Tips & Nasihat Oleh Allahyarham Sudirman Kepada Peminat Lepasan SPM. Masih Relevan!
Semalam, 16 Jun telah diumumkan keputusan SPM bagi semua pelajar di seluruh Malaysia yang telah menduduki peperiksaan tersebut tahun lepas.
Tidak dinafikan, tahun ini para pelajar menghadapi pelbagai cabaran berbeza dengan sebelum ini akibat wabak pandemik yang melanda dunia.
Rata-rata media sosial dipenuhi dengan ucapan tahniah, kata-kata semangat dan juga nasihat serta tips untuk mereka yang bakal menempuh perjalanan baru di luar sana.
Terdapat banyak laluan pilihan untuk pelajar-pelajar lepasan SPM sehingga ada yang ‘rambang mata’ dan tidak tahu bagaimana untuk menentukan halatuju masing-masing.
Dalam pada itu, sebuah hantaran di media sosial menarik perhatian setelah berkongsikan hasil surat tulisan tangan oleh Allahyarham Sudirman Hj Arshad, penghibur lagenda negara pada suatu masa dahulu.
Tips yang pernah dikongsikan oleh Allahyarham Sudirman kepada salah seorang peminat lepasan SPM ketika itu, Mohd Azhar Md Isa, nampaknya masih relevan dengan tutur nasihat yang baik.
Surat Allahyarham Sudirman Untuk Peminat Lepasan SPM
Surat itu ditulis seperti berikut:
Assalamualaikum Adik Azhar,
Semoga Azhar sihat.
Abang ucapkan tahniah kerana lulus SPM Azhar. Tetapi perjalanan Azhar masih jauh. Azhar mesti bersikap lebih agresif lagi untuk masa-masa akan datang.
Ada orang bijak dengan teori dan dapat menjawab soalan peperiksaan dengan baik, ada orang mahir dengan bakar berbentuk fizikal (kerja tangan, mekanik, dan sebagainya).
Azhar tentu tahu keupayaan Azhar. Pelajaran atau ilmu boleh ditimba di mana-mana jua, tapi yang lebih penting ialah cara kita menggunakan ilmu tersebut untuk kemajuan diri.
Matlamatnya, semua orang mahu jadi kaya, atau senang. Tukang kayu, electrician, mekanik semua boleh jadi kata, kalau mereka tahu mengendalikan perniagaan mereka.
Begitu juga dengan Abang. Bisa jadi peguam, tapi Abang lebih senang menjadi penyanyu dan mahir di bidang ini. Esok-esok masih boleh jadi peguam.
Dalam dunia ini, kita akan berjaya kalau melakukan apa yang kita mahir dan pandai, dan berkebolehan membuatnya.
Selain itu, beliau turut menyarankan agar pelajar memilih laluan yang dapat menawarkan peluang yang lebih tinggi untuk melanjutkan pelajaran ke universiti.
Bahkan, turut melakarkan perbandingan tentang pilihan-pilihan yang tersedia pada ketika itu.
Netizen Kagum Dengan Nasihat Allahyarham Sudirman
Di ruangan komen, begitu ramai yang kagum dengan balasan surat peminat oleh Allahyarham yang menggambarkan kehalusan budi bicaranya di samping buah fikiran yang bernas.
Tulisan tangan Allahyarham yang cantik turut mendapat perhatian. Walaupun bergelar penghibur terkenal ketika itu, sikapnya yang rajin melayan peminat dipuji ramai.
Selain itu, ada juga yang mengimbas kembali pesanan dan lagu-lagu beliau yang sering diputar suatu masa dahulu.
Antara yang menarik perhatian, formula yang dikongsikan iaitu:
BUSFU
B = Baca
U = Ulang
S = Salin
F = Faham
U = Ulang
Tentu ramai lagi yang masih ingat dengan lagu ‘Pesan Abang’ yang sering didengarkan sambil mengulangkaji pelajaran dahulu.
Allahyarham menasihatkan supaya memilih ikut kecenderungan kita sama ada memilih akademik mahupun kemahiran berdasarkan keupayaan kita.
Beliau juga antara 44 orang siswazah Universiti Malaya yang lulus peperiksaan akhir Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dengan kepujian bagi tahun akademik 1979/1980.
Penghibur lagenda negara kelahiran Temerloh Pahang, ini mempunyai pelbagai kebolehan seperti sebagai seorang penyanyi, penghibur, penggubah lagu, peguam, penulis, pelukis kartun, usahawan dan pelakon.
Namun ajal menemuinya pada usia 37 tahun, iaitu pada tahun 1992 di mana beliau telah pergi meninggalkan kita selama-lamanya.
Mari kita doakan orang yang telah pergi terdahulu daripada kita ini.
Baca juga:
- Seakan Bell’s Palsy, Ini Dia Ramsay Hunt Syndrome, Penyakit Yang Dialami Justin Bieber
- Ranking Universiti Di Malaysia Terbaik Dunia 2022 – 2023
- Tambang Percuma MRT & LRT Selama Sebulan (16 Jun – 15 Julai 2022)
Latarbelakang Sudirman
Lahir pada 25 Mei 1954 di Temerloh, Pahang, Sudirman merupakan yang bongsu daripada 7 beradik. Namanya diberikan oleh bapanya sempena tokoh pejuang kemerdekaan Indonesia, Jeneral Soedirman.
Karier seninya bermula apabila menjuarai Bintang RTM 1976 ketika beliau menjadi penuntut di Universiti Malaya. Album pertamanya, “Aku Penghiburmu” terbit pada 1978 & beliau tamat pengajian 2 tahun kemudian.
Sudirman menjadi peguam untuk beberapa tahun, namun meninggalkan profesion itu untuk fokus kepada kerja seninya. Namanya meledak sebagai bintang utama era 80-an dengan deretan lagu hits bersama gaya persembahannya yang kreatif.
Beliau melakar sejarah pada malam 15 April 1986 apabila mengadakan konsert terbuka & percuma di Jalan Chow Kit yang disaksikan oleh lebih 100,000 penonton dari segenap lapisan masyarakat Malaysia khususnya di sekitar KL.
Beliau dinobatkan sebagai ‘Penghibur Nombor 1 Asia’ pada Salem Asian Music Awards di Royal Albert Hall, London pada 19 Mac 1989, mengatasi peserta lain antaranya legenda pop Hong Kong, Leslie Cheung & Anita Sarawak dari Singapura.
Di samping menyanyi, Sudirman juga seniman serba boleh apabila membintangi filem ‘Kami’ (1982) sebagai teraju utama. Beliau juga menerbitkan buku kanak-kanak & autobiografinya sendiri serta menjadi kolumnis & wartawan sambilan.
Sudirman turut menghasilkan komik lukisannya sendiri yang diterbitkan dalam majalah & akhbar tempatan. Beliau juga seorang usahawan, menghasilkan minuman ringan ‘SUDI’ serta membuka kedai menjual rangkaian cenderamata jenamanya sendiri.
Pada 17 Julai 1991, beliau dimasukkan ke Pusat Perubatan Tawakkal, KL selepas rebah ketika membuat persembahan di Butterworth, P. Pinang. Selepas 7 bulan menderita pneumonia, Sudirman menghembuskan nafas terakhir pada 4 pagi 22 Februari 1992 di usia 37 tahun.
Jenazahnya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Chengal, Temerloh. Walaupun hanya 16 tahun menyinari dunia seni tanah air, kehadirannya tiada galang ganti sehingga hari ini.
*Sumber: Arkib Negara Malaysia, NST, Utusan Malaysia via Astro Awani