Carpal Tunnel Syndrome: Punca Kebas Tangan, Senaman & Rawatan

Ramai juga antara kita yang dah pernah kena Carpal Tunnel Syndrome (CTS) atau Sindrom Terowong Karpus, cuma mungkin tidak menyedarinya.

Pesakit CTS ni kadang-kadang akan berasa kebas tangan terutamanya di bahagian ibu jari.

Simptom yang semakin teruk boleh menyebabkan seseorang terbangun dari tidur kerana tangan terlalu sakit dan kebas.

Biasanya rasa sakit ini berkurang selepas tangan diregangkan atau diurut.

Namun, ia boleh datang semula dan menjejaskan keupayaan tangan untuk melakukan sesuatu seperti menaip, menulis atau melakukan apa-apa aktiviti dengan tangan dan jari.

Pernahkah anda juga mengalami simptom ini?

Jika ya, jom kita ambil tahu lebih lanjut tentang Carpal Tunnel Syndrome berikaitan puncanya, gejala, cara mengatasinya, risiko, komplikasi dan cara rawatannya.

Apakah Carpal Tunnel Syndrome?

Menurut Portal MyHealth, Carpal Tunnel Syndrome (CTS) merupakan kesakitan saraf median akibat tekanan yang berpanjangan.

CTS ini berlaku apabila urat saraf median yang membekalkan deria rasa kepada tangan dan jari tersepit di laluan tersebut akibat timbulnya bengkak pada urat-urat lain yang berada di sekitar saraf tersebut.

Keadaan inilah yang menyebabkan timbulnya tanda-tanda sakit atau kebas di bahagian tangan dan jari, terutamanya pada bahagian berwarna gelap dalam rajah di bawah.

Himpitan saraf median pada pergelangan tangan berlaku dalam tempoh yang berbeza-beza (minggu, bulan dan tahun) turut diistilah sebagai Cumulative Trauma Disorders.

Baca juga: Cirit-Birit: Punca, Cara Mengatasi, Petua, Ubat & Rawatan

Punca

Menurut Dr Mahyuddin menerusi Malaysian Medical Gazette, CTS ini adalah 2 kali ganda lebih kerap berlaku di kalangan wanita berbanding lelaki.

Dalam 80% kes, pesakit berusia lebih daripada 40 tahun.

Antara punca yang boleh menyebabkan seseorang mengalami Carpal Tunnel Syndrome adalah:

  • Punca yang paling biasa adalah disebabkan kerja harian di mana tangan atau pergelangan tangan digunakan dengan kerap dan berkali-kali. Contoh: pengunaan papan kekunci komputer
  • Pernah cedera atau terseliuh di pergelangan tangan
  • Patah tulang di tangan ataupun di pergelangan tangan
  • Pemendapan air di kawasan berkaitan seperti yang berlaku sewaktu mengandung ataupun pada pesakit kencing manis.
  • Ketumbuhan di sekitar laluan terowong karpus.
  • CTS juga boleh berlaku kepada pesakit yang mengandung
  • Proses penuaan yang menyebabkan ‘Osteoarthritis’ boleh juga menyebabkan CTS
  • Masalah hormone pembesaran (‘Growth hormone’)
  • Menggunakan tongkat untuk berjalan juga mungkin mengalami sindrom ini kerana sering posisi tangan yang bengkok.

Gejala

Gejala CTS ini biasanya melibatkan tangan dominan, iaitu tangan yang biasa digunakan untuk menjalankan aktiviti.

Sakit dan kebas mungkin dirasakan menjalar ke atas sehingga ke lengan ataupun bahu.

Menurut Dr Sri Viknaarajan menerusi DoctorOnCall, antara tanda Carpal Tunnel Syndrome ini antaranya termasuklah:

  • Sakit & kebas tangan
    • Biasanya lebih teruk pada waktu malam terutamanya semasa tidur.
    • Rasa sakit ini berkurang sekiranya tangan diregangkan.
  • Hanya melibatkan ibu jari, jari telunjuk, tengan dan jari manis
    • Sindrom carpal tunnel tidak melibatkan jari kecil kerana saraf kepada jari kecil tidak melibatkan saraf median.
    • Oleh itu, sekiranya simptom anda melibatkan jari kecil, kemungkinan besar bukan sindrom carpal tunnel.
  • Kekuatan ibu jari merosot
    • Hal ini banyak berlaku kepada kes-kes yang kronik.
    • Dalam jangka masa yang panjang, otot-otot ibu jari (“thenar muscle”) yang dibekalkan oleh saraf median akan mengecut.
    • Ia boleh menyebabkan pesakit mengalami masalah untuk menggunakan tangan seperti memegang sudu, pensel dan sebagainya.

