in

Apakah AEFI? Ini Cara Kendali Kesan Sampingan Selepas Divaksin

apakah aefi
ADVERTISEMENT

Setelah kerajaan melancarkan Program Imunisasi COVID19 Kebangsaan (PICK), semakin ramai rakyat Malaysia yang mula mengambil tahu apakah kesan sampingan vaksin atau AEFI.

Tahukah anda apakah itu AEFI dan apakah yang perlu dilakukan jika kita mengalaminya?

Di sini kami kongsikan lebih lanjut tentang AEFI untuk makluman bersama.

Apakah Itu AEFI?

AEFI adalah ringkasan kepada Kesan Advers Susulan Imunisasi atau Adverse Events Following Immunisation.

Ia merujuk kepada sebarang kesan yang tidak diingini yang dialami selepas menerima vaksin yang TIDAK semestinya mempunyai hubungkait dengan pengambilan sesuatu vaksin tersebut.

apakah aefi

Adakah AEFI melibatkan kesan sampingan yang serius?

Kebanyakan AEFI yang dilaporkan adalah ringan dan boleh sembuh dalam masa beberapa hari dengan atau tanpa rawatan.

Apakah Contoh AEFI?

Kesan biasa yang dialami selepas mendapatkan vaksin adalah rasa letih, demam, bengkak pada tapak suntikan, sakit kepala, ruam yang gatal dan bengkak pada kelenjar.

Berdasarkan GARISPANDUAN FARMAKOVIGILANS KESELAMATAN VAKSIN DI MALAYSIA, kesan vaksin atau AEFI boleh dikelaskan kepada 2 kategori berikut:

i) Kesan Minor

Reaksi setempat (local reactions)

  • Sakit
  • Bengkak
  • Kemerahan pada tempat suntikan

Reaksi sistemik

  • Demam
  • Irritabiliti
  • Lemah
  • Hilang selera makan

ii) Kesan Serius

Reaksi yang lebih serius seperti anafilaksis adalah sangat jarang berlaku dan, secara amnya, tidak menyebabkan masalah jangka panjang.

Contoh kesan serius AEFI merujuk kepada jadual di bawah:

Sumber: GARISPANDUAN FARMAKOVIGILANS KESELAMATAN VAKSIN DI MALAYSIA

Cara Mengendalikan Kesan Sampingan Vaksin Selepas Imunisasi

Berdasarkan Portal MyHealth KKM, berikut adalah langkah yang boleh dilakukan selepas menerima suntikan vaksin:

i) Pemerhatian Selepas Menerima Vaksinasi

Penerima vaksin harus diletakkan di bawah pemerhatian anggota kesihatan di fasiliti yang memberi suntikan bagi waktu yang singkat, sekurang-kurangnya 15 minit selepas suntikan untuk memastikan bahawa mereka tidak mengalami sebarang kesan advers yang berlaku secara tiba-tiba.

Kejadian anafilaksis serius biasanya berlaku dengan cepat dalam tempoh 10 minit selepas menerima suntikan dan boleh mengancam nyawa sekiranya tidak dirawat dengan serta-merta.

Kesan advers selepas imunisasi yang paling serius ialah anafilaksis.

Walau bagaimanapun, di kalangan orang dewasa dan kanak-kanak yang lebih berusia, kesan advers yang sering berlaku dengan cepat adalah episod vasovagal (pengsan), sama ada ia berlaku serta-merta atau beberapa minit selepas suntikan.

Oleh itu, sesiapa yang mengadu pening sebelum atau selepas vaksinasi harus dinasihatkan supaya berbaring sehingga bebas daripada gejala bagi mengelakkan sebarang kesan buruk akibat dari jatuh.

Kesan advers pengsan selepas imunisasi biasanya berlaku dalam tempoh 5 minit dan kebanyakannya berlaku dalam tempoh 30 minit selepas suntikan.

ii) Mengendalikan Reaksi pada Tempat Suntikan

Kesan advers pada tempat suntikan seperti kemerahan, gatal-gatal, bengkak atau pedih adalah perkara biasa dan akan sembuh dalam 1 ke 2 hari selepas suntikan.

Ubat penahan sakit seperti Paracetamol mungkin diperlukan untuk mengurangkan rasa sakit dan bengkak.

Kadang-kala, terdapat ketulan kecil dan keras yang berterusan untuk beberapa minggu atau bulan tetapi ianya tidak memerlukan rawatan.

iii) Mengendalikan Demam Selepas Imunisasi

Paracetamol mungkin diperlukan jika bayi atau kanak-kanak mengalami demam yang tinggi berikutan vaksinasi.

