Subsidi Yuran TASKA Penjawat Awam 2023 & Cara Memohon

Salah satu inisiatif yang diumumkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2023 yang berjaya menarik perhatian terutamanya para ibu bapa ialah subsidi yuran TASKA penjawat awam di tempat kerja sektor awam.

Pemberian subsidi bagi yuran pengasuhan Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) di tempat kerja sektor awam ini adalah sebagai usaha untuk meringankan beban penjawat awam yang perlu menghantar anak-anak mereka ke TASKA semasa mereka bekerja. 

Subsidi Yuran TASKA Penjawat Awam
Sumber: Sinar Harian

Baca juga: e-Tunai Belia Rahmah RM200 : Syarat Memohon & Cara Menebus – Belanjawan 2023

Subsidi Yuran Taska Penjawat Awam 

Insentif subsidi yuran taska penjawat awam ini sebenarnya bukanlah perkara yang baru sebaliknya telah diumumkan dalam pembentangan belanjawan sebelum-sebelum ini.

Kadar subsidi sebanyak RM180 bagi seorang anak akan dibayar terus kepada pengusaha Taska oleh agensi di mana pegawai berkhidmat. Sekiranya yuran tersebut melebihi RM180.00, baki selebihnya ditanggung oleh pegawai berkenaan.

Pemberian subsidi ini merupakan salah satu usaha Kerajaan untuk memperkasa dan memperluas akses pendidikan awal kepada kanak-kanak. Kerajaan juga akan terus memudah cara garis panduan untuk pusat jagaan kanak-kanak di pejabat termasuk membenarkan penyediaan pusat jagaan di aras pejabat yang lebih tinggi. 

Sumber: BuletinTV9

Tambahan lagi, insentif cukai sedia ada juga akan dilanjutkan bagi elaun jagaan kanak-kanak serta kos menyediakan pusat jagaan di pejabat.

Selain pemberian subsidi, pihak kerajaan juga akan meneruskan pembinaan 80 buah taska dan tabika kemas termasuk 13 projek baharu. 

Pelbagai usaha dan insentif oleh kerajaan Perpaduan ini diumumkan kerana Kerajaan sensitif akan keperluan kaum wanita terutamanya mereka yang terpaksa berhenti bekerja selepas tempoh cuti bersalin untuk menjaga anak-anak kerana kos penjagaan kanak-kanak yang tinggi.

Baca juga: Intipati Bajet 2023: Senarai Bantuan & 20 Inisiatif Penting

Syarat Kelayakan Subsidi Yuran TASKA Penjawat Awam

Terdapat sedikit perubahan mengenai syarat kelayakan untuk mendapatkan subsidi ini berbanding tahun-tahun sebelumnya. 

Sebelum ini, subsidi ini layak diterima oleh penjawat awam yang bergaji RM5,000 ke bawah. Namun untuk Bajet 2023 ini, subsidi sebanyak RM180 ini layak diterima oleh penjawat awam yang bergaji RM7,000 ke bawah.

Kadar Subsidi Taska Penjawat Awam

Kadar subsidi yang diberikan ialah sebanyak RM180 untuk seorang anak. 

Cara Permohonan 

Individu (penjawat awam) yang ingin mendapatkan subsidi ini perlu membuat permohonan kepada Bahagian Sumber Manusia atau bahagian yang menyelaras urusan mengenai TASKA di agensi Kerajaan di mana pegawai tersebut berkhidmat.

Permohonan hendaklah disokong oleh Ketua Jabatan agensi berkenaan bersama-sama dengan dokumen sokongan berikut:

  • Salinan penyata gaji
  • Salinan Sijil Kelahiran/ MyKid anak
  • Salinan Sijil Kelahiran/ MyKid anak dan Sijil Pengangkatan daripada Jabatan Pendaftaran Negara jika anak angkat/ anak pelihara;
  • Salinan Sijil Kelahiran/ MyKid anak dan dokumen menunjukkan hubungan dengan anak tersebut jika anak tiri;
  • Salinan penyata gaji suami/ isteri. Bagi suami/ isteri yang tidak berkhidmat dengan Kerajaan sama ada suri rumah, bekerja sendiri atau bekerja di sektor swasta, dokumen atau keterangan berkaitan perlu disahkan oleh Ketua Jabatan pegawai
  • Pemberian subsidi yuran pengasuhan TASKA ini layak diberi kepada anak yang berumur di bawah empat (4) tahun pada tarikh anak didaftar masuk ke TASKA.

Maklumat Lanjut & Pertanyaan

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan atau ingin mengetahui maklumat lanjut mengenai subsidi ini, anda boleh ikuti Facebook rasmi Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pautan berikut: www.facebook.com/anwaribrahimofficial

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: