Kes Buli Pelajar Asrama: Tumbuk Abdomen Bukan Perkara Main-main!
Hari ini media sosial dibanjiri dengan kecaman terhadap kes buli pelajar asrama dipercayai di sebuah sekolah di Perak.
Dalam video berdurasi 38 saat itu, dilihat seorang pelajar lelaki dikelilingi beberapa orang pelajar lelaki yang lain sedang mengepung dan menumbuk perut mangsa.
Perkara ini menimbulkan kekecohan dan kemarahan orang awam sehingga tular di Facebook dan Twitter.
Polis sudah membuka kertas siasatan berhubung kejadian buli membabitkan pelajar lelaki yang berlaku di sekolah berasrama di Perak.
Ketua Polis (KP) Perak, CP Dato’ Pahlawan Mior Faridalathrash Wahid berkata, polis mengesahkan kejadian itu berlaku di negeri ini dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
“Saya sahkan kejadian buli itu berlaku di negeri ini semalam dan kita baru sahaja menerima laporan mengenainya.
“Siasatan sudah dijalankan dan saya akan keluarkan kenyataan media nanti,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Bukan Institusi Bawah KPM
Sementara itu, Dr Radzi Jidin juga memaklumkan bahawa beliau telah menerima hantaran video yang tular berkenaan murid yang dipukul di sebuah asrama.
Berdasarkan siasatan awal, pihak KPM mendapati kejadian tersebut tidak melibatkan institusi bawah KPM.
Namun, KPM telah berhubung dengan pihak yang terlibat dan dimaklumkan bahawa tindakan susulan telah pun diambil.
Tiada Kompromi Salah Laku Pelajar MRSM
Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengambil maklum penularan beberapa klip video memaparkan kejadian buli melibatkan beberapa orang individu dipercayai merupakan pelajar sekolah asrama dan akan melakukan siasatan terperinci berhubung perkara itu.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihak MARA memandang serius isu tersebut dan akan melaksanakan siasatan terperinci terhadap video yang kini telah menjadi tular di laman media sosial.
“Saya telah mengarahkan pihak pengurusan MARA untuk menjalankan siasatan terperinci berkaitan kes berkenaan dan kita tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku buli seperti yang tular di media sosial hari ini.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap pelajar yang terlibat berdasarkan peruntukan dan peraturan sedia ada di peringkat pengurusan MARA, jika video yang tular adalah benar,” katanya menerusi satu kenyataan yang disiarkan di KOSMO hari ini.
Baca juga:
- Lelaki Kongsi Tips, Kos, & Cara Bawa Kereta Sendiri Masuk Ke Langkawi
- [VIDEO] Demi Konten, 4 Individu Persenda OKU Kini Dicari Polis
Tumbuk Abdomen Bukan Perkara Main-main!
Dalam sebuah hantaran, Medical Mythbusters Malaysia mengingatkan bahawa tindakan menumbuk kawasan abdomen bukan perkara main-main!
Ini kerana organ boleh rosak akibat “blunt trauma” seperti pukulan di bahagian abdomen.
Bahaya “blunt trauma” adalah kecederaan tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Tiada luka, tiada darah. Gejala hanya akan dilihat apabila SUDAH LEWAT!
Menurut hantaran itu lagi, kecederaan organ hati (liver), limpa (spleen) dan ginjal (kidney) boleh mengakibatkan kehilangan darah yang banyak.
Jangan main-main!
Tanda-tanda yang menunjukkan kecederaan pada abdomen tu teruk dan memerlukan rawatan segera:
- Permukaan abdomen menjadi keras dan sakit bila disentuh. Ia bermakna pendarahan organ dalaman telah berlaku.
- Kawasan lebam di abdomen yang besar.
- Bahagian dada juga kesakitan yang mungkin disebabkan patah tulang rusuk yang boleh menusuk ke organ seperti hati dan limpa.
- Berlakunya pendarahan melalui usus, saluran urin dan vagina untuk wanita.
- Mangsa berasa loya atau muntah-muntah.
Pendarahan organ dalaman boleh menyebabkan shock di mana ia adalah kecemasan: - Kadar denyutan nadi > 100 per minit.
- Mangsa berasa pening.
- Tekanan darah menjadi rendah.
- Permukaan kulit terutama di hujung jari dan kaki menjadi sejuk.
- Mangsa kelihatan keliru.
- Dia juga seperti gelisah dan resah serta berasa takut yang teramat sangat.
- Mangsa mengadu haus.
Dalam keadaan begini, mangsa mesti dibawa ke hospital serta-merta. Setiap saat tu sangat berharga demi nyawa yang boleh diselamatkan.
Diharap kesemua pelaku diambil tindakan yang sepatutnya oleh pihak berkuasa kerana kita tak mahu tragedi arwah Zulfarhan Osman yang masih segar dalam ingatan kita berulang kembali.
Sumber: Harian Metro, KOSMO, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Medical Mythbusters Malaysia