Dos paracetamol adalah 15 mg/kg, dan dos maksimum adalah sebanyak 75 mg/kg sehari.

Bagi kanak-kanak atau bayi yang menerima vaksin, teknik sponging boleh membantu dalam mengurangkan suhu badan yang tinggi dan memastikan pengambilan kuantiti air yang lebih daripada biasa kepada bayi atau kanak-kanak.

Sekiranya suhu badan bayi tinggi, elakkan memakai pakaian yang berlebihan.

Baca juga: Bantuan Hingga RM500,000 Jika Ada Kesan Sampingan Serius Vaksin COVID19

Cara Buat Laporan AEFI

Jika anda mengalami sebarang AEFI atau reaksi alahan yang teruk, pastikan anda mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan berdekatan.

Anda juga boleh melaporkan sebarang kesan sampingan ubat (kesan advers ubat- ADR) atau vaksin (kesan advers berikutan pelalian – AEFI) yang anda alami kepada Bahagian Regulatory Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia.

Laporan anda boleh membantu meningkatkan keselamatan penggunaan ubat di Malaysia.

Untuk melaporkan sebarang kesan sampingan atau kesan advers ubat (ADR) yang disyaki disebabkan ubat (termasuk ubat preskripsi, ubat over-the-counter, produk tradisional, suplemen kesihatan, dsb.) atau kesan advers berikutan pelalian (AEFI) untuk vaksin

Untuk maklumat lanjut, sila rujuk seperti di bawah:

apakah aefi

Bagaimana Cara Melapor?

Anda boleh laporkan terus kepada NPRA dengan menggunakan boring ConSERF seperti di bawah. Borang ini digunakan untuk melaporkan kesan sampingan yang disyaki disebabkan ubat (ubat terkawal yang memerlukan preskripsi doktor, ubat over-the-counter (OTC), produk tradisional, suplemen kesihatan, dsb.) atau vaksin.

(i)  Laporkan terus secara atas talianATAU

(ii) Muat turun, cetak dan isi borang, kemudian hantar kepada NPRA melalui emel/ pos/ faks kepada alamat di bawah.

Sila berikan seberapa banyak maklumat yang boleh untuk memastikan laporan anda adalah berguna. Maklumat anda akan dirahsiakan dan tidak akan diberikan kepada sesiapa di luar NPRA tanpa kebenaran anda. Anda hanya akan dihubungi jika NPRA memerlukan maklumat lanjut berkaitan laporan anda.

Anda digalakkan untuk berbincang dengan ahli profesional kesihatan anda (doktor atau ahli farmasi) sebelum menghantar laporan anda. Ahli profesional kesihatan anda mungkin boleh membekalkan maklumat tambahan berdasarkan rekod perubatan anda, yang dapat membantu kami untuk menilai laporan anda.

Jika anda mempunyai pertanyaan berkaitan pelaporan kesan sampingan/ AEFI, atau untuk menghantar laporan anda, sila hubungi: 

Pusat Komplians dan Kawalan Kualiti
Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA)
Lot 36, Jalan Universiti,
46200 Petaling Jaya, Selangor.

Email: [email protected]

Jangan Risau, Vaksin Adalah Selamat

Secara umumnya anda tak perlu risau kerana vaksin adalah selamat.

Jawatankuasa Dasar dan Amalan Imunisasi Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia telah ditubuhkan untuk merancang, memantau dan menilai strategi, program, sasaran dan pencapaian program pelalian di negara ini.

Jawatankuasa Kecil Farmakovigilans Keselamatan Vaksin adalah merupakan salah satu jawatankuasa kerja yang telah ditubuhkan di bawah jawatankuasa induk ini.

Jawatankuasa Kecil Farmakovigilans Keselamatan Vaksin berperanan membantu
jawatankuasa induk dalam hal-hal berkaitan keselamatan vaksin.

Yang penting, dapatkan maklumat sahih mengenai vaksin dan AEFI daripada pakar kesihatan dan ahli farmasi bertauliah.

Jadi, jangan teragak-agak untuk mendaftar untuk vaksin COVID-19 demi kelangsungan hidup bersama.

Baca juga: Fungsi Baru MySejahtera – Cara Daftar Vaksin Untuk Tanggungan

*Sumber: Program Perkhidmatan Farmasi KKM, NPRA

Written by badra

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

cermin gelap jpj 2021

Peraturan Cermin Gelap JPJ 2021 : Syarat, Prosedur & Permohonan

Potongan Harga Sehingga 50% Untuk Barangan Berjenama Ini Di Lazada!