Pengumuman Tarikh Hari Raya Aidilfitri 2023 – JAKIM
Pengumuman tarikh Hari Raya Aidilfitri 2023 secara rasmi sangatlah ditunggu-tunggu bagi membolehkan persiapan dilakukan dengan sebaiknya untuk menyambut hari istimewa tersebut.
Hari Raya Aidilfitri adalah merupakan sambutan yang dinantikan terutamanya buat umat Islam setelah berpuasa di bulan Ramadhan.
BACA JUGA: Bantuan Khas Aidilfitri 2023 Untuk Penjawat Awam & Pesara
Pengumuman Tarikh Hari Raya Aidilfitri 2023
Untuk pengetahuan anda, pengumuman rasmi tarikh Hari Raya Aidilfitri 1444 H / 2023 M akan dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja selaku pihak berkuasa yang diamanahkan oleh Majlis Raja-Raja setelah membuat cerapan hilal seperti tahun-tahun sebelum ini.
Penetapan tarikh tersebut adalah tertakluk kepada hasil aktiviti cerapan anak bulan di 29 lokasi seluruh negara.
Setakat ini belum ada lagi pengumuman tarikh Hari Raya Aidilfitri 2023 secara rasmi yang dikeluarkan.
Namun, tarikh melihat anak bulan telah ditetapkan seperti biasa iaitu pada 29 Syawal, bersamaan 20 April 2023.
Untuk menjawab isu berkenaan tarikh pengumuman Hari Raya 2023, anda boleh rujuk kenyataan JAKIM di bawah.
KENYATAAN MEDIA JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA BERKENAAN PENGUMUMAN TARIKH HARI RAYA AIDILFITRI 2023
1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengambil maklum tentang penularan satu tangkap layar yang memaparkan “Pemberitahuan Akhir Ramadan 1444 H 20 April 2023” yang dipercayai disiarkan menerusi sebuah paparan iklan di sebuah masjid. Paparan tersebut telah menimbulkan spekulasi dalam kalangan warga maya mengenai tarikh Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
2. JAKIM ingin memaklumkan, bahawa pengisytiharan tarikh 1 Syawal pada setiap tahun bagi negara Malaysia adalah dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja melalui media utama sejurus menerima laporan hasil cerapan anak bulan yang dibuat di 29 lokasi cerapan rasmi setelah mendapat perkenan SPB Yang Di-Pertuan Agong yang mewakili Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.
3. Cerapan Hilal Syawal bagi tahun ini (1444H) adalah pada petang hari Khamis, 29 Ramadan 1444H bersamaan 20 April 2023. Semua pihak disaran membuat semakan ketepatan tarikh hijri yang terdapat pada jam digital azan khususnya di masjid dan surau agar sentiasa selari dengan kalendar hijri yang dikeluarkan oleh JAKIM atau pihak berkuasa agama negeri dan disahkan oleh Panel Pakar Falak.
4. Semua pihak adalah dimohon untuk menghormati ketetapan yang dibuat oleh Majlis Raja-Raja mengenai perkara ini dan tidak membuat sebarang andaian mengenai tarikh Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.
Sekian terima kasih.
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (31 Mac 2023)
Tarikh Cerapan Hilal Syawal 2023
Seperti yang dinyatakan dalam kenyataan JAKIM di atas, tarikh cerapan hilal Syawal bagi tahun ini (1444H) adalah pada petang hari Khamis, 29 Ramadan 1444H bersamaan 20 April 2023.
Sekiranya anak bulan tidak kelihatan pada hari tersebut, maka puasa akan digenapkan hingga 30 Ramadan sekaligus 1 Syawal, iaitu Hari Raya Aidilfitri 2023 dijangkakan jatuh pada 22 April 2023 (Sabtu). Namun, ia hanya jangkaan.
Perubahan tarikh adalah bergantung pada hasil cerapan hilal Syawal 20 April kelak.
BACA JUGA: Takbir Raya Aidilfitri Beserta Maksud (Teks Bacaan Dalam Arab & Rumi)
Maksud Cerapan Hilal & Penentuan Masuk Bulan Syawal
Bulan adalah satelit semula jadi bumi, peredaran bulan mengelilingi bumi menyebabkan bulan berubah-ubah fasa. Apabila sampai pada satu masa, bulan akan berada di antara matahari dan bumi. Ini lah waktu yang dinamakan sebagai Ijtimak.
Ketika dalam posisi ini, bulan tidak akan kelihatan. Hal ini kerana bahagian yang tak terdedah kepada matahari yang menghadap bumi.
Apabila bulan bergerak, sedikit permukaan bulan akan memantulkan cahaya matahari ke bumi berbentuk seperti lengkungan yang sangat halus, dan ini lah yang dinamakan sebagai hilal. Permulaan bulan baru bagi setiap bulan dalam kalender Hijrah akan ditentukan mengikut penampakan hilal.
Apabila nampak sahaja hilal (anak bulan) pada hari ke 29 di dalam kalender Hijrah, secara automatik keesokkan harinya adalah bulan baru. Namun, ia berdasarkan beberapa kriteria yang perlu dipenuhi dahulu.
Sumber: JAKIM