Baca juga: Cerebral Palsy: Definisi, Punca, Risiko, Komplikasi & Rawatan

carpal-tunnel-syndrome-bm

Cara Menguji Carpal Tunnel Syndrome

Menurut Portal KKM (Unit Fisioterapi Hospital Melaka), kita boleh menguji sindrom CTS ini dengan melakukan ujian berikut:

  • Ujian Phalen
    • Posisi: Rehatkan telapak tangan di atas meja (*seperti dalam gambar di bawah)
    • Kaedah: Tekan kawasan berkenaan menggunakan jari tangan bersebelahan
    • Tanda positif : Sakit mencucuk di sepanjang tendon
ujian carpal tunnel syndrome
Foto asal: MyHealth KKM
  • Ujian Pergelangan Tangan
    • Posisi: Bengkok kedua-dua pergelangan tangan (*seperti dalam gambar di bawah)
    • Kaedah: Tahan selama 1 minit
    • Tanda positif : Kebas di pergelangan tangan dan tangan yang berkenaan

Cara Mengatasi

CTS selalunya boleh dirawat dan diatasi dengan beberapa cara seperti dengan melakukan regangan, menukar gaya melakukan aktiviti dan menjalani rawatan serta pengambilan ubat-ubatan tertentu.

Antara cara mengatasi Carpal Tunnel Syndrome adalah:

  • Posisi Yang Sesuai
    • Letakkan tangan anda di luar katil dan lakukan beberapa goyangan apabila merasai simptom pada waktu tidur 
    • Lakukan perubahan pada susun atur tempat kerja
  • Memakai Splint
    • Pemakaian splint semasa bekerja akan dapat mengurangkan simptom pada gerakan tertentu
  • Rehat / Menyeimbangkan Aktiviti
    • Anda dinasihatkan berehat seketika semasa bekerja bagi mengurangkan ketidakselesaan Muskuloskeletal
    • Berehat, berdiri dan berjalan setempat secara berkala
    • Kerap menukar kerja berkomputer dengan bukan berkomputer apabila berkesempatan
  • Regangan
    • Lakukan regangan jari, tangan dan lengan dengan kerap dan berkala
    • *Sila rujuk cara senaman regangan Carpal Tunnel Syndrome di bawah.
rawatan carpal tunnel syndrome
Close up of a woman hands with injured wrist complaining using a laptop at home

Senaman Regangan Untuk Carpal Tunnel Syndrome

Kesakitan akan berkurang dalam tempoh 2 minggu dan pulih dalam tempoh antara 4 hingga 6 minggu.

Anda dinasihatkan untuk melakukan senaman seperti di bawah secara berterusan sehingga 6 hingga 8 minggu bagi mengelak simptom yang berulangan.

senaman carpal tunnel syndrome
Rujuk cara senaman regangan CTS: MyHealth KKM

Rawatan

Pemakaian night splint dan rawatan fisioterapi adalah langkah awal yang boleh dilakukan untuk merawat Carpal Tunnel Syndrome.

Selain itu, pengambilan ubat-ubatan juga boleh membantu meredakan rasa sakit seperti:

  • Ubat anti-radang.
  • Ubat penahan sakit.

Jika rawatan-rawatan di atas tidak berjaya, pembedahan boleh dijalankan.

Menurut Dr Mahyuddin, pembedahan mungkin perlu dilakukan apabila splinting dan fisioterapi tidak berjaya atau terdapat ketumbuhan di dalam pergelangan tangan pesakit.

Prosedur Pembedahan

  • Pesakit atau diberikan ubat bius,
  • Torehan dibuat pada bahagian pergelangan tangan pesakit bagi memotong ‘transverse carpal ligament’ dan seterusnya membebaskan saraf ini.

Kini terdapat juga kaedah endoskopik dimana pembedahan dilakukan dengan menggunakan alat endoskopi dan kamera.

Ia hanya melibatkan 2 atau 3 luka kecil bersaiz 1 cm bagi membebaskan saraf ini. Namun ia hanya dilakukan di pusat perubatan tertentu sahaja di Malaysia.

Bila Patut Berjumpa Doktor?

  • Gejala anda tidak bertambah baik selama beberapa minggu hingga berbulan-bulan walaupun kerap melakukan regangan.
  • Anda kehilangan fungsi tangan, ibu jari atau jari, yang menunjukkan saraf median anda terganggu dan anda berisiko mengalami kerosakan saraf median.
  • Gejalanya sangat teruk sehingga menyekat aktiviti normal anda.
SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: