakit diabetes mellitus dan rheumatoid arthritis.
- Selain itu, pesakit yang pernah mengalami Sindrom Karpal Tunnel, terutamanya enam bulan pertama selepas pembedahan mungkin boleh terkena ‘trigger finger’ disebabkan komplikasi yang berkaitan dengan pembedahan tersebut.
4. Adakah Ia Merbahaya?
‘Trigger finger’ adalah satu keadaan yang tidak bahaya dan boleh dipulihkan.
Rawatan bergantung kepada gejala dan tahap kesakitan yang dialami, bermula dengan rawatan di rumah (jika tidak serius).
5. Jenis Rawatan
Rawatan bergantung kepada gejala yang dialami oleh pesakit.
Pada peringkat awal, fisioterapi, latihan senaman jari boleh dilakukan untuk membantu pemulihan.
Antara rawatan yang boleh dilakukan di rumah adalah:
- Berehat: Cuba elakkan aktiviti menggenggam yang kerap dilakukan setiap hari. Penggunaan alas tangan juga boleh membantu mengurangkan simptom.
- Tuam: Merendamkan jari didalam air suam dan urut boleh membantu memulihkan ‘trigger finger’.
- Splints: Pemakaian splint atas nasihat doktor boleh membantu mengurangkan sakit dan pergerakan.
- Senaman Regangan: Senaman fisioterapi boleh mengurangkan kekakuan pada jari dan mengekalkan fleksibiliti tisu. Ia penting untuk memulihkan pergerakan dan mengekalkan kekuatan genggaman tangan anda yang mencukupi. Regangan jari anda juga penting bukan sahaja untuk otot anda tetapi juga untuk tendon dan ligamen di jari anda yang terjejas.
- Ubat Tahan Sakit: Jika perlu, doktor akan mempreskripsikan ubat tahan sakit dan anti-keradangan buat sementara waktu.
- Suntikan: Sesetengah kes mungkin dicadangkan suntikan untuk membantu mengatasi trigger finger
- Pembedahan: Selalunya disyorkan pada peringkat akhir, iaitu hanya apabila semua rawatan tidak berkesan. Pembedahan akan membuka saluran tendon yang sempit itu supaya tendon dapat bergerak dengan mudah.
6. Cara Pencegahan
Untuk mencegah masalah ini daripada berlaku, anda perlu mengelakkan aktiviti yang memerlukan perbuatan menggenggam yang lama, menggenggam berulang kali atau penggunaan jentera yang meggetar tangan untuk masa yang berpanjangan, komputer dan mesin jahitan.
Jika perlu, berehatlah antara waktu bekerja dan lakukan senaman regangan agar jari-jari tidak berasa terlalu tegang.
Rujukan