Senarai Permainan Tradisional Yang Anda Mesti Cuba!
Permainan Tradisional Yang Anda Mesti Cuba | Jika anda perhatikan, permainan tradisional semakin hari semakin kurang dimainkan lebih-lebih lagi setelah kewujudan gadjet.
Bahkan, mungkin ramai yang sudah lupa dan tidak mengetahui jenis-jenis permainan tradisional yang dahulunya seringkali menjadi permainan untuk mengisi masa lapang.
Sehubungan dengan itu, berikut dikongsikan 10 contoh permainan tradisional yang anda boleh cuba. Percayalah, ia pasti menyeronokkan!
BACA JUGA: Makanan Tradisional Malaysia Yang Wajib Anda Tahu
10 Contoh Permainan Tradisional
1. Congkak
Permainan congkak memerlukan dua orang pemain, papan congkak dan beberapa buah congkak yang terdiri daripada batu atau guli.
Buah ini akan dipindahkan satu per satu ke dalam lubang yang dilalui oleh pemain. Pemenang akan dikira mengikut jumlah buah yang terkumpul pada akhir permainan.
Bermain congkak bukan sekadar menyeronokkan tetapi ia juga mempunyai pelbagai manfaat untuk kanak-kanak terutamanya, contohnya seperti melatih kemahiran motor halus, melatih fokus, membantu meningkatkan kemahiran pengiraan dan sebagainya.
Jadi, jangan lupa ajar anak-anak anda bermain congkak untuk mengisi masa lapang mereka. Anda pun boleh bermain sekali dengan mereka.
2. Ting-Ting
Ting-ting adalah merupakan salah satu permainan tradisional yang sangat digemari oleh kanak-kanak.
Sehingga kini pun, masih ramai kanak-kanak yang masih suka bermain permainan ini.
Permainan ini boleh dimainkan bersama beberapa orang. Biasanya, petak ting-ting akan dilukis menggunakan batu di atas tanah ataupun kapur sekiranya bermain di atas simen.
Pemenang ditentukan berdasarkan siapa yang pertama berjaya menghabiskan semua kotak dan melompat tanpa terjatuh atau terpijak garisan yang dibuat.
3. Gasing
Gasing juga merupakan salah satu permainan tradisional yang sangat terkenal terutamanya dalam kalangan lelaki.
Terdapat pelbagai versi gasing yang anda boleh dapati mengikut peredaran zaman. Secara umumnya, ia berbentuk bujur yang dimainkan bersama tali.
Cara untuk memenangi pertandingan permainan gasing ini adalah dengan mencapai tempoh yang paling lama untuk gasing berputar.
4. Batu Seremban
Batu seremban adalah salah satu permainan tradisional yang menjadi kegemaran dalam kalangan kanak-kanak perempuan mahupun dewasa.
Untuk bermain permainan ini ada hanya perlukan batu/guli sebanyak 5 biji dan kawasan lapang untuk duduk.
Anda juga boleh dapatkan biji batu seremban yang diperbuat daripada kain melalui Shopee.
Ia tidak memerlukan banyak tenaga dan sangat sesuai dimainkan secara santai bersama rakan-rakan atau keluarga.
Pemenang akan dikira bilamana mereka dapat mengumpul sekaligus lima biji batu tanpa terlepas.
5. Konda Kondi
Untuk bermain permainan konda kondi ini, anda perlu menggunakan sebatang kayu panjang dan kayu pendek, ataupun kita panggil kayu ibu dan kayu anak.
Kemudian, gali lubang kecil untuk meletakkan kayu tersebut.
Kayu ibu digunakan untuk menyungkit kayu anak dan seseorang perlu berlari untuk mengejar kayu yang dibaling dan menangkap kayu tersebut.
6. Wau
Wau merupakan permainan tradisional yang mempunyai keunikannya tersendiri. Setiap wau yang dibuat mempunyai corak dan maksud tertentu.
Seperti layang-layang, biasanya wau akan diterbangkan di kawasan lapang contohnya di tepi pantai yang berangin.
Pada zaman dulu, wau digunakan oleh nelayan sebagai pemantau cuaca sebelum berlayar.
7. Galah Panjang
Permainan galah panjang ini sangat menyeronokkan kerana boleh dimainkan beramai-ramai. Semakin ramai, semakin meriah!
Setiap ahli kumpulan perlu berlari laju dan berhenti dengan pantas ketika melepasi petak yang diawasi oleh pihak lawan.
Aktiviti ini secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi hubungan di antara rakan-rakan sepermainan.
BACA JUGA: Contoh Permainan Dalam Kelas Yang Mudah & Seronok
8. Main Guli
Pada zaman dahulu, permainan ini biasanya dimainkan pada waktu petang bersama rakan-rakan yang lain. Namun, kini ia sudah agak jarang dimainkan.
Terdapat pelbagai versi permainan ini, walaubagaimanapun secara umumnya, pemenang akan dikira berdasarkan jumlah kutipan guli yang diperoleh.
9. Lompat Getah
Permainan ini memang sangat menyeronokkan dan boleh dimainkan pada bila-bila masa asalkan anda mempunyai getah yang boleh digunakan.
Biasanya, tali yang digunakan dihasilkan daripada getah-getah yang disambungkan. Semakin panjang tali getah yang dihasilkan semakin mudah ia digunakan untuk bermain.
10. Tarik Tali
Tarik tali adalah salah satu permainan tradisional yang masih popular hingga kini. Ia boleh dimainkan oleh semua peringkat umur.
Untuk bermain permainan ini, dua kumpulan yang terdiri daripada beberapa orang diperlukan.
Strategi diperlukan untuk memastikan kumpulan anda menang. Kumpulan yang berjaya menarik kumpulan lawan ke kawasan yang ditandai akan menang.
Kesimpulan
Sebenarnya terdapat pelbagai jenis permainan tradisional lagi yang anda boleh cuba sekiranya berpeluang.
Apa-pun, semoga artikel ini memberi semangat kepada anda untuk mencuba bermain permainan tradisional semasa waktu lapang dan memperkenalkannya kepada generasi muda kini.