Semakan Wang Tak Dituntut Online (eGUMIS)
Kita mungkin tak perasan, ada akaun bank yang dah lama kita tak pakai rupanya ada sejumlah Wang Tak Dituntut (WTD).
WTD ini mungkin juga komisen, dividen, tuntutan insurans, draf bank yang telah luput, dan sebagainya.
Kini ada cara untuk kita semak WTD ini secara online iaitu melalui Portal eGUMIS, Jabatan Akauntan Negara.
Di sini kami kongsikan pengalaman mereka yang pernah membuat tuntutan dan cara buat semakan serta tuntutan sekiranya ada WTD dalam semakan anda nanti.
Apakah Wang Tak Dituntut (WTD)?
WTD merupakan sejumlah wang milik mana-mana individu atau syarikat sama ada dalam bentuk simpanan, dividen, tuntutan insurans, bank draf atau sebagainya. Wang ini tidak dituntut oleh pemiliknya dalam satu tempoh yang telah ditetapkan.
Menurut Seksyen 13(1) Akta WTD 1965, bayaran WTD hendaklah dibayar kepada mana-mana penerima yang dapat membuktikan bahawa beliau mempunyai hak ke atas WTD dan apabila Pegawai WTD berpuas hati bahawa penerima ialah empunya yang berhak.
Individu dan syarikat/firma dibenarkan untuk membuat semakan WTD secara dalam talian melalui nombor pengenalan diri dan nombor pendaftaran syarikat di Portal eGumis.
Siapa Boleh Buat Semakan / Tuntutan?
Permohonan tuntutan dibenarkan kepada pihak-pihak berikut:
- (a) Empunya/pemilik WTD sendiri;
- (b) Pentadbir harta pusaka (wasi) yang dinamakan dalam Surat Kuasa Mentadbir Harta Pusaka;
- (c) pelikuidasi yang mewakili syarikat/firma yang sedang dalam proses penggulungan
- (d) Individu atau syarikat/firma yang dinamakan dalam Perintah Mahkamah; atau
- (e) Suruhanjaya Syarikat Malaysia/Jabatan Insolvensi Malaysia bagi syarikat/firma yang bubar atau individu bankrap
Pengalaman Dapat Wang Tak Dituntut (WTD)
Dalam artikel ini kami kongsikan beberapa perkongsian di laman sosial tentang pengalaman mereka membuat semakan WTD:
Ini kali kedua tuntut WTD (Wang Tak Dituntut). Masa sebelum Covid dulu, memang kena tuntut dekat Komtar. Kena pergi ofis Jabatan Akauntan Negara dan isi borang.
Tapi sekarang semuanya online ja. Malam semalam submit, hari ni dah dapat email pengesahan. Mudah dan efficient kan. Tak perlu la nak panjat Komtar nun.
Haritu saja-saja ja check website ni. Cuba-cuba nasib kot la ada rezeki tak disangka-sangka. Eh, sekali memang ada la.
Korang pi la check website tu eh. Mana la tau ada duit-duit yang korang tak tuntut kan. Kadang-kadang kita pun tak teringat dah.
Bila saya recall balik, ooo ini duit deposit masa subsribe P1 Wimax dulu. Siapa nak bagi kan. Pi check eh. Mana tau rezeki bulan Disember.
Nurazlina Aini Mahamad Shaharin juga pernah berkongsi tentang pengalaman dapat WTD ini secara online.
Menurut beliau, ada sejumlah RM3,322.44 Wang Tak Dituntut yang ada dalam data setelah membuat semakan!
Jom baca perkongsian beliau selanjutnya.
Dengan kata lain, duit yang tak disangka sangka.
Purple mata hitamku sekejap bila tengok angka tertera. Betul ke ni? Terkelip kelip mata aku tengok? Tulisan kecil sangat, takut tersalah tengok pula. Dah la ada orang tua kat rumah ni kaki bahan jugak. Hahaha..
Macam dapat bonus bro! Nikmat apa lagi yang aku nak dustakan? Tak pernah mimpi boleh ada amount sebanyak ni tersimpan kat Akauntan Negara. Aku pun hairan apa yang aku buat dengan duit duit tu dulu..
Tak pernah peduli pun pasal wang tak dituntut sebelum ni. Rasanya pernah viral pasal wang tak dituntut ni 2-3 tahun lepas. Tapi tak ambil pusing sangat. Entah kenapa tiba-tiba pagi tu tangan ringan je register masuk nak tengok. Senyum sampai telinga wehh…
U all kalau belum check wang tidak dituntut, cepat cepat pergi check. Mana tau ada duit terpijak jugak. Apapun, semestinya itu duit dan hak kita. Ada sikit boleh simpan bank, ada banyak terpaksalah bekukan tukar jadi emas. Itu rahsia duit kekal lama.
Baca juga: Cara Semak Baki ASB Online Melalui Maybank (Maybank2U). Guna ATM Pun Boleh!
Cara Semakan Wang Tak Dituntut Online
Memandangkan ada yang tanya nak check kat mana, di sini saya kongsikan cara buat semakan Wang Tidak Dituntut online melalui Portal eGUMIS (Jabatan Akauntan Negara Malaysia):
Pengguna eGUMIS boleh membuat Tuntutan WTD secara dalam talian dengan mengikuti langkah-langkah seperti berikut:
Langkah 1 : Layari pautan portal https://egumis.anm.gov.my/
Langkah 2 : Klik pada ruangan “KLIK DI SINI UNTUK CARIAN WANG TAK DITUNTUT” untuk membuat semakan WTD melalui nombor pengenalan diri. Klik Cetak maklumat Wang Tak Dituntut tersebut (jika perlu)
Langkah 3 : Klik pada rekod WTD yang ingin dituntut pilih “Teruskan Dengan Permohonan”
Langkah 4 : Klik pada “Tambah Penerima” untuk masukkan perihal penerima WTD. Pilih pada kotak yang disediakan sekiranya. Maklumat Diri adalah sama seperti Maklumat Pemohon, masukkan maklumat perbankan dan kemudian “Simpan”.
Langkah 5 : Muat naik dokumen sokongan bagi kategori “MANDATORI”
Langkah 6 : Tandakan pada dua kotak untuk bersetuju dengan pengakuan serta terma dan syarat eGUMIS dan Klik Hantar. Pilih Ya untuk menghantar permohonan tuntutan
Proses bayaran hanya akan dilaksanakan apabila dokumen lengkap DISAHKAN.
Langkah 7 : Setelah permohonan dihantar, sila semak status permohonan anda dari semasa ke semasa.
Semakan Status Tuntutan / Proses Penerimaan Wang Tak Dituntut
Pengguna eGUMIS boleh membuat semakan status permohonan tuntutan WTD secara dalam talian dengan mengikuti langkah-langkah berikut:
Langkah 1 : Log in pada Portal eGUMIS
Langkah 2 : Klik pada Tab Ringkasan/SENARAI PERMOHONAN
Langkah 3 : Rujuk pada ruangan STATUS
Terdapat lapan (8) status permohonan tuntutan WTD secara dalam talian iaitu :
i. DERAF – Permohonan belum dihantar oleh pengguna eGUMIS.
ii. PENGESAHAN DOKUMEN 1 – Permohonan telah dihantar dan dalam proses pengesahan dokumen 1
iii. KUIRI DOKUMEN 1 – Permohonan dikuiri. Sila rujuk catatan kuiri untuk tindakan
iv. PENGESAHAN DOKUMEN 2 – Permohonan telah disahkan dan dalam proses pengesahan kedua
v. KUIRI DOKUMEN 2 – Permohonan dikuiri. Sila rujuk catatan kuiri untuk tindakan
vi. BAHARU – Permohonan telah disahkan dan dihantar untuk proses bayaran.
vii. SELESAI – Permohonan telah dibuat pembayaran.
xv. KUIRI – Permohonan telah ditolak. Sila buat permohonan baharu.
MUAT TURUN MANUAL LENGKAP DI SINI :
PANDUAN BERGAMBAR
Di bawah ini kami kongsikan tutorial / panduan bergambar oleh Liza Mnor bagi yang ingin membuat semakan Wang Tak Dituntut.
Mula-mula daftar dulu jika belum daftar.
Kemudian log masuk.
Buat carian menggunakan nombor IC.
Jika ada, senarai akan dipaparkan di ruang HASIL CARIAN.
Kalau ada jumlah wang yang tak dituntut, boleh klik TERUSKAN DENGAN PERMOHONAN (kotak biru di bawah kanan).
Isikan maklumat lengkap ada borang Permohonan Wang Tidak Dituntut.
Nanti save as PDF dan jadikan lampiran dalam e-mel.
Sila e-melkan permohonan kepada [email protected]
Baca juga: Cara Keluarkan Duit ASB Online, Dah Tak Payah Pergi Bank Lagi
Maklumat Lanjut
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Jabatan Akauntan Negara Malaysia, Bahagian Pengurusan Wang Tidak Dituntut melalui saluran berikut:
Layari laman web http://www.anm.gov.my/index.php/arkib-berita-2020-perlis/7833-semakan-wtd-atas-talian-melalui-portal-egumis
Nombor telefon: (+603) 2056 8052/53/54/55
Alamat Ibu Pejabat Pendaftar
Bahagian Pengurusan Wang Tak Dituntut
Tingkat 42, Menara Maybank
100, Jalan Tun Perak
50050 Kuala Lumpur
Tel No:03-20568000
Waktu Operasi Ibu Pejabat
Isnin -Khamis : 8.30pagi hingga 4.30petang
Jumaat: 8.30pagi hingga 12.15tgh
2.45petang hingga 4.30petang
Sabtu, Ahad & Cuti Umum – Cuti
*Kredit: Liza Mnor, Nurazlina Aini Mahamad Shaharin