Cara Mohon Penangguhan Bayaran Balik PTPTN Covid19 (Jan-Mac 2021)
Moratorium / Penangguhan Bayaran Balik PTPTN 2021 (COVID-19):
Seperti yang telah dimaklumkan, semua peminjam telah diberi penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN mulai 19 Mac 2020 sehingga 31 Disember 2020 semasa negara dilanda pandemik Covid-19.
Memandangkan terdapat peminjam PTPTN yang masih terkesan dengan pandemik Covid-19 ini untuk membuat bayaran balik pinjaman pada tahun 2021, Kerajaan telah bersetuju untuk memberikan pelanjutan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN selama tiga (3) bulan kepada peminjam yang layak.
Syarat Kelayakan Penangguhan Bayaran Balik PTPTN COVID-19 2021
Kategori Peminjam PTPTN yang layak adalah seperti berikut :
- Peminjam yang kehilangan pendapatan iaitu diberhentikan pekerjaan dalam tempoh pandemik Covid-19; dan
- Peminjam yang terjejas pendapatan iaitu pendapatan berkurang dalam tempoh pandemik Covid-19.
Cara Permohonan
Peminjam PTPTN yang terkesan boleh mengemukakan permohonan melalui portal rasmi PTPTN mulai 5 Januari 2021 sehingga 31 Mac 2021.
Berikut adalah langkah membuat permohonan penangguhan PTPTN 2021:
- Peminjam yang layak perlu membuat permohonan dan pengesahan kendiri (self-declaration) secara dalam talian di Portal Rasmi PTPTN (www.ptptn.gov.my/PelanjutanBayaranBalikCovid19).
- Peminjam dikehendaki mengisi maklumat perhubungan, maklumat pekerjaan serta membuat akuan kebenaran ke atas semua maklumat yang diberikan.
- Tiada sebarang dokumen diperlukan.
- PTPTN akan memaklumkan status permohonan melalui e-mel yang dikemas kini semasa membuat permohonan dalam tempoh 3 hari bekerja selepas permohonan peminjam diterima.
NOTA: Rekod CCRIS peminjam adalah kekal seperti sebelum penangguhan dilaksanakan. Walau bagaimanapun, sekiranya peminjam membuat pembayaran balik, rekod akan dikemas kini berdasarkan bayaran yang dibuat.
Baca juga: SOP PKPB / PKPP Terkini (Kemaskini 1 Januari 2021)
Tempoh Penangguhan PTPTN 2021
Tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman bermula dari bulan permohonan pelanjutan diluluskan.
Pelanjutan penangguhan bayaran balik COVID-19 adalah selama 3 bulan bermula pada bulan kelulusan pelanjutan diberikan seperti jadual di bawah.
Bulan Kelulusan (Bulan) | Tempoh Penangguhan (Bulan) |
---|---|
Januari | Januari hingga Mac |
Februari | Februari hingga April |
Mac | Mac hingga Mei |
NOTA:
- Tiada pemulangan (refund) akan dibuat ke atas bayaran balik yang telah diterima sebelum kelulusan pelanjutan penangguhan.
- Contoh: Peminjam telah membuat bayaran balik pada bulan 15 Februari 2021 dan memohon pelanjutan penangguhan bayaran balik pada 20 Februari 2021. Bayaran balik yang diterima pada bulan 15 Februari 2021 tidak akan dipulangkan.
Baca juga: Cara Permohonan i-Sinar Kategori 2 (Dibuka Mulai 11 Januari 2021)
Penstrukturan / Penjadualan Semula
Peminjam yang diluluskan penstrukturan semula/ penjadualan semula/ penggabungan di dalam tempoh pelanjutan penangguhan bayaran balik COVID-19 adalah tidak layak menangguhkan bayaran balik dan hendaklah meneruskan bayaran sama ada melalui Potongan Gaji / Direct Debit.
Pelanjutan penangguhan yang telah diluluskan akan dibatalkan.
Contoh:
- Peminjam diluluskan pelanjutan penangguhan mulai Mac hingga Mei 2021.
- Sekiranya peminjam membuat rundingan bayaran balik seperti penstrukturan semula/ penjadualan semula dan penggabungan dalam tempoh pelanjutan penangguhan (Mac – Mei 2021), kelulusan pelanjutan penangguhan akan dibatalkan.
Maklumat Lanjut
Untuk maklumat lanjut berhubung permohonan penangguhan PTPTN 2021, sila rujuk saluran berikut:
- Pusat Panggilan (Careline) di talian 03 2193 3000.
- Live chat di Portal PTPTN (www.ptptn.gov.my)
- Mengemukakan pertanyaan di pautan https://bit.ly/eAduanPTPTN. Pegawai PTPTN akan memberi maklum balas dalam tempoh tujuh (7) hari bekerja.
- FAQ Penangguhan Bayaran Balik PTPTN COVID19