Ngeri, Ini Rakaman Akhir Sebelum Pesawat Terhempas
NAHAS YETI AIRLINES | Nahas Terburuk Di Nepal Dalam Tempoh 30 Tahun
Dua kotak hitam milik pesawat Yeti Airlines ANC ATR 72 dan satu lagi mayat ditemukan di lokasi nahas pada Isnin, menjadikan angka kematian terkini kepada 69 orang, lapor Xinhua.
“Satu lagi mayat mangsa ditemukan sekitar jam 15:00 waktu tempatan di Sungai Seti,” kata penolong ketua pegawai daerah Kaski, Guru Datta Dhakal.
Pegawai kanan di Kementerian Dalam Negeri Fanindra Mani Pokharel, memberitahu bahawa pesawat penumpang yang dikendalikan Yeti Airlines terhempas berhampiran Pokhara, sebuah destinasi pelancongan popular yang terletak 200 kilometer dari barat Kathmandu.
Jurucakap Polis Nepal Tek Prasad Rai memaklumkan, anggota polis dan tentera dikerah ke lokasi nahas.
Perdana Menteri Nepal Pushpa Kamal Dahal melahirkan rasa sedih atas “kemalangan tragis Yeti Airlines ANC ATR 72 yang dalam perjalanan dari Kathmandu ke Pokhara.”
“Saya dengan tulus merayu kepada anggota keselamatan, semua agensi kerajaan Nepal, dan orang awam untuk memulakan penyelamatan yang berkesan,” menurut ciapannya di Twitter.
Kedutaan India di Kathmandu pada Ahad mendedahkan maklumat yang diberikan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Nepal bahawa lima warga India menaiki penerbangan itu.
“Kedutaan sedang berhubung dengan pihak berkuasa tempatan dan sedang memantau keadaan,” menurut misi itu.
Kotak hitam pesawat Yeti Airlines berjaya ditemui pasukan mencari dan menyelamat dalam operasi dijalankan masuk hari kedua di Pokhara, Nepal.
Setakat ini, 26 mayat telah berjaya dikenal pasti.
Perakam data penerbangan dan perakam suara kokpit pesawat ditemui beberapa jam lebih awal.
Rakaman Akhir Sebelum Pesawat Terhempas Di Nepal
Sementara itu beberapa buah video oleh orang awam, termasuk sebuah rakaman LIVE oleh penumpang pesawat tersebut menjadi tular di media sosial apabila ia sempat merakamkan detik-detik ngeri sebelum pesawat terhempas.
Sebuah lagi rakaman LIVE oleh salah seorang penumpang, Sonu Jaiswal, sempat berkongsi rakamannya di media sosial dari pesawat hanya beberapa saat sebelum nahas.
Menurut laporan oleh BBC , Sonu adalah selah seorang daripada sekumpulan empat rakan dari Ghazipur di India yang melawat Nepal, dan dalam penerbangan dari Kathmandu ke Pokhara.
Dalam rakaman itu, persekitaran lapangan terbang Pokhara kelihatan dari pesawat yang sepatutnya hampir mendarat, sebelum tragedi yang tidak disangka berlaku.
Para penumpang kelihatan berada dalam keadaan tenang, bahkan Sonu Jaiswal sempat mengarahkan kamera ke wajahnya dalam keterujaan untuk tiba di destinasi.
Namun pada detik ke 58 tiba-tiba terjadi goncangan dan membuat panik penumpang.
Kemudian terjadi ledakan dan pesawat jatuh, lalu muncul api besar dan siaran LIVE itu berlanjutan beberapa saat sebelum siaran itu terhenti.