“Lari Sampai Tertanggal Selipar”, Ramai Terharu Dengan Tindakan Pakcik Ini
Terharu! Itulah reaksi kebanyakan pengguna media sosial apabila tular perkongsian gambar yang berlaku di padang kawad sempena Hari Penguat Kuasa KPDNHEP di Maktab Penjara Kajang, pagi tadi.
Gambar yang dikongsikan oleh YB Alexander Nanta Linggi itu menunjukkan bagaimana salah seorang anggotanya jatuh pengsan ketika dalam perbarisan.
Tindakan si ayah yang meluru dari arah khemah tetamu lantas membuat begitu ramai tersentuh.
Berikut dikongsikan apa yang terjadi:
Lari Hingga Terlucut Selipar, Reaksi Ayah Ketika Anaknya Rebah Buat Ramai Terharu
Kasihnya ayah
Berkorban nyawa
Biarlah jiwa
Akan tersiksa
Ikhlas dan rela
Asalkan bahagia
Banyak yang tersirat di sebalik turutan gambar ini. Ketika terkujurnya anak tatkala berkawad, kerana menahan terik mentari, berlari si ayah menerpa dari arah khemah tetamu.
Sehingga terlucut selipar yang disarung, namun tidak diendahkan, asalkan beliau berada di sisi anak dalam sekelip mata.
Yang hadir di padang kawad sempena Hari Penguat Kuasa KPDNHEP di Maktab Penjara Kajang, pagi tadi menjadi saksi, betapa kasih agung seorang ayah kepada anaknya.
Yang bermain di fikiran ketika terlihat perkara itu, sama ada ayah ingin mengusung anaknya keluar barisan. Ternyata sangkaan sedemikian meleset.
Meskipun badan ayahnya dimamah usia, anaknya dipapah, bingkas dibantu berdiri sambil badan menjengah lebih separuh abad itu menjadi benteng daripada anaknya kembali rebah.
Melihatkan pengorbanan tidak terperi seorang ayah, berjurai air mata hadirin membasahi pipi masing-masing. Saya tidak terkecuali.
Kepada mereka yang masih mempunyai insan bergelar ayah – hargai, sayangi dan santunilah selagi hayatnya dikandung badan.
Ramai Terharu, Menitiskan air Mata
Perkongsian oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, YB Alexander Nanta Linggi itu menyentuh hati ramai netizen yang terharu dengan tindakan bapa tersebut.
Ruangan komen dipenuhi dengan kata-kata positif terhadap kasih sayang yang ditunjukkan oleh si bapa.
Ramai juga yang tidak mampu berkata apa-apa dan menitiskan air mata ketika melihat gambar yang dikongsikan.
Malah, beberapa orang turut meluahkan rasa rindu pada bapa mereka.
Semoga kita mendapat pengajaran dan dapat berbakti serta menghargai kasih sayang ibu bapa kita walau dalam apa jua keadaan kita.
(Sumber: Facebook Alexander Nanta Linggi)
Video & UPDATE
Viral gambar pakcik ni tadi..Alkisahnya seorang lelaki rebah ketika perbarisan, pakcik ni terus berlari sampai tertanggal selipar, dan membantunya untuk terus berdiri sepanjang perbarisan.
Tak disangka rupanya pakcik ni adalah ayah saudaranya yang menjaganya, setelah dia kehilangan ibu bapanya.
Tengok video penuh yang dikongsikan oleh orang awam di Tiktok:
Besar pengorbanan pakcik ni..Orang cakap bukan senang nak beri kasih sayang kalau bukan anak kita sendiri. Sebak dan terharu rasa.
Semoga kita juga dikelilingi dengan insan yang sentiasa mengasihi dan menyayangi kita, InsyaAllah.
Sumber: Berita Harian