Jadual Imunisasi Kebangsaan Terkini 2021 KKM (Jadual Vaksin Bayi)
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan mengenai pertukaran Jadual Imunisasi Kebangsaan Terkini untuk Kanak-Kanak yang melibatkan semua Klinik Kesihatan KKM di seluruh negara.
Jadual Imunisasi Kebangsaan yang baharu untuk semua kanak-kanak yang melibatkan semua Klinik Kesihatan KKM di seluruh negara.
Pertukaran jadual ini susulan pertukaran vaksin lima serangkai yang ditukar kepada vaksin kombinasi enam serangkai (hexavalent DTaP-IPV-HepB-Hib).
Pertukaran Vaksin 5 Serangkai Kepada 6 Serangkai
Pertukaran jadual imunisasi ini dilaksanakan susulan pertukaran jenis vaksin yang digunakan iaitu vaksin kombinasi lima serangkai (difteria – tetanus – pertussis – polio – Haemophilus influenzae type b (pentavalent DTaP-IPV//Hib)) yang ditukar kepada vaksin kombinasi enam serangkai (difteria – tetanus – pertussis – polio – Hepatitis B – Haemophilus influenzae type b (hexavalent DTaP-IPV-HepB-Hib)) di bawah Program Imunisasi Kebangsaan bagi kanak-kanak.
Vaksin enam serangkai diberikan untuk mencegah enam jenis penyakit iaitu
- penyakit difteria,
- tetanus (kancing gigi),
- pertussis (batuk kokol),
- poliomyelitis,
- jangkitan Haemophilus influenza type b dan
- Hepatitis B (hexavalent DTaP-IPV-HepB-Hib).
“Sebanyak 4 dos vaksin enam serangkai akan diberikan kepada setiap kanak-kanak pada umur dua bulan, tiga bulan, lima bulan dan 18 bulan.
Di samping itu, vaksin Hepatitis B yang diberi selepas lahir akan diteruskan.
Manfaat Pertukaran Vaksin Lima Serangkai Kepada Vaksin Enam Serangkai
Berikut adalah manfaat pertukaran Vaksin 5 Serangkai kepada Vaksin 6 Serangkai yang dinyatakan dalam kenyataan rasmi KP Kesihatan :
- Vaksin enam serangkai diberikan untuk mencegah enam jenis penyakit iaitu penyakit difteria, tetanus (kancing gigi), pertussis (batuk kokol), poliomyelitis, jangkitan Haemophilus influenzae type b dan Hepatitis B.
- Sebanyak empat (4) dos vaksin enam serangkai akan diberikan kepada setiap kanak-kanak pada umur dua (2) bulan, tiga (3) bulan, lima (5) bulan dan 18 bulan.
- Di samping itu, vaksin Hepatitis B yang diberi selepas lahir akan terus diberikan. Manakala, vaksin Hepatitis B yang sebelum ini diberikan pada umur 1 bulan dan 6 bulan tidak perlu lagi diberikan kerana komponen vaksin Hepatitis B telah terkandung dalam vaksin kombinasi enam serangkai difteria – tetanus – pertussis – polio – Hepatitis B – Haemophilus influenzae type b (hexavalent DTaP-IPV-HepB-Hib).
Jadual Imunisasi Kebangsaan Terkini 2021 – KKM
Jadual imunisasi baru adalah seperti di Lampiran di bawah:
Vaksin Enam Serangkai Adalah Selamat dan Berkesan
Pemantauan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di peringkat global menunjukkan, sehingga 20 Oktober 2020, terdapat 49 buah negara telah bertukar kepada vaksin enam serangkai DTaP-IPV-HepB-Hib dalam Program Imunisasi Kebangsaan mereka.
Vaksin enam serangkai DTaP-IPV-HepB-Hib adalah vaksin yang berkesan dan selamat. Seperti vaksin-vaksin lain yang berdaftar di Malaysia, kesan advers susulan imunisasi (adverse events following immunization, AEFI) vaksin tersebut dipantau oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia.
Sejak ia digunakan oleh fasiliti kesihatan swasta di Malaysia, tiada sebarang isu keselamatan serius yang dilaporkan.
Walaupun vaksin enam serangkai telah digunakan di fasiliti kesihatan swasta di Malaysia sejak 2013 dan telah terbukti selamat, namun ia merupakan vaksin yang baharu digunakan di bawah Program Imunisasi Kebangsaan di fasiliti kesihatan KKM.
Maka, KKM akan menjalankan pemantauan Kesan Advers Susulan Imunisasi (AEFI) bagi setiap kanak-kanak selepas setiap dos suntikan. Bagi tujuan ini, ibubapa perlu melaporkan sebarang kesan advers yang dialami oleh anak mereka kepada anggota kesihatan selepas setiap suntikan dengan mengembalikan borang pelaporan, walaupun kesan yang dialami adalah ringan, seperti merah di tempat suntikan.
Selain itu, ibubapa juga boleh melaporkan kesan advers secara terus kepada NPRA melalui laman sesawang npra.gov.my dengan mengisi Consumer Side Effect Reporting Form (CONSERF).
Maklumat Lanjut
Sekiranya terdapat sebarang kemusykilan mengenai pertukaran vaksin lima serangkai kepada vaksin enam serangkai ini, sila hubungi KKM di talian 03-8883 4042/03-8883 4504 pada hari Isnin hingga Jumaat, jam 9 pagi hingga 5 petang, atau dapatkan penjelasan lanjut di Klinik Kesihatan yang berdekatan.