Cirit-Birit: Punca, Cara Mengatasi, Petua, Ubat & Rawatan
Ciri-birit (diarrhea) mungkin dianggap biasa kerana selalunya ia boleh hilang sendiri tanpa rawatan khusus.
Menurut pakar runding pediatrik Pusat Perubatan Tropicana, Dr Ling Shih Gang, 99% cirit-birit berlaku disebabkan jangkitan kuman atau virus.
Namun, dalam kes yang teruk ia boleh mengakibatkan dehidrasi (kekeringan akibat kehilangan air) dan sekiranya mengandungi darah ia dikenali sebagai disenteri dan boleh menjadi masalah yang serius terutamanya kepada kanak-kanak.
Punca
Menurut Portal MyHealth, puncanya adalah sistem pencernaan yang disebabkan oleh
- jangkitan kuman seperti virus, bakteria dan parasit
- alahan makanan / laktosa
- kesan sampingan ubat-ubatan
- pengawet makanan
- keracunan ubat / dadah / pemakanan kimia
Tanda-tanda Cirit-birit
Najis yang bagaimanakah yang dikatakan sebagai cirit-birit?
Najis yang tidak normal dan dianggap cirit-birit adalah najis yang terlalu lembut, berair pembuangan yang lebih kerap dan banyak daripada biasa. (*Sila rujuk pada Bristol Stool Chart di bawah).
Lazimnya ia akan diikuti dengan tanda-tanda lain seperti :
- Sakit dan kekejangan perut
- Loya dan muntah
- Keletihan
- Demam
Baca juga: Influenza: Tanda, Gejala, Vaksin & Perbezaannya Dengan Demam Biasa
Cara Mengatasi Cirit-birit
Cirit-birit biasanya akan sembuh tanpa rawatan selepas beberapa hari, terutamanya jika ia disebabkan oleh jangkitan.
Kanak-kanak yang mengalami masalah ini biasanya akan sembuh dalam tempoh 5-7 hari dan jarang akan berterusan lebih lama daripada dua minggu.
Sementara menunggu ia sembuh dengan sendiri, kita boleh melakukan beberapa cara untuk mengurangkan gejalanya seperti:
1. Minum Banyak Air
Adalah penting bagi anda yang mengalami masalah cirit-birit untuk minum banyak air bagi mengelakkan daripada dehidrasi.
Keadaan ini bertambah serius lagi jika anda juga muntah. Minumlah air sedikit demi sedikit tetapi pada kadar yang lebih kerap.
2. Makanan Yang Elok Untuk Cirit-Birit
Menurut Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan, antara makanan yang elok dimakan ketika cirit-birit ialah:
- Bubur nasi
- Pisang
- Biskut kering
- Roti bakar
- Air kelapa
- Sup ayam (tak pedas / berempah)
- Jika masalah ini berlaku pada bayi dan bayi tersebut masih menyusu badan, maka susukan bayi tersebut dengan lebih kerap.
3. Makanan Yang Perlu Dielakkan
Makanan yang perlu dielakkan untuk mengawal masalah ini pula termasuklah:
- Makanan yag terlalu manis
- Makanan pedas atau berempah
- Susu
- Alkohol
- Kopi
- Makanan serat tak larut
- Jus buah-buahan / minuman bergas
4. Garam Rehidrasi Oral (ORS)
Menurut Kamarudin Bin Ahmad, Pegawai Farmasi Hospital Miri, doktor atau ahli farmasi akan mengesyorkan agar mengambil garam rehidrasi oral (ORS) untuk mengelakkan atau merawat dehidrasi yang berlaku kesan daripada cirit-birit yang teruk.
Garam rehidrasi boleh dibeli tanpa preskripsi melalui premis komuniti farmasi.
Garam tersebut perlu dilarutkan dalam air dan diminum untuk menggantikan garam, glukosa, dan mineral yang hilang ketika cirit-birit.
5. Ubat Cirit-Birit
Ubat cirit-birit boleh membantu mengurangkan dan memendekkan masa cirit-birit.
Diphenoxylate dan Loperamide adalah ubat cirit-birit utama yang digunakan, kerana ia telah terbukti berkesan.
Diphenoxylate dan Loperamide melambatkan pergerakan otot dalam usus supaya lebih banyak air diserap di kawasan usus. Keadaan ini menjadikan najis yang terbentuk lebih pejal.
Namun perlu diingatkan bahawa penggunaan ubat ini adalah untuk kanak-kanak berumur 2 tahun ke atas.
Ubat untuk cirit-birit dewasa ini juga boleh dibeli di premis farmasi komuniti daripada ahli farmasi tanpa preskripsi, antaranya:
- Antispasm: buscopan
- Activated carbon (arang)
- Anti-diarrhea: lomotil/loperamide
- Bulking agent: pectin
- Mucosa protector: smecta
Ahli farmasi akan memberitahu maklumat dos yang sesuai.
Untuk maklumat lanjut berkaitan ubat tersebut jangan malu untuk bertanya dengan ahli farmasi agar maklumat penting yang ingin diketahui dapat disampaikan.
NOTA PENTING: Elakkan mengambil ubat-ubatan cirit-birit jika terdapat darah atau lendir dalam najis atau suhu badan tinggi (demam).
6. Ubat Tahan Sakit
Sekiranya berlaku demam susulan daripada cirit-birit, anda dinasihatkan untuk merujuk kepada doktor untuk rawatan lanjut.
Begitu juga tindakan yang perlu dilakukan jika berlaku dalam kalangan kanak-kanak.
Perlu diingatkan bahawa ubat tahan sakit tidak merawat cirit-birit, tetapi ubat seperti paracetamol atau ibuprofen boleh membantu melegakan demam dan sakit kepala sahaja.
Pastikan ibu bapa atau pesakit membaca maklumat ubat-ubatan yang terdapat dalam pek ubat tersebut untuk mengetahui kesesuaian dan dos yang betul terutamanya bagi kalangan kanak-kanak.
7. Antibiotik
Antibiotik tidak berkesan untuk jangkitan yang melibatkan virus.
Justeru, rawatan menggunakan antibiotik tidak digalakkan untuk cirit-birit jika puncanya tidak diketahui.
Selain daripada itu, sesetengah antibiotik juga boleh menyebabkan kesan sampingan yang tidak menyenangkan.
Perlu berhati-hati dalam penggunaan antibiotik kerana ia boleh menjadi kurang berkesan merawat keadaan yang lebih serius jika berulang kali digunakan untuk merawat keadaan ringan.
Justeru antibiotik boleh disyorkan jika pesakit mengalami cirit-birit yang teruk dan jenis bakteria telah dikenal pasti sebagai puncanya dan ia perlulah dipreskripsikan oleh doktor yang telah merawat pesakit tersebut.
8. Probiotik
Probiotik sering dikatakan baik untuk perut.
Probiotik adalah bakteria hidup dan yis yang didapati dalam yogurt dan makanan tambahan.
Namun, bolehkah probiotik membantu memberi kelegaan?
Terdapat beberapa bukti menunjukkan probiotik tertentu boleh memendekkan tempoh cirit-birit.
Walau bagaimanapun bukti kukuh belum cukup untuk menjadikannya sebagai rawatan utama.
Tanda Bahaya
Ibu bapa perlu merujuk kepada doktor dengan segera sekiranya anak anda mengalami tanda-tanda dehidrasi yang serius seperti bibir yang kering dan menangis tanpa keluar air mata. Ini kerana kanak-kanak lebih mudah mengalami dehidrasi.
Tanda-tanda dehidrasi adalah :
- Haus yang berlebihan
- Mulut dan kulit kering
- Kurang atau tiada air kencing
- Keletihan yang teruk
- Pitam
- Kulit menjadi gelap
Sila berjumpa doktor jika cirit-birit berterusan lebih dari 12 hingga 24 jam atau bayi anda mengalami :
- Lampin kering dalam masa 3 jam atau lebih
- Demam panas
- Najis mengandungi darah atau berwarna hitam
- Mulut kering atau menangis tanpa air mata
- Kerap tidur, tidak aktif, mudah meradang
- Perut, mata atau pipi yang cengkung
- Kulit yang tidak tegang / kembali ke asal sekiranya di cubit.
Selain itu, tanda-tanda yang perlu diberi perhatian dan perlu dibawa berjumpa doktor dengan segera adalah:
- Najis berdarah / berlendir
- Najis hitam legam
- Cirit-birit melebihi 2 hari
- Demam tinggi
- Sakit perut yang kuat
Baca juga: PCOS: 7 Perkara Wanita Kena Tahu Kalau ‘Period’ Tak Menentu
Komplikasi
Cirit-birit yang teruk mengakibatkan dehidrasi (kekeringan akibat kehilangan air).
Simptom yang berkaitan juga mungkin disebabkan oleh:
- Appendicitis
- Rotavirus / Salmonella
- Kanser
- Irritable bowel syndrome
- Keracunan yang teruk
- Sekiranya mengandungi darah ia dikenali sebagai disenteri.
Jika tidak dirawat, kes yang teruk boleh menyebabkan kematian.
Cara Mencegah Cirit-Birit
Pencegahan masalah ini banyak berkait rapat dengan pemakanan dan kebersihan.
Antaranya adalah dengan penggunaan bahan segar untuk memasak, memastikan kebersihan makanan serta peralatan yang digunakan, serta memastikan kita sentiasa mencuci tangan sebelum makan.
Rujukan
- https://www.facebook.com/drkamarulariffin.norsadan/posts/256271062511982
- https://thediagnosa.com/cirit-birit-punca-cara-rawatan/
- https://www.hmetro.com.my/node/88875
- http://www.myhealth.gov.my/cirit-birit-3/