Ringkasan Belanjawan 2021 Yang Mungkin Anda Terlepas

Buat yang ingin mengetahui ringkasan belanjawan 2021 yang dibentangkan semalam pada Jumaat, 6 November 2020 Oleh Menteri Kewangan Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat, di sini kami kompilasikan beberapa highlights yang menarik.

Belanjawan 2021 kali ini berteraskan tiga matlamat induk:

  1. Kesejahteraan Rakyat
  2. Kelangsungan Perniagaan
  3. Ketahanan Ekonomi

Antara yang mendapat tumpuan ramai adalah Pengeluaran KWSP, Pelanjutan Moratorium, Bantuan Prihatin Rakyat (BPR 2021), Bantuan OKU, Bantuan Penjawat Awam & Frontliners dan banyak lagi.

Berikut adalah intipati atau ringkasan Belanjawan 2021 yang menjadi fokus dan mungkin ada sebahagiannya yang kita terlepas pandang.

Intipati & Ringkasan Belanjawan 2021

1. Pengeluaran KWSP

Kerajaan meluluskan pengeluaran simpanan Akaun 1 KWSP sebanyak RM500 sebulan untuk tempoh 12 bulan.

Menteri Kewangan, berkata ahli yang layak boleh memohon mulai Januari 2021 dengan jumlah pengeluaran sehingga RM6,000.

Mengambil kira kedua-dua inisiatif i-Lestari dan kemudahan pengeluaran Akaun 1, katanya, jumlah keseluruhan pengeluaran tunai adalah sehingga RM12,000.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan akan membenarkan pengeluaran daripada Akaun 2 KWSP untuk membeli produk perlindungan insurans dan takaful hayat dan penyakit kritikal bagi diri sendiri dan keluarga.

Selain itu, kadar caruman minimum KWSP pekerja dikurangkan daripada 11 peratus kepada sembilan peratus bermula Januari 2021.

Baca juga: Cara Daftar i-Akaun KWSP Online, Semak Penyata & Mohon Pengeluaran

2. Bantuan Prihatin Rakyat

Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) juga diumumkan sebagai penjenamaan semula kepada BSH (Bantuan Sara Hidup).

ringkasan belanjawan 2021

Bantuan ini akan melibatkan:

  • Isi rumah berpendapatan kurang RM2,500 menerima RM1,200 (1 orang anak) / RM1,800 (2 orang anak dan lebih)
  • Isi rumah berpendapatan RM2,501-RM4,000 menerima RM800 (1 orang anak) / RM1,200 (2 orang anak dan lebih)
  • Isi rumah berpendapatan kurang RM4,001-RM5,000 menerima RM500 (1 orang anak) / RM750 (2 orang anak dan lebih)
  • Individu bujang berpendapatan kurang RM2,500 menerima RM350

3. Elaun Khas Frontliners

Elaun Khas Covid-19 diumumkan, di mana Barisan Hadapan (frontliners) KKM akan diberikan bayaran one-off sebanyak RM500.

4. Kadar Bantuan OKU, Warga Emas, Pesakit Kronik & Golongan Miskin Dinaikkan

Kadar bantuan kebajikan bulanan dinaikkan:

  • OKU tidak berupaya bekerja kepada RM 300 dari RM250
  • Warga Emas, Bantuan Penjagaan OKU dan Pesakit Kronik Terlantar kepada RM 500 dari RM350
  • Elaun Pekerja OKU kepada RM 450 dari RM400
  • Kadar Bantuan Kanak-Kanak Keluarga Miskin kepada RM 450 – RM 1,000.
    *Bantuan Kanak-kanak Keluarga Miskin turut dinaikkan daripada RM100 bagi seorang anak dengan maksimum RM450 sekeluarga, kepada RM150 untuk seorang anak berumur tujuh tahun hingga 18 tahun atau RM200 seorang bagi anak berumur enam tahun dan ke bawah dengan maksimum RM1,000 sekeluarga.

5. Dua Pilihan Moratorium Bermula Disember 2020

Peminjam dari kalangan perusahaan mikro dengan jumlah pinjaman di bawah RM150,000 turut layak menerima manfaat daripada dua pilihan yang akan diberi mulai Disember 2021.

  • Pilihan 1 – Menangguhkan ansuran bulanan selama 3 bulan
  • Pilihan 2 – Pengurangan ansuran bulanan sebanyak 50% selama 6 bulan.

Peminjam yang layak hanya perlu menghubungi pihak bank untuk membuat pilihan opsyen dan menyempurnakan dokumentasi.

Untuk peminjam dari golongan M40, proses permohonan bantuan bayaran balik pinjaman akan dipermudahkan dengan pengisytiharan kendiri (self declaration) bagi pengurangan pendapatan untuk mendapat batuan bayaran balik ansuran.

6. Baucar Perlindungan Tenang

Kerajaan cadang perluasan perlindungan sosial kepada B40, melalui Program Baucar Perlindungan Tenang.

Golongan B40 akan diberikan baucar RM50 untuk membeli produk Perlindungan Tenang, termasuk takaful hayat dan kemalangan diri.

7. Penjawat Awam

Kakitangan awam gred 56 dan ke bawah akan menerima bonus sebanyak RM600
Pesara awam dan veteren awam tidak berpencen akan menerima bonus sebanyak RM300 pada awal 2021

8. Program Jaringan Prihatin (Kemudahan Internet B40)

Bermula suku pertama 2021, lebih kurang 8juta penerima dari golongan B40 akan menerima bantuan RM180 seorang dalam bentuk kredit telekomunikasi.

Bantuan ini boleh digunakan untuk perbelanjaan langganan internet atau menampung sebahagian kos pembelian telefon bimbit baharu.

Pada masa yang sama, syarikat-syarikat telekomunikasi akan menyediakan manfaat bernilai RM1.5 bilion seperti dalam bentuk data percuma.

9. SIP PERKESO (Elaun Mencari Pekerjaan)

Bagi tahun 2021, tempoh Elaun Mencari Kerja akan dilanjutkan selama 3 bulan.

Kadar layak menuntut:

  • 80 peratus gaji bagi bulan pertama
  • 50 peratus bagi bulan kedua hingga keenam
  • 30 peratus bagi tiga bulan terakhir

Sebelum ini elaun berkenaan diberikan untuk tempoh enam bulan.

Peruntukan tambahan ini dijangka memanfaatkan sehingga 130,000 pencari kerja.

10. Program Subsidi Upah (PSU PERKESO)

PSU akan dilanjutkan selama 3 bulan dan lebih bersasar khususnya kepada sektor terjejas seperti pelancongan mahupun peruncitan.

Program Subsidi Upah itu dilanjutkan dengan kadar RM600 sebulan bagi pekerja bergaji 4,000 ringgit dan ke bawah.

11. Program e-Belia (RM50 Untuk e-Wallet)

Bantuan RM50 melalui e-Wallet / e-Dompet akan dikreditkan kepada belia berumur 18-20 tahun.

12. Elaun Guru Takmir

Dinaikkan kepada RM900 sebulan

13. Bayaran Khas (Memartabatkan Syiar Islam)

Bayaran one-off RM500 kepada para Imam, Bilal, Siak, Noja, Merbut, Guru Takmir, dan Guru KAFA

14. Program SAVE 2.0

Kerajaan memperkenalkan program SAVE 2.0 membabitkan pemberian e-Rebat RM200 kepada isi rumah yang membeli alat penyaman udara atau peti sejuk cekap tenaga buatan tempatan.

15. Pas Perjalanan MY30

Kerajaan akan meneruskan inisiatif pas perjalanan tanpa had My30 dan memperluaskannya ke Pulau Pinang dan Kuantan dengan peruntukan keseluruhan RM300 juta.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata inisiatif ini membolehkan pengguna menikmati perkhidmatan bas dan rel kendalian Kumpulan Prasarana Malaysia (PRASARANA) dengan harga RM30 sebulan.

Bermula tahun depan juga, pas perjalanan bulanan tanpa had dengan harga RM5 bakal diperkenalkan kepada pelajar Tahun 1 hingga Tingkatan 6 serta golongan OKU.

16. Skim Pinjaman Komputer Riba (BSN MyRinggit-i COMSIS)

Kerajaan dengan kerjasama Bank Simpanan Nasional (BSN) akan menyediakan RM100 juta bagi pembiayaan Skim BSN MyRinggit-i COMSIS iaitu skim pinjaman komputer riba.

Ia bagi memastikan pelajar IPT yang mendapat pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dapat mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

17. KPT-PACE: Baucar RM3000 Untuk Graduan Mengikuti Kursus Sijil Profesional

RM150 juta bagi program KPT-PACE, iaitu graduan baharu ditawarkan baucar RM3,000.00 seorang untuk mengikuti kursus sijil profesional. Program ini dijangka akan memberikan manfaat kepada 50,000 graduan.

18. Penjana Kerjaya

Kerajaan akan meneruskan inisiatif pengambilan pekerja di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang dikenali sebagai Penjana Kerjaya dengan beberapa penambaikan yang dijangka dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada 250,000 pencari kerja.

  1. Insentif untuk pekerja bergaji RM1,500 ke atas akan dinaikkan daripada kadar rata RM800 sebulan kepada 40% daripada gaji bulanan terhad kepada insentif maksimum RM4,000 sebulan selama 6 bulan.
  2. Insentif tambahan sebanyak 20% menjadikan keseluruhan insentif majikan berjumlah 60% selama 6 bulan.
  3. Sektor dengan kebergantungan tinggi kepada pekerja asing seperti pembinaan dan perladangan, insentif khas sebanyak 60% daripada gaji bulanan dengan 40% disalurkan terus kepada majikan dan 20% kepada pekerja tempatan yang menggantikan pekerja asing selama 6 bulan.
  4. Kos maksimum program latihan yang layak dituntut majikan dinaikkan daripada RM4,000 kepada RM7,000 bagi menjalani program kemahiran tinggi atau sijil profesional.

18. Vaksin Pneumokokal Percuma Untuk Kanak-kanak

Program imunisasi pneumokokal untuk kanak-kanak dengan peruntukan RM90 juta yang dijangka memanfaatkan 500,000 kanak-kanak.

Selain itu, sebanyak RM6 juta turut diperuntukkan untuk perolehan ubat biologik bagi pelbagai jenis penyakit rheumatologi seperti rheumatoid arthritis.

Kerajaan juga memperuntukkan RM25 juta bagi program rawatan Peritoneal Dialysis di rumah bertujuan meningkatkan kualiti rawatan pesakit buah pinggang serta mengurangkan masa menunggu dan kesesakan di hospital.

*Untuk makluman, inisiatif ini telah bermula. Sila rujuk : Suntikan Pneumokokal Percuma Mulai 1 Disember Untuk Bayi Yang Lahir Dari 1 Januari 2020

Maklumat Lanjut

Demikianlah serba sedikit Ringkasan Belanjawan 2021 yang dibentangkan semalam.

Jika ingin mengetahui lebih lanjut, sila rujuk RINGKASAN BELANJAWAN 2021.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: