Bacaan Gula Normal Dalam Darah: Cara Guna Glukometer & Jadual

Macam mana nak ambil bacaan gula dalam darah dan tentukan sama ada ianya normal, tinggi atau rendah ya?

Statistik pada tahun 2018 mendapati 2.5 juta rakyat Malaysia menghidap penyakit kencing manis.

Ini menjadikan Malaysia antara negara yang mempunyai pesakit kencing manis tertinggi dalam Asia.

Pengambilan gula perlu dikawal supaya badan dapat memproses dengan baik.

Insulin yang dihasilkan oleh pankreas bertindak untuk memindahkan gula dalam darah kepada sel- sel dan organ yang memerlukan. Jumlah insulin yang sedikit atau tiada langsung membuatkan gula terkumpul di darah dalam jangka masa panjang.

Inilah yang menyebabkan seseorang didiagnos menghidap kencing manis.

Kepentingan Ujian Gula Dalam Darah

Walaupun sesetengah pesakit diabetes menunjukkan simptom awal seperti kelesuan, kerap buang air kecil dan cepat rasa dahaga, kebanyakan pesakit juga tidak menunjukkan tanda-tanda awal.

Tiga golongan ini juga disarankan untuk melakukan pemeriksaan saringan diabetes kerana berisiko tinggi menghidap penyakit diabetes :

  • Orang yang mempunyai BMI tidak normal serta mempunyai masalah kesihatan lain seperti penyakit darah tinggi, kolesterol, sakit jantung atau pesakit dengan sejarah polycystic ovarian syndrome (PCOS), atau mempunyai sejarah keluarga menghidap kencing manis.  
  • Orang yang berusia 45 tahun ke atas disarankan untuk mengambil ujian saringan diabetes. Jika bacaan didapati normal, ujian berkala setiap 3 tahun perlu dilakukan.
  • Wanita yang pernah menghidap kencing manis ketika mengandung disarankan untuk menjalani ujian saringan setiap 3 bulan.
  • Pesakit yang didiagnos prediabetes perlu melakukan ujian saringan setiap tahun.

Bacaan yang diambil dapat membantu pesakit diabetis untuk mengenalpasti tahap gula dalam darah sama ada berada dalam tahap normal, terlalu rendah atau terlalu tinggi.

bacaan gula normal

Baca juga: PeKa B40: Bantuan Kesihatan & Perubatan Sehingga RM20,000 (2021)

Ujian Paras Glukosa Menggunakan Glukometer

Untuk mengukur kandungan gula darah, anda perlu tahu cara menggunakan glukometer di rumah.

Sekarang, terdapat banyak model dan saiz glukometer di pasaran. Pastikan anda membeli glukometer yang mesra pengguna dan mudah dipakai.

Tips Membeli Glukometer :

  • Beli glukometer di farmasi berdekatan supaya anda mudah membeli bekalan strip ujian (test strip) dan jarum lancet bila sudah habis.
  • Beli glukometer dengan jenama yang dipercayai. Dapatkan nasihat dari doktor atau ahli farmasi. (Contoh jenama glukometer yang mudah didapati di Malaysia: OneTouch, AccuCheck)

Cara Ambil Bacaan Gula Menggunakan Glukometer

Setiap glukometer didatangkan dengan peralatan asas iaitu ‘test strip’, jarum lancet dan kapas beralkohol.

  1. Keluarkan strip dari botol atau pembalut. Pastikan kod kalibrasi pada strip sama dengan kod pada glukometer.
  2. Cuci tangan dan bersihkan hujung jari. Hangatkan dahulu hujung jari dengan menggosok supaya darah keluar dengan lebih lancar dan kurang sakit.
  3. Sapukan kapas alkohol pada hujung jari yang hendak dicucuk dan biarkan kering.
  4. Hidupkan glukometer dan pastikan nombor kod ujian yang terpapar pada skrin glukometer adalah sama dengan kod yang tertulis pada pembungkus strip. (sesetengah model glukometer hanya akan hidup bila strip dimasukkan)
  5. Dengan menggunakan jarum lanset yang baru, cucukkan hujung jari dan letakkan setitik darah pada strip ujian. (Semak manual glukometer untuk mengetahui kuantiti darah yang diperlukan)
  6. Tunggu bacaan paras gula keluar dalam beberapa saat.
  7. Tekankan bahagian yang telah dicucuk dengan kapas atau tisu bersih bagi menghentikan aliran darah.
  8. Buang jarum di dalam bekas tahan bocor atau bekas besi.
  9. Catat keputusan bacaan gula sebagai rujukan anda atau doktor pada masa akan datang.

Waktu Terbaik Mengambil Bacaan Gula

Bacaan gula dalam darah bergantung kepada aktiviti harian, pengambilan ubat dan pemakanan ketika itu.

Jika anda penghidap diabetis, dapatkan nasihat doktor tentang waktu dan kekerapan yang terbaik untuk anda ambil ujian darah sendiri .

Biasanya, waktu yang bagus untuk ambik darah adalah seperti berikut :

  • 2 jam sebelum makan atau ketika perut kosong
  • Bila badan terasa lemah, berpeluh atau terlalu lapar
  • Sebelum atau selepas bersenam
  • Bila jatuh sakit atau tak selera makan

Baca juga: PCOS: 7 Perkara Wanita Kena Tahu Kalau ‘Period’ Tak Menentu

Jadual Bacaan Gula Normal / Tinggi / Rendah

Menurut DoctorOnCall, berikut adalah cara membaca glukometer berdasarkan waktu mengambil bacaan:

Bacaan Gula Normal

  • Waktu rambang (random) : 11.1 mmol/L ke bawah
  • Ketika berpuasa : 5.5mmol/L ke bawah
  • Selepas 2 jam makan : 7.8 mmol/L ke bawah

NOTA:

Bacaan yang melebihi nombor-nombor di atas menandakan anda mengalami prediabetes atau diabetes.

Jika anda dapati bacaan melebihi normal 3 hari berturut-turut dan mengalami simptom seperti sesak nafas, muntah-muntah dan mulut terasa kering, dapatkan nasihat daripada doktor secepat mungkin.

bacaan gula normal

Komplikasi Bacaan Gula Tinggi (Hyperglycemia)

Bacaan gula yang tinggi atau hyperglycemia boleh menyebabkan seseorang itu menghidap diabetes jika tiada pengurusan kesihatan yang baik.

Antara gejala hyperglycemia ialah :

  • Kerap buang air kecil
  • Badan rasa lesu
  • Cepat rasa lapar dan haus
  • Berat badan susut
  • Gatal-gatal pada bahagian kemaluan
  • Penglihatan makin merosot

Kandungan gula dalam darah yang tidak diuruskan dengan betul boleh mengundang komplikasi yang lebih teruk seperti :

  • Kerosakan buah pinggang
  • Kerosakan mata
  • Kerosakan saraf
  • Meningkatkan risiko sakit jantung

Komplikasi Bacaan Gula Rendah (Hypoglycemia)

Pengambilan ubat kencing manis berlebihan, makan dengan kadar terlalu sedikit atau tidak makan langsung atau bersenam boleh menyumbang kepada kandungan gula rendah dalam badan (hypoglycaemia).

Tanpa kandungan gula yang mencukupi dalam darah, badan tidak dapat berfungsi
dengan baik.

Antara gejala-gejala badan kekurangan gula dalam darah ialah :

  • Degupan jantung yang laju
  • Sakit kepala dan tidak dapat fokus dengan baik
  • Berpeluh dan mengigil
  • Rasa lapar
  • Penglihatan jadi kabur

Badan yang berada dalam keadaan hypoglycaemia perlu dirawat secepat mungkin untuk mengelakkan sebarang komplikasi.

Puasa Pesakit Diabetes / Kencing Manis

Jika anda atau keluarga mengalami simptom-simptom ini, jamahlah sedikit biskut, buah-buahan atau sesudu madu. Sekiranya keadaan dilihat semakin serius,
segeralah ke hospital untuk rawatan kecemasan.

Keadaan seseorang boleh menjadi serius sehingga jatuh pengsan jika ia tidak ditangani segera.

Oleh itu, adalah penting untuk kita tahu cara mengambil bacaan gula untuk kita
dan ibu bapa di rumah.

Dapatkan rawatan dan nasihat daripada doktor segera jika bacaan dilihat
tidak normal selama 3 hari berturut-turut.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: