Digelar ‘Brain Booster’, Ini 8 Kelebihan Ginkgo Biloba Yang Ramai Nak Tahu

Bila sebut kelebihan Ginkgo Biloba, tentu kita akan bayangkan suplemen dan produk kesihatan kan?

Sebenarnya Ginkgo Biloba adalah antara salah satu spesis pokok yang tertua di dunia.

Di Malaysia, ia lebih popular sebagai suplemen dan produk kesihatan di mana ia dipercayai boleh meningkatkan daya ingatan, menajamkan pemikiran.

Selain itu, ia juga banyak digunakan dalam pelbagai variasi produk skincare dan rambut.

Namun adakah ianya terbukti secara klinikal berdasarkan kajian saintifik?

Jom kita ketahui lebih lanjut tentang Ginkgo Biloba.

Apakah Ginkgo Biloba?

Ginkgo adalah sejenis pokok bersaiz besar dengan daun berbentuk kipas.

Ia berasal dari China, Jepun, dan Korea, tetapi kini juga tumbuh dengan banyak di Eropah dan Amerika Syarikat.

Pokok ginkgo dianggap sebagai salah satu pokok tertua dan spesies ini dikenali sebagai ‘living fossil’ kerana sumber mengatakan ia telah wujud sejak lebih dari 200 juta tahun dahulu!

Daun ginkgo inilah yang sering digunakan untuk pelbagai manfaat kesihatan, manakala, biji buah ginkgo panggang (roasted ginkgo nut seed) adalah makanan istimewa yang boleh dimakan di Jepun (digelar Ginnan) dan China.

Hasil produk Ginkgo juga boleh didapati dalam bentuk kapsul, seperti tablet, ekstrak cecair, dan daun kering untuk teh.

kelebihan ginkgo biloba

8 Kelebihan Ginkgo Biloba Yang Ramai Nak Tahu

Berikut adalah antara kelebihan Ginkgo Biloba yang mungkin kita tak pernah tahu.

1. Meningkatkan Fungsi Otak & Daya Ingatan

Ginkgo amat terkenal sebagai ‘brain herb’ atau ‘brain booster’ yang dikatakan dapat meningkatkan memori dan daya ingatan.

Beberapa kajian kecil menyokong anggapan bahawa pengambilannya dapat meningkatkan fungsi otak dan kesejahteraan mental.

Terdapat juga beberapa hasil kajian yang yang mengaitkan dengan peningkatan daya ingatan ke atas pesakit dementia, namun tiada kesan sedemikian dikesan bagi individu yang sihat dan mengalami kekurangan daya ingatan akibat peningkatan umur.

2. Melancarkan Peredaran Darah

Lagi satu kelebihan Ginkgo Biloba yang sangat terkenal ialah melancarkan peredaran darah.

Satu penyelidikan yang dilaporkan melalui National Library Of Medicine menunjukkan pesakit jantung yang mengamalkan pengambilan ginkgo biloba membantu peningkatan aliran darah ke beberapa bahagian badan dengan segera.

Dalam perubatan tradisional Cina, biji ginkgo digunakan untuk ‘membuka saluran tenaga’ ke sistem organ yang berbeza, termasuk ginjal, hati, otak dan paru-paru.

3. Mengurangkan Anxiety

Beberapa penyelidikan menunjukkan antara kelebihan ginkgo biloba termasuklah mengurangkan gejala kegelisahan, kemurungan (depression) atau anxiety.

Kajian menunjukkan bahawa kesan ini berkait dengan sifat anti-radang ginkgo, yang meningkatkan kemampuan tubuh untuk mengatasinya ketika tahap hormon stres tinggi.

Walaupun begitu, kemurungan adalah keadaan kompleks yang mungkin mempunyai pelbagai punca.

Oleh itu, lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk lebih memahami hubungan antara ginkgo dan bagaimana ia boleh mempengaruhi kemurungan pada manusia.

4. Mengatasi Raynaud’s Syndrome

Raunaud’s Syndrome adalah sejenis kondisi di mana seseorang berasa sakit terutama pada jari tangan dan kaki kerana sejuk.

Terdapat kajian yang menunjukkan pesakit yang mengambil Ginkgo dapat mengurangkan simptom penyakit selepas 10 minggu penggunaan berbanding dengan pesakit yang tidak mengambilnya.

5. Mengurangkan Simptom PMS

Menurut sebuah artikel di Portal MyHealth, antara kelebihan ginkgo bila ialah mengurangkan simptom yang berkaitan dengan PMS (Pre Menstrual Syndrome).

Antara simptom PMS yang biasa dialami termasuklah senggugut, sakit kepala, mood swing, loya, dan cramp.

Baca juga : PCOS: 7 Perkara Wanita Kena Tahu Kalau ‘Period’ Tak Menentu

6. Mengurangkan Sakit Kepala & Migrain

Dalam perubatan tradisional Cina, ginkgo adalah rawatan yang sangat popular untuk sakit kepala dan migrain.

Ini mungkin disebabkan ginkgo mempunyai kesan anti-radang dan antioksidan.

Sekiranya sakit kepala atau migrain disebabkan oleh tekanan yang berlebihan, ginkgo mungkin berguna.

Ini adalah kerana kemampuannya untuk meningkatkan aliran darah dan mengurangkan keradangan.

Baca juga : Awas Gelombang Ketiga! Ini Tanda COVID 19 & Apa Nak Buat Jika Bergejala

7. Melegakan Sakit Kaki

Sakit kaki ketika berjalan akibat aliran darah yang lemah mungkin dapat dikurangkan dengan pengambilan ginkgo biloba.

Terdapat hasil kajian yang menunjukkan apabila mengamalkannya, pesakit yang mengalami masalah ini dapat berjalan dengan lebih jauh tanpa merasai kesakitan.

8. Meningkatkan Kesihatan Mata

Terdapat kajian yang menunjukkan pengambilan Ginkgo dengan dos 120mg selama 8 minggu memperbaiki daya penglihatan pesakit glaucoma.

Selain itu, ada juga penyelidikan yang menunjukkan dengan mengambil ekstrak ginkgo untuk tempoh 6 bulan boleh memperbaiki tahap penglihatan warna bagi pesakit yang mempunyai kerosakan retina akibat penyakit diabetes

Namun beberapa kajian awal menunjukkan bahawa menambah ginkgo dapat meningkatkan aliran darah ke mata tetapi tidak semestinya meningkatkan penglihatan.

Walaupun Banyak Kelebihan Ginkgo Biloba, Risikonya Juga Perlu Diambil Kira

Jika pengguna atau pesakit mempunyai masalah gangguan pendarahan, diabetes, sawan / epilepsi, masalah kesuburan, atau sedang merancang untuk menjalani pembedahan, pesakit perlu berbincang dengan doktor sebelum menggunakan sebarang produk Ginkgo Biloba.

NOTA PENTING:

Pengambilan produk Ginkgo Biloba tidak disyorkan untuk kanak-kanak, wanita mengandung atau yang menyusukan bayi.

Jika anda mengalami kesan sampingan berikut, sila rujuk kepada doktor untuk pemeriksaan lanjut.

  • Loya
  • Cirit-birit
  • Pening
  • Sakit kepala
  • Sakit perut
  • Reaksi ruam / alahan
SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: