[VIDEO] Demi Konten, 4 Individu Persenda OKU Kini Dicari Polis
PETALING JAYA: Polis mengesan empat individu termasuk dua wanita dipercayai mempersendakan golongan orang kurang upaya (OKU) dalam dua video yang tular di media sosial sejak semalam.
Ini susulan laporan polis dibuat seorang seorang wanita berhubung tindakan mereka yang turut dipercayai menyalahgunakan kemudahan OKU di sebuah pusat beli-belah di ibu negara.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, video pertama dimuat naik menunjukkan dua lelaki yang berlagak sebagai OKU dan mempersendakan tempat letak kereta golongan tersebut.
Katanya, mereka turut mengajuk perbuatan OKU selepas berjaya meletakkan kenderaan mereka di tempat letak kereta di situ.
VIDEO VIRAL SALAHGUNA PARKING OKU
“Sementara satu lagi video memaparkan dua wanita telah menyalahgunakan tandas OKU di sebuah stesen minyak.
“Mereka juga bertindak mengajuk perbuatan seolah-olah mereka adalah OKU fizikal yang tempang,” katanya dalam kenyataan di sini malam tadi.
VIDEO VIRAL SALAHGUNA TANDAS OKU
Eng Lai berkata, pengadu beranggapan kesemua individu tersebut telah menghina golongan OKU di negara ini serta secara terang-terangan dan tanpa rasa bersalah menggunakan warga OKU sebagai bahan bagi menarik perhatian pengguna di media sosial.
Semalam, Presiden OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi membuat laporan polis terhadap beberapa individu yang menyalahgunakan kemudahan yang dikhaskan untuk golongan OKU.
Beliau tiba di Ibu pejabat Polis Daerah Brickfields, di sini pada kira-kira pukul 1.20 tengah hari dan selesai membuat laporan berkenaan pada 2.40 petang.
Sumber: UTUSAN ONLINE