Makanan Tradisional Malaysia Yang Wajib Anda Tahu

Makanan Tradisional Malaysia Yang Wajib Anda Tahu | Seperti yang kita tahu, Malaysia terdiri daripada berbilang kaum yang mempunyai keunikan tersendiri. Tidak hairanlah terdapat pelbagai jenis makanan tradisional setiap kaum yang boleh dinikmati bersama. 

Berikut dikongsikan beberapa jenis makanan tradisional malaysia yang wajib anda tahu.

Contoh Makanan Tradisional Malaysia

1. Cendol

Makanan Tradisional Malaysia

Cendol adalah salah satu pencuci mulut yang popular dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya kaum Melayu. 

Ia biasanya boleh didapati pada bulan Ramadhan. Namun kini, anda boleh dapatkannya dengan mudah di mana-mana kedai makan.

Cendol diperbuat daripada santan kelapa, jeli berwarna hijau yang diperbuat daripada tepung beras, gula melaka serta ais batu yang dikisar. 

Ia juga biasanya dihidangkan dengan durian, atau apa-apa jenis buah seperti jagung, nangka serta pulut atau kacang merah. 

BACA JUGA: Lato-lato, Permainan Tradisional Kembali Viral – Perlu Diharamkan?

2. Nasi Lemak

Makanan Tradisional Malaysia

Nasi lemak adalah makanan kegemaran semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum. Ia biasanya dihidangkan pada waktu pagi sebagai sarapan pagi. 

Juadah kebangaan rakyat Malaysia ini diperbuat daripada beras yang dimasak dengan santan kelapa dan dihidangkan dengan telur rebus, sambal ikan bilis, kacang, timun dan sebagainya. 

Pada masa kini, terdapat juga penjual yang menyajikannya dengan lauk pauk lain seperti sambal sotong, sambal kerang, telur goreng, ayam goreng, rendang dan sebagainya.

Walaupun telah diubahsuai mengikut selera dan kreativiti penjual namun ia masih mengekalkan elemen asasnya. 

3. Roti Canai

Makanan Tradisional Malaysia

Roti canai juga salah satu makanan tradisional Malaysia yang popular. Makanan ini boleh didapati di kebanyakan restoran mamak dan restoran Melayu di Malaysia. 

Roti canai adalah hidangan sarapan pagi yang sempurna bersama teh tarik ataupun minuman panas. Untuk melengkapkan lagi hidangan ini, ia biasanya disajikan bersama kuah dhal, kuah kari atau sambal tumis. 

4. Lemang

Makanan Tradisional Malaysia

Lemang adalah makanan wajib ada pada hari perayaan Aidilfitri. Makanan tradisional kaum Melayu ini sangat popular bukan sahaja dalam kalangan kaum Melayu malah turut diminati oleh kaum-kaum lain. 

Ia diperbuat daripada beras pulut, santan dan juga perasa. Uniknya, lemang dimasak menggunakan buluh di atas api perlahan yang dihidupkan menggunakan kayu api. 

Aktiviti memasak lemang adalah salah satu aktiviti yang ditunggu-tunggu apabila pulang ke kampung semasa Hari Raya. 

5. Rendang

Makanan Tradisional Malaysia

Masakan rendang juga merupakan salah satu makanan tradisional Malaysia yang cukup terkenal dan disukai ramai. 

Terdapat beberapa jenis rendang yang anda boleh dapati dengan mudah di Malaysia contohnya seperti, rendang ayam, rendang daging, rendang kerang, rendang paru, rendang siput, rendang pucuk-pucuk kayu dan sebagainya.

Rendang biasanya dihidangkan bersama lemang atau ketupat semasa Hari Raya. Memang surr!

6. Dodol

Makanan Tradisional Malaysia

Walaupun mengambil masa yang agak panjang untuk disiapkan, dodol tetap menjadi pilihan makanan tradisional Malaysia yang digemari. 

Terdapat pelbagai variasi dodol yang anda boleh dapati mengikut negeri atau selera pembuatnya contohnya seperti dodol durian, dodol susu dan sebagainya. 

Selain disediakan pada musim perayaan, dodol juga amat popular sebagai produk jualan dan cenderahati makanan di kawasan tumpuan pelancong.

7. Botok-botok

Botok- botok adalah sejenis makanan tradisi orang Johor. Ia diperbuat daripada beberapa potong ikan yang diselaputi dengan pelbagai rempah ratus dan dibungkus menggunakan daun pisang. 

Ikan yang selalu digunakan untuk masakan ini ialah ikan tenggiri atau ikan merah. Rempahnya yang istimewa khabarnya terdiri dari berbagai herba termasuk beberapa jenis daun pokok bunga puding.

8. Ketupat

Makanan Tradisional Malaysia

Selain lemang, ketupat juga salah satu makanan tradisional Malaysia yang wajib ada pada hari perayaan terutamanya kaum Melayu. Ketupat biasanya disajikan dengan rendang atau lauk-pauk yang lain. 

Terdapat beberapa jenis ketupat mengikut negeri yang anda boleh dapati di Malaysia contohnya seperti ketupat palas, ketupat nasi, ketupat pulut, ketupat pandan dan sebagainya. Ketupat segera pun sudah ada dijual.

9. Kuih Peneram

Makanan Tradisional Malaysia

Kuih Peneram atau Kuih Peniaram diperbuat daripada tepung beras, tepung gandum, gula pasir, gula melaka, minyak masak, garam dan air secukupnya. Ia berbentuk bulat seperti donat tetapi mempunyai warna coklat tua. Jangan keliru dengan donut pula.

Kuih ini terkenal dalam kalangan orang pantai timur Semenanjung Malaysia. Ia sangat sesuai dijadikan sebagai hidangan petang. 

10. Laksa

Makanan Tradisional Malaysia

Terdapat beberapa variasi laksa yang popular di Malaysia mengikut negeri. Namun secara amnya, laksa diperbuat daripada isi ikan, mee beras serta beberapa bahan lain seperti i hirisan timun, bawang, cili, nenas, daun salad, daun kesum dan juga bunga kantan.

Kesimpulan

Terdapat banyak lagi makanan tradisional Malaysia yang anda wajib tahu lebih-lebih lagi sebagai anak kelahiran Malaysia. Jadi, sekiranya berpeluang, pastikan anda mencuba makanan tradisi yang belum anda pernah cuba.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: