Lato-lato, Permainan Tradisional Kembali Viral – Perlu Diharamkan?

Apa itu lato-lato?

Permainan lato-lato adalah merupakan salah satu permainan tradisional yang kembali tular pada masa kini.

Lato-lato mempunyai dua bola pemberat yang diikat pada tali untuk diseimbangkan dan dimainkan dengan melantunkan dua bola pemberat tersebut. Lagi laju ia dihayun dan bola terlantun, lagi hebat seseorang itu dianggap.

Permainan ini berjaya menarik minat kanak-kanak dan juga orang dewasa. Bahkan, di negara jiran, ada pelbagai jenis pertandingan di anjurkan bagi meraikan peminat mainan viral ini.

lato-lato

Pada mulanya, permainan lato-lato ini mula tular di Indonesia sebelum ‘merebak’ ke Malaysia. Terdapat beberapa nama lain lato-lato yang turut dikenali, antaranya ialah tek-tek, tok-tok, kato-kato, clackers dan sebagainya. 

Lato-lato, Diharamkan di Malaysia?

Dengan tularnya permainan ini, kanak-kanak termasuk pelajar sekolah gemar memainkannya tidak kira sama ada di rumah mahupun di sekolah. Perkara ini menimbulkan beberapa kerisauan ibu bapa dan juga para guru. 

Menurut beberapa sumber artikel, Kementerian Pendidikan telah digesa untuk mengharamkan permainan lato-lato di sekolah. Salah satu sebab utamanya adalah, mainan ini dapat mengakibatkan kecederaan yang serius terutamanya di bahagian wajah. 

Apabila terlalu asyik bermain, para pelajar tidak  mengutamakan keselamatan diri masing-masing. Bola pemberat mainan ini boleh menyebabkan kecederaan pada wajah pemain ataupun orang sekeliling sekiranya terkena. 

Selain itu, bunyi yang dihasilkan juga sangat mengganggu pembelajaran di sekolah. Permainan ini bukanlah sesuatu perkara yang haram untuk dimainkan namun, para pelajar perlu mengetahui had dan batasan ketika bermain contohnya,  tidak bermain di kawasan sekolah. 

Di Amerika Syarikat, permainan yang popular pada tahun 1960an dan 1970an ini telah diharamkan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan AS kerana risiko kecederaan kepada kanak-kanak.

lato-lato
*gambar sebagai rujukan sahaja

Kanak-kanak Tercedera Bermain Lato-lato

Baru-baru ini, seorang doktor telah membuat posting di media sosial beliau (Facebook Kamarul Ariffin Nor Sadan) mengenai seorang budak lelaki yang memerlukan rawatan akibat kecederaan hidung selepas terkena mainan itu.

Dalam catatan itu, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan menggesa ibu bapa memantau anak mereka dan mendidik mereka tentang keselamatan ketika bermain dengan mainan itu.

“Sebab minggu ni dah ada satu kes datang ke klinik saya sebab kecederaan akibat main lato-lato. Seorang kanak-kanak telah bengkak dan lebam teruk di batang hidungnya terkena pemberat lato-lato,” 

“Maka, jika silap hayun, ada risiko ladung tak bertembung sesama sendiri, lalu terkena anggota tubuh. Ada lato-lato yang ladungnya tu agak berat, jadi jika kena muka agak berbahaya. Terutamanya jika melibatkan mata, gigi atau hidung,”

Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan

Beliau turut berkongsi tips bermain agar keselamatan lebih terjamin seperti dibawah. 

Tidak salah untuk main lato-lato. Ia boleh meningkatkan koordinasi tangan.  Cuma, perlulah berhati-hati semasa bermain. Ibubapa perlu pastikan anak bermain cara yang selamat. Jika boleh pesan agar:

1. Tidak menghayun lato-lato separas atau berhampiran muka. Hayun rendah atau jauh ke hadapan sedikit.

2. Tidak bermain terlalu dekat dengan orang lain, atau di tempat orang lalu lalang. Bimbang terkena orang.

3. Tidak menghayun atau mencampak lato-lato ke arah orang lain. Kena tegah dengan tegas hal ini.

4. Berhati-hati dengan tali lato-lato. Memandangkan ia dililit pada jari, maka jangan sampai terjerut pula.

Sepertimana yoyo, gasing, kendama atau apa-apa permainan yang mempunyai pemberat yang dihayun, lato-lato mempunyai potensi menyebabkan kecederaan. Maka ibu bapa perlu memantau anak-anak bila bermain.

Akhir kata, semoga ibu bapa menjadi lebih cakna dan sentiasa memantau anak-anak mereka apabila mereka bermain dengan mainan tersebut bagi mengelakkan sebarang kemudaratan yang teruk. 

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: