Permohonan Sebagai Pemerhati Pilihan Raya (PRU15) Dibuka
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) memaklumkan urusan permohonan sebagai pemerhati bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) mula dibuka hari ini dan ditutup pada 21 Oktober depan.
Setiausahanya, Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata, permohonan sebagai pemerhati yang mewakili organisasi adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan pihak SPR.
“Sila layari Portal SPR di alamat https://www.spr.gov.my/ untuk mendapatkan maklumat lanjut dan memuat turun borang permohonan.
“Pemerhati dibenarkan membuat pemerhatian bagi proses-proses pilihan raya seperti proses penamaan calon, berkempen, mengundi awal, proses mengundi dan pengiraan undi serta penjumlahan undi hingga pengisytiharan keputusan pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Katanya, SPR juga mengingatkan mereka yang berminat untuk menyertai program itu supaya mengemukakan permohonan sebelum tarikh tutup permohonan.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Keputusan itu diputuskan selepas Ismail Sabri menghadap Al-Sultan Abdullah kelmarin, bagi menyembah warkah permintaan mengenai pembubaran berkenaan.
“Selaras dengan Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda telah bertindak menurut budi bicara dengan memperkenankan permintaan saya supaya Parlimen Ke-14 dibubarkan pada hari ini, Isnin 10 Oktober 2022,” katanya.
Untuk maklumat lanjut, sila rujuk kenyataan penuh di bawah:
Anda juga boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang proses pengundian dan info berkaitan dengan pilihanraya melalui pautan berikut: http://votereducation.spr.gov.my/anda-tanya-kami-jawab/
Baca juga: