Contoh Permainan Dalam Kelas Yang Mudah & Seronok

Contoh Permainan Dalam Kelas ~ Sesi pembelajaran yang berterusan di dalam kelas adakalanya menyebabkan para pelajar merasa bosan dan tidak bersemangat untuk meneruskan pembelajaran. 

Sebagai seorang guru, anda memainkan peranan yang signifikan untuk memastikan para pelajar boleh memberi tumpuan sepenuhnya serta bersemangat untuk belajar di dalam kelas setiap hari. 

Sehubungan dengan itu, berikut kami kongsikan senarai dan contoh permainan dalam kelas yang boleh dilakukan bersama-sama pelajar untuk menggalakan para pelajar seronok belajar. 

BACA JUGA: UPKK 2023: Tarikh & Jadual Ujian Penilaian Kelas KAFA

Contoh Permainan Dalam Kelas

Sumber gambar : https://www.istockphoto.com/

1. Menarik Mengikut Lagu

Apabila suasana kelas menjadi semakin suram dan pelajar kelihatan mengantuk, anda boleh ajak mereka untuk menari mengikut lagu. Bukan menari yang berjoget sakan tu tau. 

Arahkan pelajar untuk berdiri dan pilih lagu popular yang sering digunakan semasa sesi orientasi atau aktiviti di sekolah. Contohnya seperti lagu ‘chicken dance’, ‘baby shark’, ‘head & shoulder’ dan sebagainya. 

Kemudian, bergeraklah mengikut rentak lagu dengan pergerakan yang sudah pasti dihafal oleh semua pelajar. Buat dua tiga kali, pasti mengantuk mereka akan hilang!

2. Kuiz Tergempar

Sebut sahaja kuiz, pasti anak mata pelajar-pelajar anda akan terbeliak. Manfaatkan teknologi pada kini untuk mengadakan kuiz. Anda boleh guna aplikasi kuiz seperti ‘kahoot’ untuk menjadikan kuiz tersebut lebih menarik. 

Sekiranya mempunyai kekangan, kuiz dengan sesi soal jawab biasa pun pasti menyeronokkan sekaligus membuatkan pelajar anda lebih fokus dalam kelas. Sesiapa yang tidak dapat berikan jawapan yang betul, bolehlah dikenakan hukuman!

3. Ikuti Arahan Guru

Guru katakan sesuatu sambil menggayakannya kemudian diikuti oleh para pelajar. Contohnya seperti, “pegang dahi/dagu/hidung/mulut”, “angkat tangan kanan/kiri”, “berdiri/duduk”. 

Lakukan dengan laju serta buat gaya yang salah (anda katakan “berdiri” tapi anda buat gaya duduk) untuk mengelirukan lagi para pelajar. Selain menimbulkan keseronokan, permainan ini juga melatih fokus pelajar untuk mendengar arahan yang diberikan dengan baik. 

4. Pembaca Berita

Bahagikan pelajar kepada beberapa kumpulan dengan ahli sekurang-kurangnya tiga orang. Kemudian, berikan satu tajuk untuk ‘diberitakan’ oleh mereka. Setiap seorang pelajar hanya boleh menyebut satu perkataan sahaja. 

Permainan ini boleh dilakukan dalam bahasa Melayu ataupun English. Melalui permainan ini, para pelajar dapat mengasah kemahiran berfikir serta kreativiti mereka dalam membina ayat atau menyambung ayat ahli kumpulan mereka. 

5. Kotak Beracun

Sediakan satu kotak dan isi dengan bermacam-macam soalan di dalam kotak tersebut. Kotak ini akan di’pass’ oleh pelajar-pelajar sambil diiringi oleh muzik. Pelajar yang memegang kotak semasa muzik berhenti, perlu membuka kotak dan menjawab soalan. 

Guru boleh menyediakan soalan secara rawak atau berdasarkan topik yang pernah diajarkan sebelum ini. Secara tidak langsung, bolehlah para pelajar mengingat semula pelajaran yang lepas. 

6. Jawab Teka-Teki

Guru berikan beberapa teka-teki dan minta para pelajar menjawabnya. Pelajar yang berjaya menjawabnya dengan betul akan diberikan hadiah. Pasti pelajar-pelajar anda berebut untuk memberikan jawapan. Apatah lagi sekiranya hadiah yang diberikan menarik perhatian mereka!

BACA JUGA: 35 Teka-Teki Lawak & Menarik Beserta Jawapannya!

Kesimpulan 

Dengan adanya sedikit selingan semasa sesi pembelajaran, ia dapat membantu para pelajar kekal fokus dan seronok belajar di dalam kelas. Bukan itu sahaja, ia juga dapat menerapkan nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar. 

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: